Pages

Thursday, October 21, 2010

Rusuhan dekat Istana Presiden




JAKARTA 20 Okt. – Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalan-jalan di beberapa bandar utama Indonesia hari ini sempena ulang tahun pertama pentadbiran kedua Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Perhimpunan antikerajaan dilancarkan di Jakarta, Bandung, Surabaya, Palu dan Bogor, di mana pelajar-pelajar dilaporkan bertempur dengan polis.
Di depan kediaman Presiden di Jakarta, beratus-ratus penunjuk perasaan anti-kerajaan melontar batu dan kayu ke arah polis dan polis membalasnya dengan melepaskan gas pemedih mata.
Pertempuran tercetus antara polis dengan penunjuk perasaan ketika kawasan sekitar kediaman itu dipenuhi dengan gas pemedih mata.
Sementara itu, sekumpulan kira-kira 60 penunjuk perasaan menyekat sebatang jalan di Menteng, di tengah Jakarta dengan batang kayu dan menyerang polis yang cuba menyuraikan mereka.
Penunjuk perasaan itu melemparkan batu dan kayu ke arah polis antirusuhan yang turut bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata.
Media tempatan melaporkan, polis turut melepaskan beberapa tembakan, tetapi ia masih belum disahkan.
Menurut agensi berita Antara, hampir 20,000 polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di ibu negara Jakarta untuk menangani sebarang kemungkinan tetapi tiada laporan kekacauan berlaku di bandar raya ini.
Di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan pula, penunjuk perasaan melempar bom botol ke arah polis yang membalasnya dengan gas pemedih mata ketika Susilo melawat bandar itu, semalam.
Sementara itu, polis Indonesia turut memberi amaran supaya penunjuk perasaan tidak membawa haiwan ke Jakarta ketika melancarkan demonstrasi.
Polis mengingatkan bahawa haiwan-haiwan diharamkan dibawa menyertai demonstrasi selepas kumpulan pembantah pada tahun lalu, mengecat kerbau dengan singkatan nama Susilo (SBY) dan membawanya berarak mengelilingi jalan-jalan di Jakarta.
Susilo yang membuat ucapan di khalayak ramai selepas itu berkata, beliau tersinggung dengan tindakan itu kerana menggambarkannya sebagai ‘besar, lembab dan bodoh seperti kerbau’ dan kerajaan kemudian mengharamkan tindakan protes sedemikian.
“Membawa haiwan ketika demonstrasi tidak dibenarkan, terutamanya haiwan liar.
“Sebelum ini ada pembantah yang membawa kerbau yang dicat dengan SBY ke jalanan. Ini satu penghinaan dan saya gesa orang ramai menggunakan hati nurani dan bukan menghina kerajaan seperti itu,” kata jurucakap polis, Marwoto Soeto, semalam. – AFP

No comments: