PARIS, Perancis - Seorang pedagang Perancis, Jerome Kerviel dipenjara lima tahun semalam kerana melesapkan berbilion-bilion euro dalam urus niaga haram dan memalukan sebuah bank tempatan utama.
Namun, Kerviel menganggap dirinya sebagai orang biasa yang terperangkap dalam lubuk ketamakan eksekutif-eksekutif perbankan.
Dia didapati mempertaruhkan hampir lima bilion euro (RM21.3 juta) dalam beberapa urus niaga berisiko sebagai pedagang indeks pasaran hadapan untuk Societe Generale yang merupakan antara bank terbesar di Eropah.
Kerviel turut diperintah membayar balik kerugian Societe Generale berjumlah 4.9 bilion euro (RM20.7 bilion).
Kerviel berdiri tanpa menunjukkan sebarang reaksi semasa hakim mahkamah memutuskannya bersalah terhadap semua dakwaan ke atasnya.
Dia didapati bersalah terhadap dakwaan pecah amanah, pemalsuan dan menggunakan komputer tanpa kebenaran untuk melindungi pertaruhan hampir 50 bilion euro (RM213.5 bilion) di antara lewat 2007 dan awal 2008.
Dilabel penjenayah oleh bekas majikannya dan kambing hitam oleh pihak lain, Kerviel bertegas bahawa pihak atasannya mengetahui tentang aktiviti haramnya.
Bagaimanapun, katanya, majikannya memilih untuk memejamkan mata asalkan dia dapat membawa masuk keuntungan untuk bank yang menjadi tempatnya bekerja.
Dalam satu memoir yang diterbitkan sebelum perbicaraannya, Kerviel berkata, dia diseret ke dalam kancah pesta ketamakan perbankan.
Walaupun dia mendatangkan keuntungan berbilion-bilion euro untuk bank berkenaan, Kerviel tinggal di sebuah flat sederhana di pinggir bandar raya ini.
Dia turut menaiki kereta api untuk melawat ibunya di Brittany, barat daya Perancis, ketika bercuti tanpa berkereta mewah.
"Saya cuma orang biasa. Saya bukan gila," katanya semasa siasatan dilakukan berhubung skandal itu selepas Bank Societe Generale terpaksa melakukan beberapa transaksi kecemasan mencecah 50 bilion euro (RM213.5 bilion) untuk menutup kerugian yang dialaminya.
"Pendapatan saya bukan berjuta-juta dan saya tidak memandu kereta Porsche," katanya.
Dia dibayar gaji 50,000 euro (RM213,567) setahun di samping bonus berjumlah berpuluh-puluh ribu euro apabila skandal tersebut terbongkar pada Januari 2008.
"Anda pernah melihat pangsapuri saya? Ia cuma seluas 45 meter persegi, tiada lukisan mewah. Ia dilengkapi perabot Ikea yang menandakan gaya kehidupan yang sederhana," tambahnya. - Agensi
No comments:
Post a Comment