Pages

Wednesday, October 6, 2010

Merungkai kesan portal Facebook


- ELVIZA MICHELE KAMAL 

Tidak faham kenapa saya harus membazirkan masa emas pada hari minggu, melayan kerenah perang minda dan hati. Si hati tegal enggan mengalah, bermati-matian menyuruh saya kusam di rumah untuk menelaah bahan-bahan bercetak. Sementara minda dan telefon pintar (kadang-kadang lebih cerdik daripada tuannya sendiri) pula, tidak putus-putus mengingatkan saya tentang tanggungjawab melunaskan jemputan rumah terbuka yang berpuluh-puluh itu. 

Jujur kata, dan selagi kita masih berbicara di ruang tertutup antara saya dan pembaca budiman sahaja, saya sebenarnya cukup malas untuk menghadiri rumah terbuka Syawal. Tetapi, bila teringat pesan nenda bahawa menghadiri jemputan sebegitu ada ganjaran pahalanya, saya gagahkan juga. 

Bukannya apa, pagi Ahad lepas, ada sesuatu yang menarik dalam majalah terbitan si orang putih, The New Yorker. Mereka telah menerbitkan penulisan tentang kehidupan peribadi Mark Zuckerberg dalam ruangan yang berjudul Letter from Palo Alto: The Face of Facebook. 

Sejak kali pertama saya mendaftarkan akaun di media sosial, Facebook, pada tahun 2007, saya sering tertanya-tanya siapakan gerangan pencipta laman web yang sungguh gargantuan pengaruhnya di seluruh dunia itu. Kali ini penulis, Jose Antonio Vargas, telah menjawab kemusykilan saya setelah meluangkan masa bersama Zuckerberg dan seterusnya menulis tentang kehidupan peribadi beliau. 

Antara fakta menarik dalam artikel Vargas: Sekiranya suatu hari, Zuckerberg membuat keputusan untuk memasarkan saham-saham Facebook di bursa saham, beliau akan menjadi lebih kaya dari si pencipta iPhone dan komputer riba MacBook yang masyhur itu! Zuckerberg khabarnya pernah menolak pelawaan MTV Networks, Google, dan Yahoo! untuk membeli Facebook. Laman jentera carian Yahoo! pernah menawarkan harga setinggi 1 bilion dolar untuk memiliki Facebook! 

Walaupun pernah menerima tawaran sebegitu lumayan, Zuckerberg tetap enggan menjual laman Facebook kepada sesiapa. Beliau memberitahu Vargas, bukan faktor wang menjadi ukuran, tapi laman itu seumpama bayi dan projek istimewa untuk dirinya. 

Namun tidak semuanya indah untuk anak muda kelahiran Palo Alto ini. Facebook telah dihujani kritikan getir daripada pengguna-pengguna berdaftar perihal isu privacy yang longgar. Zuckerberg juga masih berdepan dengan tuntutan saman mencecah jutaan dolar daripada bekas rakan-rakan yang menuduh beliau mencuri idea asal mereka dalam menubuhkan Facebook. Betapa mahalnya harga sebuah idea, boleh bikin orang seperti Zuckerberg hilang tidur malam. 

Bagi saya enteng sahaja, punca laman media sosial mendapat sambutan di luar jangkaan mutakhir ini, hanya satu: Mereka memberikan kuasa bersuara untuk orang kebanyakan yang lazimnya tidak berkuasa, atau mampu bersuara di laman media tradisional. Juga faktor laman Facebook yang mampu mendekatkan pengguna dengan kenalan mereka - yang jauh jadi dekat, yang asing jadi rapat. 

Saya juga mendengar desas-desus dan membaca artikel tentang pekerja-pekerja yang menjadi kurang produktif kerana terlalu leka melayari laman Facebook. 

Sekiranya anda adalah salah seorang daripada majikan yang berpendapat sedemikian, halang sahaja akses ke laman Facebook di pejabat anda. Selesai masalah. 

Tetapi bukankah sebelum lahirnya media sosial, pekerja swasta atau penjawat awam juga pernah ‘ditangkap’ kerana leka bermain Solitaire dan Minesweeper di komputer? Itu belum lagi dikira kerugian sumber dek kerana mereka asyik bergayut telefon berjam-jam lama, sebelum ombak revolusi internet melanda. 

Punca pekerja mencuri tulang tidak terhad kepada ketagihan laman media sosial sahaja. Kajian mendapati bahawa otak manusia tidak dicipta untuk memberikan tumpuan terhadap tugas yang diberi selama lapan jam berturut-turut. 

Kita memerlukan rehat singkat secara periodik untuk melepaskan beban tekanan yang ditunda ke atas otak. 

Sekiranya tidak, ianya akan menjadi punca kehilangan kreativiti dan membantutkan kelahiran idea baru. 

Khabarnya PDRM baru sahaja membuka laman Facebook mereka secara rasmi. Syabas untuk PDRM, semoga pasukan polis akan menjadi lebih efektif dengan menceburi dunia media sosial. Pihak berkuasa lain bila lagi? 

Akhir kalam, dan seperti yang dituntut oleh agama, segala cabang kehidupan – bukan setakat media sosial sahaja – harus didekati secara wasatiah, barulah hidup selamat dan berkat. 


� Elviza adalah penagih laman media sosial yang tegar. Temui beliau di laman Twitter http://twitter.com/elviza

No comments: