Pages

Sunday, September 5, 2010

Orang hidup dikebumikan



SAHABAT Nabi Muhammad S.A.W, Saidina Usman pernah menangis ketika melintasi sebuah kawasan perkuburan.
Apabila ditanya sahabatnya yang lain, jawab Usman: "Kerana Nabi (Muhammad) pernah bersabda, 'Kubur ini tempat pertama dari tempat-tempat akhirat dan tempat terakhir dari tempat-tempat dunia.
'Sesiapa yang selamat daripada kubur itu, maka apa yang selepasnya adalah lebih ringan.
'Sesiapa yang tidak selamat daripadanya, maka apa yang berlaku sesudahnya akan lebih berat lagi'."
Usman mengesat air matanya, kemudian menyambung: "Jika aku di neraka, aku akan bersama manusia lain, jika aku di alam akhirat, aku pun bersama manusia lain, tetapi jika aku berada di alam kubur maka tiada seorang manusia pun bersamaku.
Seksaan

KUBUR olok-olok sedalam dua meter yang dibina lebih 100 tahun lalu sudah dikepung dengan simen.


"Tinggallah aku bersendirian saja di alam pusara. Itulah sebabnya aku menangis."
Jawapannya itu langsung menjelaskan betapa seksa kubur itu digeruni.
Malah, dalam al-Quran ada menyebut antara seksaan yang dijalankan di dalam kubur ialah dibelit ular yang besar sehingga patah riuk tulang-temulang, disengat kala jengking dengan bisa yang amat pedih dan banyak lagi.
Biarpun sudah diberi gambaran yang jelas, namun ia kurang mendapat perhatian untuk dijadikan topik perbualan dan lebih cenderung dilupakan.
Mungkin disebabkan itulah, seorang wali yang berpengetahuan dalam tasawuf dan tarikat, Sheikh Muhammad Nor Al-Kholidi, mewujudkan sebuah kubur olok-olok di bahagian luar mihrab Masjid Sungai Cincin, Batu 9, Gombak, Selangor.
Menurut Ketua Kampung Sungai Cincin, Wilayah Persekutuan, Abd. Rani Awang, 66, kubur itu dibina sekitar waktu pembinaan Masjid Sungai Cincin, iaitu pada tahun 1894 sekali gus bermaksud kubur itu sudah berusia lebih 100 tahun.
Lubang sedalam kira-kira dua meter yang hanya seluas 2.16 meter persegi itu mungkin tidak pernah digunakan untuk menanam sesiapa namun pengalaman dibiarkan di dalam liang lahad di dalam kubur itu untuk satu tempoh, dikatakan mampu mengetuk kesedaran dalam diri sesiapa saja tentang kematian.
Melalui ajaran tarikat Naqsabandiyah yang diketuai Sheikh Muhammad Nor, para pengikutnya berpeluang merasai pengalaman ditinggalkan di dalam lubang kubur itu.
Bukan setakat itu, lubang kubur itu juga ditutup untuk memberikan kesan yang paling hampir dengan pengalaman sebenar apabila satu-satu jasad itu dikebumikan.
Malah, dikhabarkan sesiapa yang mencuba pengalaman itu akan dapat merasai alam ghaib seperti yang terdapat di alam kubur.
"Daripada cerita orang kampung, cara seseorang itu diturunkan ke dalam lubang kubur itu hampir sama dengan cara sebenar cuma dia tidak dimandikan atau dikafankan.
Baju putih
"Individu itu diminta memakai baju putih dan diiringi bacaan wirid ketika diturunkan ke dalam kubur itu," kongsi Abd. Rani.
Lebih 100 tahun berlalu, kubur itu kini berdinding simen dan dipagar.
Tidak ditutup terus kerana mahu memelihara tinggalan sejarah asal-usul Kampung Sungai Cincin, kata Abd. Rani, aktiviti menggunakan kubur contoh itu terhenti setelah tiada sesiapa menyambung ajaran tarikat yang dipraktikkan pada waktu itu.
"Ketika saya pertama kali datang ke sini pada 1962, ajaran tarikat sudah dihentikan dan kubur itu juga sudah tidak dipakai.
"Sehingga hari ini, kubur itu dipelihara tanpa digunakan. Penduduk kampung juga tidak mempersoalkan kewujudannya.
"Walaupun tak ada pantang larang, waktu saya muda dulu memang tak ada orang kampung berani buat perkara sembarangan di kawasan sekitar kubur itu.

MASJID Sungai Cincin, Gombak suatu ketika terkenal dengan aktiviti tarikat Sheikh Muhammad Nor Al-Kholidi.


"Waktu itu seram juga setiap kali tengok kubur itu. Tetapi saya lihat anak kampung sekarang sudah tidak rasa apa-apa apabila melihatnya," ujar Abd. Rani.
Sheikh Muhammad Nor meninggal dunia dalam usia 58 tahun pada 1932.
Penceramah bebas, Datuk Daud Che Ngah, bagaimanapun menasihatkan agar kubur itu ditutup sepenuhnya.
"Kubur sepatutnya dibuat untuk orang yang sudah meninggal dunia, bukan untuk orang yang masih hidup. Dalam agama Islam, sebaik-baik pekerjaan ialah dengan bersederhana.
"Jika sekali pun kubur olok-olok itu dibuat untuk menyemai keinsafan dalam diri pengikutnya, tindakan itu sebenarnya sudah berlebihan dan merupakan satu bidaah dalalah kerana memadai menziarahi kubur untuk mengingatkan umat Islam tentang kematian," jelas Daud.

No comments: