Pages

Saturday, August 21, 2010

Sebuah kota masa hadapan


MOHD RADZI OTHMAN

Satu malam pada musim haji tahun ke-11 kenabian, Rasulullah SAW keluar berdakwah bersama Abu Bakar hingga mereka berdua melewati Aqabah di Mina. Mereka menyeru manusia yang menunaikan haji untuk mengesakan Allah semata-mata dan menjauhi syirik. Di sana Baginda mendapati sekumpulan pemuda sedang berbual-bual lalu menghampiri mereka. Ternyata semuanya daripada suku Khazraj yang berasal dari Kota Yatrib. 

Maka Rasulullah pun mengajak mereka beriman dan menjadi Islam. Lantas mereka berkata: “Demi Allah, kalian tahu bahawa memang dia adalah seorang nabi; seperti apa yang dikatakan kaum Yahudi. Janganlah mereka mendahului kalian. Segeralah memenuhi seruannya dan masuklah Islam”. Sambung mereka lagi, “Kami tidak akan membiarkan kaum kami dan kaum lain terus bermusuhan dan berbuat jahat. Semoga Allah menyatukan mereka semua dengan engkau. Kami akan menyeru agama yang telah kami anuti ini. Jika Allah menyatukan mereka, maka tidak ada orang lebih mulia selain dirimu”. 

Kemudian setelah musim haji berlalu dan kembali ke Yatrib, tanpa berlengah mereka mendakwahkan Islam kepada masyarakat. Inilah titik permulaan sebuah revolusi spiritual mengubah Yatrib menjadi Madinah al Munawwarah. Sebuah sinar harapan yang membebaskan Makkah dari keberhalaan pada 10 tahun mendatang. 

Tetapi bagaimana sebuah kota kecil seperti Yatrib yang penduduknya kaum majmuk dan sosioekonomi sederhana, bangkit menjadi sebuah kuasa besar hingga mampu menggempur tentera Romawi? Bagaimana mungkin sebuah masyarakat saling bermusuhan dan berdendam antara satu sama lain mampu menjadi sebuah umat yang bulat dan muafakat? 

Inilah sebuah kebijaksanaan yang berpandukan nubuwah, harus kita renungi dan ambil pengajaran. Betapa banyak manusia membaca sejarah Nabi saat Maulidur Rasul, tetapi sangat sedikit mampu menuai iktibar dan hidayah. 

Sedarlah wahai umat Islam di Malaysia; bahawa permusuhan kalian akibat beza politik tidaklah separah permusuhan Aus dan Khazraj. Sejarah membuktikan mereka telah berperang dan saling membunuh kerana keturunan. Sedang kalian hanya bertikam lidah, saling mencaci, menuduh dan ragu-meragui. Namun kalian berjuang untuk agama sama - Islam - dan untuk keturunan sama - Melayu. 


Allah memberi kekuasaan kepada yang beriman, berilmu 

Pada tahun ke-12 kenabian, penduduk Yatrib yang menganut Islam semakin ramai. Pada tahun itu juga seramai 12 orang menemui Rasulullah SAW pada musim haji di Aqabah dan berlangsunglah Perjanjian Aqabah Pertama. Mereka berjanji untuk mentauhidkan Allah, berbuat baik dan mencegah diri dari kejahatan. Kemudian Rasulullah SAW mengutus Mus’ab bin Umar al Abdari kepada penduduk Yatrib agar dia mengajarkan Islam dan memperdengarkan firman Allah. Bertambahlah bilangan umat Islam. 

Pada tahun ke-13 kenabian, berlakulah peristiwa Hijrah oleh Nabi: Hijrah dari Makkah ke Yatrib yang kemudian dikenal sebagai Madinah. Hijrah sebagai satu petanda bahawa Islam akan menyentuh setiap hati insan dan sebagai petunjuk bahawa kebatilan akan luluh runtuh. 

Inilah yang diinginkan Allah dalam upaya menggerakkan sebuah perubahan dan kemenangan; bahawa kesemua itu harus bermuara kepada iman dan ilmu. Oleh itu Allah sediakan sebuah masyarakat beriman dan berilmu sebelum kedatangan Rasul SAW ke Yatrib agar mereka siap siaga dalam mengembangkan agama ini. 

Firman Allah: “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal soleh bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi” (An Nur : 55) 


Anjakan gerakan kemerdekaan 

Kenyataan ini ternyata berulang untuk umat di Tanah Melayu. Sekian lama mereka dijajah, akhirnya sedar untuk menuntut kebebasan dari Inggeris. Kesedaran ini tidak muncul dengan mimpi, tidak juga menyerap ke dalam hati umat Melayu akibat minum-minum di kedai kopi. Semuanya berlaku kerana ada tiupan kesedaran pendidikan dan sikap yang bergema di lembar kertas. 

Bermula dengan Abdullah Abdul Kadir Munsyi yang banyak mengungkap peri pentingnya pendidikan dalam dua karya: Hikayat Abdulllah dan Kisah Pelayaran Abdullah. Sungguhpun begitu Abdullah Munsyi ini, fikirannya kacau – dia lebih mengenal kultur budaya barat berbanding akal budi bangsanya sendiri. “Dia (Abdullah Munsyi) melihat dan mengukur masyarakat Melayu pada zamannya berdasarkan nilai dan cara hidup keluarga-keluarga Inggeris yang didampinginya di Singapura,” titip Datuk Hassan Ahmad. (Bahasa, Sastera, Buku : Cetusan Fikiran Hassan Ahmad, 237). Malah dia jugalah orang Melayu pertama menterjemahkan Injil dalam bahasa Melayu, sehingga dia digelar Paderi Abdullah. 

Sesudah zaman itu muncul tokoh pembaharu umat yang gigih menulis di akhbar. Mereka melihat dengan pandangan agama dan fikiran Melayu. Syeikh Tahir dan Syed Sheikh Al-Hadi tanpa lelah menyumbang kepada satu gagasan untuk umat Melayu zaman seterusnya bersatu, berjuang menuntut kemerdekaan. Lalu lama sesudah itu baru kelihatan hasil perjuangan mereka. Umat Melayu bersatu di bawah satu gagasan dan wadah - untuk menolak Malayan Union dan merdeka, dalam sebuah wadah perikatan yang hari ini dikenal sebagai UMNO. 

Satu yang menarik ialah setelah 400 tahun umat Melayu berantakan, maka Allah satukan hati-hati mereka bagi menuntut kemerdekaan. Ini sebuah hijrah yang sangat besar hasil dari hijrah pengetahuan dan keimanan yang telah mereka laksanakan. Selagi mereka bersatu maka selagi itulah agama dan bangsa ini akan memerintah. 


Ulama jurunasihat umara 

Sepatutnya ulama itu menjadi  jurunasihat kepada kerajaan dan bukannya sebagai penentang. Kerana umara tidak akan lurus tanpa ulama. Maka saat ustaz menarik diri dari kerajaan dan menjadi oppisitor; ketika itulah keseimbangan ini menjadi senget. Pemerintah tidak mampu memeri hal-hal agama dengan sempurna dan terkadang mereka berbuat salah. 

Allah tidak mewajibkan atas para ulama untuk memastikan segala nasihat mereka dilaksanakan umara, seperti dilaporkan ‘Iyadh B. Ghanm, “Wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau tidak (belum) mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa mahu nasihat sultan (pemimpin) dalam sesuatu urusan, janganlah dia lakukan secara terangan. Tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia (pemimpin) tidak menerima, maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya.” (Hadith Ahmad & Ibnu Abi ‘Ashim. Disahihkan oleh al-Albani) 

Ulama akan sentiasa sabar mengatakan kebenaran dan menghadapi rintangan. Akan terus sabar menasihati umara secara bertentang mata – bertemu lutut. Rasulullah bersabda: “Mendengar dan taat kepada ulil amri meskipun dia memukul punggungmu dan merampas hartamu. Maka tetaplah mendengar dan taat.” (H R Muslim) 

* Penulis ialah Timbalan Setiausaha iLMU

No comments: