Pages

Thursday, September 16, 2010

Netanyahu, Abbas sambung rundingan


BAITULMAQDIS 15 Sept. - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyambung rundingan hari kedua di Baitulmaqdis hari ini, bagi menyelesaikan pertikaian berhubung penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin, yang boleh menggagalkan usaha ke arah perdamaian.
Sebelum itu, Netanyahu mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton sebelum Abbas menyertai mereka petang ini bagi rundingan selama tiga hari yang turut dihadiri utusan AS ke Asia Barat, George Mitchell.
Dua pemimpin itu gagal mencapai kata sepakat, semalam di Mesir berhubung pembinaan penempatan haram Yahudi, namun Mitchell berkata, mereka berbincang pelbagai isu penting yang memisahkan kedua-dua pihak dan mereka juga yakin boleh mencapai penyelesaian dalam tempoh setahun.
Penangguhan sementara pembinaan penempatan haram yahudi oleh Israel selama 10 bulan di Tebing Barat akan berakhir pada 30 September ini dan Palestin berkata, pihaknya akan menarik diri daripada rundingan sekiranya pembinaan itu disambung semula.
Mitchell selepas pertemuan di resort peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah berkata, beliau percaya rundingan tersebut secara keseluruhannya berjalan ke arah yang betul.
Status Baitulmaqdis, nasib pelarian Palestin, sempadan negara Palestin baru dan pengurusan keselamatan merupakan isu penting yang perlu diselesaikan oleh kedua-dua pemimpin tersebut bagi menjamin satu perjanjian damai yang kekal.
Pusingan terbaru rundingan damai tersebut dilancarkan semula bulan lalu selepas tertangguh selama 20 bulan.
Media Israel melaporkan, Netanyahu mungkin akan ke Washington awal minggu depan dengan spekulasi menyatakan bahawa Presiden AS, Barack Obama mungkin terlibat dalam usaha menyelesaikan kebuntuan berhubung masalah penempatan haram Yahudi.
Netanyahu sebelum ini berkata, beliau tidak akan melanjutkan penangguhan pembinaan penempatan haram Yahudi tersebut, sebaliknya hanya akan mengehadkan skop pembinaan di sebahagian kawasan penempatan. - Reuters

No comments: