Pages

Wednesday, October 13, 2010

Maher Zain bulan madu di Langkawi



Biarpun sibuk dengan persiapan akhir menjelang showcase yang berlangsung dua hari lagi, namun penyanyi Maher Zain sempat meluangkan masa untuk melawat pejabat urusan Sinar Harian semalam. 

Penyanyi kelahiran Lubnan yang turut ditemani wakil daripada rumah perlindungan wanita Raudatul Sakinah, disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob dan kakitangan Sinar Harian. 

Maher Zain turut berkongsi sedikit sebanyak pengalamannya sepanjang berada di Malaysia. 

“Saya gembira dapat berkunjung ke Malaysia. Walaupun cuaca agak panas, tetapi saya suka dengan masyarakat di sini yang sangat peramah. 

“Saya tidak rasa janggal berada di sini. Jika boleh, saya mahu lebih lama lagi tinggal di Malaysia. Saya juga suka makanan di sini terutama sate,” katanya dalam sesi sidang akhbar yang di adakan. 

Menurutnya lagi, jika ada masa terluang, dia ingin sekali ke Pulau Langkawi kerana teruja dengan keindahan pulau itu serta membawa isterinya untuk berbulan madu di sana. 

“Saya rasa selamat tinggal di sini kerana Malaysia sebuah negara Islam yang aman. Saya senang dengan keadaan di sini,” katanya lagi yang berada di sini selama dua minggu. 

Maher Zain yang popular dengan lagu InsyaAllah turut berbangga kerana album pertamanya Thank You Allah telah berjaya mendapat tempat di hati peminat di Malaysia. 

Maher Zain yang akan menghiburkan peminatnya pada 14 dan 15 Oktober ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor bersempena dengan Showcase Save The Soul merupakan anjuran rumah perlindungan wanita Raudatul Sakinah adalah bagi mengutip dana untuk membantu rumah perlindungan tersebut.

No comments: