Pages

Sunday, September 26, 2010

Lega anak urus niaga

Oleh FIRDAUS SAHAT

2010/09/25

KUALA LUMPUR: “Allahyarham pernah berkata kepada saya, dia lega anaknya boleh diharap dan mempercayai mereka seratus peratus untuk mengendalikan semua perniagaannya, lebih-lebih lagi tiada orang lain yang boleh dipercayai,” kata Datuk Zaidi Zain, peguam peribadi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh kejam.
SIMPATI... Nash ketika melawat anak tirinya.
SIMPATI... Nash ketika melawat anak tirinya.

BEROPERASI.... bangunan Nouvelle Beauty Centre di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
BEROPERASI.... bangunan Nouvelle Beauty Centre di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Tidak lama dulu dia pernah memberitahu untuk membuat surat wasiat tetapi ia tidak diteruskan. Cuma pada perbincangan terakhir antara kami di bilik saksi sewaktu kes tuntutan harta terhadap bekas suaminya, Nash (Nasharudin Elias) di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lalu, pelbagai perkara diluahkannya kepada saya.

“Antaranya, dia tidak mahu berkompromi dengan mana-mana pihak yang menipunya. Malah dia berkali-kali menyatakan tidak mempercayai sesiapa selain anaknya.

“Secara lisan, Allahyarham berhajat menyerahkan segala urusan perniagaannya kepada anak sulung iaitu Erni Dekritawati Yuliana atau Rita,” katanya.

Selain Rita, 25, lima lagi anak Allahyarham hasil perkahwinan dengan Bukhari Mohamad adalah Erwan Suwari Ridzuan, 24, Erwan Nasri, 23, Erni Erinawati Sofia, 21, Erni Reenilawati, 19, dan Siti Nur Fatimah, 13.

Ketika itu, Zaidi berkata, arwah menjelaskan hatinya kembali tenang dan betul-betul lega apabila lima daripada enam anaknya mampu menguruskan perniagaannya.
“Daripada percakapannya, saya pasti dia betul-betul lega. Malah, gayanya seperti terlepas daripada satu beban yang sangat berat apabila dia mengatur tugas terhadap lima anaknya mengenai setiap perniagaan dimiliki.

“Arwah juga menjelaskan, dia tidak mahu memikirkan mengenai perniagaan yang diserahkan kepada anaknya. Dia ingin menumpukan perhatian terhadap bidang hartanah saja,” katanya.

Namun selepas kejadian ngeri yang berlaku, Zaidi yakin segala perihal mengenai perniagaan dan harta milik arwah yang dianggarkan bernilai lebih RM150 juta akan dimiliki waris pengasas kosmetik Nouvelle Visages iaitu anaknya meskipun tiada wasiat bertulis.

“Mulanya saya beranggapan apa diluahkan kepada saya waktu itu hanya kenyataan biasa. Namun bila sudah jadi begini, baru saya sedar apa diperkatakan arwah waktu itu.

“Ia boleh diibaratkan sebagai kenyataan secara lisan. Malah isu mengenai harta pusaka ini boleh berbalik kepada hukum syarak mengikut sisi perundangan.

“Bagi orang Islam, wasiat digunakan untuk memudahkan segala urusan dan mengelak kerumitan. Bagaimanapun, dalam situasi ini mungkin sistem fara’id diberi keutamaan terhadap pembahagian harta pusaka arwah,” katanya.

Allahyarham yang ditemui mati dalam keadaan ngeri awal bulan ini bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, turut meninggalkan seorang suami selain enam anaknya.

Selama perkenalannya dengan arwah, perbincangan mengenai harta keseluruhan milik jutawan itu mahupun penyampaian wasiat secara terperinci tidak pernah diadakan.

Menyentuh mengenai tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan Allahyarham terhadap Nash, Zaidi menjelaskan, kes itu tertangguh buat sementara waktu dan terserah kepada waris arwah sama ada mahu meneruskannya atau tidak.

“Saya tidak pasti sama ada waris arwah mahu meneruskannya atau tidak. Sehingga kini mereka adik-beradik masih berbincang. Setahu saya, anak Sosilawati sangat rapat dan menyayangi Nash.

“Namun ada dua isu di sini. Pertama sekali ialah kehendak dan hasrat arwah untuk menyelesaikan kes berkenaan manakala yang kedua adalah hubungan baik antara waris dengan Nash.

“Saya sudah menjelaskan semua hal berkaitan kepada Rita. Kini terpulang kepadanya sama ada mahu menghalalkan segala harta yang bakal menjadi miliknya bersama adik beradik atau meneruskan hasrat arwah ibu,” katanya.

Selain memasarkan produk kosmetik dengan beratus rangkaian termasuk stokis dan cawangan, Nouvelle Visages membuka galeri pengantin, penjagaan kesihatan, salun rambut dan kecantikan serta hartanah.

Butik andaman pengantin, salun rambut dan spa beroperasi di Wisma Nouvelle, Cyberjaya manakala Nouvelle Development pula membangunkan kawasan komersial di Kota Damansara.


>INFO:
Anggaran harta Sosilawati:-
> Mempunyai 300 rangkaian dan cawangan perniagaan kosmetik Nouvelle Visages di seluruh negara serta Brunei, Singapura dan Thailand dianggarkan bernilai RM11.4 juta
> Bangunan Nouvelle Beauty Centre
di Kampung Baru, Kuala Lumpur bernilai hampir RM1.5 juta manakala Wisma Nouvelle yang baru dibangunkan
di Cyberjaya pula bernilai RM20 juta
> Memiliki hampir 50 rumah yang disewakan dan dianggarkan bernilai RM20 juta
> Harta dalam bidang hartanah dan pembangunan bernilai kira-kira RM100 juta
> Memiliki beberapa butik pengantin di sekitar Kuala Lumpur bernilai RM1 juta
> Turut menceburi bidang automobil (jual beli kereta) secara kecil-kecilan RM1 juta
> Rumah banglo di Taman Harmonis, Gombak bernilai RM1 juta
JUMLAH KESELURUHAN: RM155.9 juta

No comments: