LONDON - Berjuta-juta warga London terpaksa bersusah payah menaiki kereta, kereta api, bot dan basikal semalam untuk pergi ke tempat kerja ekoran mogok para pekerja tren bawah tanah di sini.
Beribu-ribu pekerja penyelenggaraan, pemandu dan kakitangan stesen tren tidak bekerja untuk tempoh 24 jam mulai malam kelmarin.
Mogok itu dilancarkan kerana terdapat cadangan untuk memberhentikan 800 orang pekerja, kebanyakannya kakitangan stesen tren yang memberi kesan ke atas perkhidmatan dan keselamatan pengangkutan awam.
Pihak Pengangkutan Untuk London yang mengendalikan sistem tren bawah tanah yang juga dikenali sebagai Tube menyatakan pemberhentian pekerja secara wajib tidak akan dilakukan.
Lebih 3.5 juta warga London menggunakan sistem tren bawah tanah pada setiap hari.
Kesatuan Pekerja Tren, Maritim dan Pengangkutan mengakui terdapat sokongan kuat terhadap mogok itu.
Ekoran mogok itu, bas-bas dipenuhi penumpang manakala ribuan orang dijangka menggunakan perkhidmatan bot tambahan di Sungai Thames.
Datuk Bandar London, Boris Johnson yang mengayuh basikal untuk menghadiri mesyuarat semalam berkata: "Warga London akan berdepan beberapa gangguan tetapi bandar ini tidak lumpuh. Orang ramai masih boleh bergerak." - AP
No comments:
Post a Comment