Pages

Friday, October 22, 2010

Setengah juta rakyat Britain hilang kerja



LONDON - Britain mengumumkan pemotongan 490,000 pekerjaan di sektor awam dalam tempoh empat tahun, melalui satu tindakan drastik yang diambil bagi mengurangkan jumlah defisit tertinggi yang pernah dihadapi negara itu. 

Menteri Kewangan Britain, George Osborne menegaskan, kehilangan pekerjaan dalam sektor awam 'tidak dapat dielakkan apabila negara tidak lagi mempunyai wang'. 

"Ini adalah langkah yang sukar tetapi ia akan membawa negara kepada masa depan yang lebih baik," katanya semasa pembentangan semakan belanjawan di sidang Parlimen, kelmarin. 

Menurutnya, perbelanjaan kerajaan akan dikurangkan sebanyak 81 bilion pound (RM400 bilion) dalam usaha mengurangkan defisit Britain daripada 11 peratus sekarang kepada dua peratus dalam tempoh lima tahun. 

Langkah kontroversi itu turut memberi kesan kepada kebajikan rakyat Britain melalui pengurangan bayaran kebajikan anak dan peningkatan umur pencen kepada 66 tahun menjelang 2020. 

Bagaimanapun, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pembangunan antarabangsa dikecualikan daripada sebarang pemotongan sumber kewangan. 

Semakan semula belanjawan negara itu dilakukan selepas kerajaan mendapati perbelanjaan sektor awam mencecah 16 bilion pound (RM78 bilion) pada September lalu, jumlah yang dianggap terlalu tinggi.

No comments: