Pages

Thursday, September 16, 2010

83 terbunuh serangan AS





2010/09/16

Militan di sempadan Pakistan, Afghanistan jadi sasaran 

MIR ALI (Pakistan): Sekurang-kurangnya 83 orang maut dalam 15 serangan udara Amerika Syarikat di sempadan Pakistan, Afghanistan sejak awal September lalu hingga semalam.Ia adalah serangan terbanyak dari udara oleh kuasa besar itu sejak operasi dimulakan pada 204 di kawasan sempadan berkenaan, kata pegawai perisikan.
Serangan diperhebatkan itu menyasarkan satu kawasan pertanian berbukit yang dikuasai militan Haqqani yang memusuhi Amerika di Afghanistan. 

Dalam serangan terbaru, peluru berpandu Amerika membunuh 12 orang lagi di sebuah rumah di Dargah Mandi, 4 kilometer di barat bandar Miran Shah, utara Waziristan dan serangan kedua membunuh tiga lagi. 

Pegawai Amerika berkata, serangan udara berkenaan bertujuan mengehadkan operasi kumpulan Haqqani di sebelah sempadan Pakistan. 

Kebanyakan serangan tertumpu kepada Datta Khel, sebuah bandar dengan 40,000 penduduk yang terletak di sebuah kawasan utama di sempadan. 
Kawasan sempadan itu sudah lama menjadi tempat perlindungan militan dari seluruh dunia termasuk pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden dan pemimpin lain sejak tentera sejak tentera Amerika menawan Afghanistan pada 2001. 

Pegawai perisikan berkata, kebanyakan serangan udara terbaru menyasarkan anggota kumpulan pimpinan Jalaluddin dan Sirajuddin Haqqani, bekas panglima tentera anti-Soviet Union dan anaknya. 

Serangan udara di sempadan Afghanistan terhadap kumpulan itu diketuai Pemerintahan Khas Operasi yang semakin kerap dilancarkan berbanding sembilan tahun lalu. 

Kira-kira 4,000 serangan direkodkan pada bulan Mei dan Ogos dan menjadi tumpuan askar yang pulang dari Iraq. Serangan itu juga tertumpu kepada anggota kumpulan Haqqani. 

Sementara itu, pegawai Amerika tidak memberitahu apakah alasan mereka melancarkan serangan berterusan sekadar menjelaskan cuaca buruk pernah menghalang misi. 

Hingga kini, jumlah tertinggi serangan udara di Pakistan dalam tempoh sebulan ialah 11 pada Januari lalu. 

Pegawai Amerika juga tidak membuat pengakuan terbuka mengenai serangan peluru berpandu itu yang membunuh beberapa pegawai kanan Taliban dan al-Qaeda dengan pengkritik menyifatkannya punca pemberontakan kerana ada yang terbunuh adalah orang biasa. – AP

No comments: