Pages

Sunday, September 5, 2010

Christchurch dilanda gempa



WELLINGTON 4 Sept. - Pihak berkuasa New Zealand mengisytiharkan perintah darurat di bandar Christchurch selepas berlaku gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter di bandar kedua terbesar negara ini awal pagi ini.
Gempa menyebabkan bekalan elektrik terputus, jalan raya dan bangunan-bangunan rosak, namun tiada kematian dilaporkan.
Perintah darurat diisytiharkan untuk menyelaraskan operasi pemulihan di bandar yang mempunyai kira-kira 350,000 penduduk itu selepas bangunan-bangunan yang runtuh menghempap kenderaan dan menghalang jalan raya serta tanah mendap.
Gempa berlaku pada pukul 4.35 pagi (12.35 pagi waktu Malaysia) di selatan bandar itu pada kedalaman 10 kilometer.
Menurut pihak hospital, dua lelaki cedera parah dan beberapa orang lagi patah tulang dan kulit melecet akibat gempa itu.
Perdana Menteri, John Key yang turut mempunyai adik tinggal di bandar itu kini dalam perjalanan melawat bandar itu bersama-sama pegawai-pegawai kanan kerajaan.
"Saya rasa ia akan mengambil masa sebelum kami tahu berapa besar kerugian yang dialami," kata Key kepada Televisyen NZ.
"Kerosakannya besar, ia kelihatan seperti menjejaskan setiap keluarga atau isi rumah.
"Gempa menyebabkan kemudahan infrastruktur kami rosak seperti paip-paip air bersih dan kumbahan pecah, jambatan dan bekalan elektrik terputus," kata datuk bandar Christchurch, Bob Parker.
Menurut polis, berlaku beberapa kejadian kecurian tetapi keadaan berjaya dikawal. - Reuters

No comments: