Pages

Sunday, October 31, 2010

Cerita makhluk halus tidak akan berakhir

http://www.sinarharian.com.my- ROHMAN SHAARY

Saya sebenarnya tidak bertujuan membicarakan makhluk halus secara rinci. Telah saya tulis sebuah buku (pada akhir dekad lalu), judulnya Suluh Peraba, dan pemikir-pemikir seperti Jaafar Rahim, Ainon Mohd, Othman Puteh, A F Yassin dan Muhammad Haji Salleh telah menyebut makna kandungan buku tersebut. Ketika itu saya bermaksud mahu mengatakan bahawa zaman orang bunian atau yang sejenis dengannya telah berakhir. 

Masih saya ingat, Jaafar Rahim mengatakan, tahyul sedia ada ketika itu akan berganti dengan tahyul baru. Jadi, beliau tidak bersetuju pandangan atau agakan saya bahawa tahyul akan berakhir. 

Saya berkerut-kerut dahi mencari makna atau maksud kata-kata Jaafar Rahim. Lama kelamaan saya faham. Perkembangan terbaru kini kian menyebabkan saya lebih faham. 

Baru-baru ini, Malaysia dihebohkan berita Siti Balqis Mohd Noor yang berulang kali hilang. Saya mengikuti berita kehilangannya disertai atau diselit kisah misteri, antaranya ialah jatuhnya batu yang berharga (Berita Harian, 26 Oktober menyebutkan ‘bola batu hijau’) di dalam rumah keluarga Balqis. Ibu Balqis, Norizan Said berpendapat ‘bola batu hijau’ itu mungkin umpan oleh jin untuk melalaikan sesiapa saja. 

Puncak bagi kisah Balqis (jika hendak dipindah ke bentuk karya kreatif) bukanlah benar-benar puncak, tetapi anti-klimaks. Siti Balqis yang dikatakan berada di puncak gunung di Kedah, sebenarnya berada di rumah kawannya (yang bernama Norwaniza Ramli) di Ulu Kelawang, Jelebu. Polis berjaya menemuinya. 

Pencarian Balqis dengan bantuan polis adalah tepat, sesuai dengan abad ini. Inilah yang mahu saya tegaskan apabila (lebih 10 tahun dulu) saya menghasilkan buku Suluh Peraba. Sekali lagi saya sebutkan, bahawa Jaafar Rahim benar-benar memahami buku itu. Beliau yakin tahyul abad baru akan terus ada, namun berubah wajah. Perhatikan perubahan pada tahyul dalam kisah Balqis ini. 

Pertama, jika pada abad lepas, seseorang yang dipercayai hilang secara betul-betul ghaib, baru dianggap kerja makhluk asing. Jiran memberitahu Balqis dilarikan dengan kereta, dan itu pun masih dianggap kerja makhluk halus. 

Apa yang lebih menarik, dia masih melakukan kerja moden, iaitu menghantar SMS. Ibunya ada mengatakan, Balqis tetap menghantar SMS ketika dighaibkan jin (Berita Harian, 26 Oktober 2010). Sekarang sudah jelas makna 'tahyul bentuk baru' yang dikatakan Jaafar Rahim. 

Berita Harian, 29 Oktober melaporkan penemuan Balqis, antara lain menyatakan bahawa di dalam beg pakaian gadis itu, ada 10 ketul batu delima. Penemuan batu-batu itu secara tidak langsung sudah menjawab dari manakah datangnya batu yang dikatakan jatuh dari bumbung rumahnya. Balqis mempunyai idea yang bernas dalam melaksanakan misinya. 

Apabila tiba pada tahap ini, barulah kita sedar perlunya berfikir sebagai novelis, atau sebagai penulis skrip drama, bukan seperti ahli masyarakat biasa. Balqis berfikir secara dramatis. 

Buku Suluh Peraba telah dijadikan skrip drama oleh Zakaria Ariffin. Saya fikir, jika Zakaria masih berminat, kisah Balqis pasti mengilhamkan. 

Karangan tentang pengalaman seumpama Balqis memerlukan persediaan berbeza. Semoga akan tertulis karya sedemikian, yang akan memberikan sumbangan fikiran dan imaginasi bermakna dalam masyarakat kita yang dahagakan persembahan hebat.

No comments: