Saringan oleh www.darulkautsar.net dari artikel asal oleh Maulana Muhammad Asri Yusoff
Di antara sekian banyak fiksyen hasil karya musuh Islam ialah cerita Urainab binti Ishaq, seorang wanita jelita yang menjadi rebutan di antara Sayyidina Husain dan Yazid bin Muawiyyah.
Cerita ini asalnya berpunca daripada kitab “Al- Imamah Wa As Siasah” dan kemudiannya dipopularkan dalam berbagai bentuk seperti drama, cerpen atau pun dijadikan novel. Dengan pendedahan sedemikian rupa segolongan besar generasi Islam kemudian telah menerima kisah ini sebagai salah satu fakta sejarah yang tidak diragui lagi.
Cerita ini pernah muncul di dalam salah sebuah majalah di tanah air kita dan juga telah disiarkan dalam bentuk drama radio. Sebenarnya bukan setakat di tanah air kita sahaja malah ianya juga popular di bumi Arab di mana Ahmad Syubaily telah mengadun cerita ini dengan begitu menarik sekali dalam kumpulan cerpen-cerpennya.
Kisah ini juga pernah disiarkan melalui All Indian Radio dalam bentuk drama yang mendapat pujian dan penghargaan yang amat tinggi daripada para pendengar.
Perebutan ke atas Urainab digambarkan sebagai punca sebenar perseteruan di antara Sayyidina Husain dan Yazid. Walhal, pada hakikatnya, cerita ini tidak lebih dari satu cerita fiksyen dan lansung tidak mempunyai nilai sejarah. Ia sebenarnya salah satu propaganda musuh-musuh Islam untuk memburuk-burukkan generasi awal Islam.
KISAH FIKSYEN YANG BERLEGAR DI KALANGAN ORANG AWAM
Jalan cerita yang disebarkan itu begini:
Pernah satu ketika setelah Yazid bin Muawiyah dilantik sebagai Waliyyul Al ‘Ahd (bakal pengganti khalifah) beliau telah berangkat untuk mengerjakan haji. Di dalam perjalanan ke Mekah beliau terlihat seorang perempuan yang luar biasa cantiknya sehingga telah menerbangkan akalnya. Setelah diselidiki, rupa-rupanya perempuan itu isteri sepupunya Abdullah bin Salam ( yang dikatakan sebagai seorang pemuda Quraisy yang menjadi Gabenor di Iraq) bernama Urainab bt Ishaq.
Kerana terpesona dengan kecantikan wanita ini kehidupan Yazid menjadi tidak terurus. Ayah kepada Yazid, Amirul Mukminin Muawiyah amat kesal dengan keadaan Yazid. Selama ini dia telah dimanjakan sedemikian rupa dan setiap kemahuannya dipenuhi. Tetapi kali ini beliau tidak dapat memenuhi hasrat anaknya untuk mengahwini perempuan jelita bernama Urainab ini.
Setelah segala usaha dilakukan untuk menenangkan hati anaknya, Yazid, gagal Muawiyah mula mencari helah untuk mendapat Urainab. Abdullah bin Salam, Gabenor Iraq itu dijemput datang ke Damsyik di mana dia disambut dengan penuh kebesaran dan penghormatan dan diterima sebagai tetamu istimewa.
Pada ketika itu dua orang sahabat besar Abu Darda’ dan Abu Hurairah juga berada di Damsyik. Muawiyah memanggil mereka berdua dan kemudian mengemukakan cadangannya untuk menjadikan Abdullah bin Salam sebagai menantunya.
Kedua orang sahabat agung Rasulullah SAW itu amat gembira dengan cadangan Muawiyah itu. Atas permintaan Muawiyah, mereka berdua bersetuju menyampaikan berita itu kepada Abdullah bin Salam.
Dalam pada itu Muawiyah berbisik pula kepada anak perempuannya dengan menyatakan, seandainya Abu Darda’ dan Abu Hurairah membawa pinangan daripada Abdullah bin Salam maka hendaklah dia menyatakan persetujuannya mengahwininya Abdullah tetapi dengan syarat dia mestilah terlebih dahulu menceraikan isterinya Urainab.
Abdullah bersetuju menceraikan isterinya dengan talaq tiga. Masa berlalu dan anak perempuan Amirul Mukminin Muawiyah berdolak dalik untuk menangguhkan perkahwinan itu sampai beberapa ketika tetapi akhirnya telah menolak lamaran itu dan tidak bersedia lagi mengahwini Abdullah.
Setelah habis edah, Muawiyah menghantar Abu Darda’ untuk meminang Urainab bagi pihak Yazid. Dalam perjalanan dari Damsyik ke Iraq itu, Abu Darda’ terfikir untuk berjumpa dengan Sayyidina Husain , cucunda Rasulullah SAW yang kebetulan pada waktu itu berada di Iraq. Abu Darda’ menceritakan tujuannya datang ke Iraq kepada Sayyidina Husain. Mendengar cerita Abu Darda’ itu Sayyidina Husain berkata, “ Saya juga terfikir untuk menghantar orang tua yang terhormat seperti tuan membawa pinangan saya kepadanya. Kerana itu saya harap tuan juga akan membawa pinangan saya kepada Urainab”. Maka dibawa oleh Abu Darda’ kedua-dua pinangan itu. Setelah bertemu dengan Urainab, Abu Darda’ menyampaikan hajatnya. Setelah mendengar keterangan Abu Darda’, Urainab pun berkata, “ Tuan tak ubah seperti ayah saya sendiri. Apa pendapat tuan tentang perkara ini…siapakah di antara mereka berdua yang seharusnya saya pilih?” Abu Darda’ segera menjawab, “ Engkau terimalah pinangan Husain bin Ali agar dapat engkau pertemukan bibirmu dengan bibir orang yang selalu dikucup oleh Rasulullah s.a.w dahulu”.
Ringkasnya maka berkahwinlah Urainab dengan Husain. Berita perkahwinan itu diketahui Muawiyah. Muawiyah amat marah kepada Abu Darda’ dan Abu Hurairah kerana tidak menjalankan amanahnya. Dia tidak bertegur sapa lagi dengan mereka berdua dan habuan kepada mereka berdua serta merta dihentikan. Kerana benci dan marah kepada sikap Muawiyah itu Abu Darda’ dan Abu Hurairah kemudiannya berangkat ke Madinah dan terus menetap di sana.
Sementara Abdullah bin Salam pula terus menyesali nasib dirinya yang malang. Segala harapannya musnah. Sudahlah isterinya terlepas, mimpinya untuk menjadi menantu Amirul Mukminin juga tidak menjadi kenyataan. Dalam kesedihan dan kekecewaan itu Abdullah bin Salam jatuh sakit sehingga menjadi kurus kering.
Beberapa lama kemudian Abdullah bin Salam teringat kepada satu pundi-pundi kepunyaannya yang masih lagi berada di dalam simpanan Urainab. Dia berhasrat untuk mendapatkan semula pundi-pundi itu untuk menampung hidupnya. Maka pergilah Abdullah bin Salam menemui Sayyidina Husain dan menyatakan maksudnya kepada beliau. Sayyidina Husain berkata, “ Itu harta mu. Pergilah ambil sendiri daripada Urainab”. Urainab menghulurkan pundit-pundi itu kepada Abdullah melalui tirai sambil menangis tersedu-sedu kerana kesedihan. Tidak pernah ia menyangka perhubungan suami isterinya bersama Abdullah yang penuh dengan kemesraan dan kasih sayang itu terputus begitu sahaja . Begitulah juga yang dirasakan oleh Abdullah.
Dari jauh Sayyidina Husain memerhatikan suasana pilu yang menyelubungi bekas pasangan suami isteri ini. Sayyidina Husain kemudiannya berkata, “Sebenarnya segala yang berlaku selama ini hanyalah helah saya untuk menghadapi tipudaya Muawiyah. Kasihan, kamu berdualah yang menjadi mangsanya. Sekarang aku menceraikan Urainab dan sesungguhnya perkahwinanku dengan Urainab tidak lebih daripada untuk menyatukan kembali kamu berdua. Selama ini aku hanya menganggapnya sebagai adik perempuanku.”
DI MANAKAH KEPALSUANNYA KISAH INI
Cerita sensasi yang romatik ini akan sentiasa membekas di hati pendengar atau pembacanya. Apatah lagi kalau ianya dilakonkan oleh dramatis-dramatis popular atau diolah oleh cerpenis-cerpenis terbilang.
Sayang sekali kita tidak pernah menilai sejauh mana kebenarannya.
Ada banyak fakta yang membuktikan cerita ini adalah hanya rekaan semata-mata . Antaranya ialah:
1) Di zaman pemerintahan Sayidina Muawiyah, tidak ada seorang pun gabenor di Iraq atau wilayah-wilayah lain yang bernama Abdullah bin Salam.
2) Riwayat hidup wanita-wanita Arab yang terkenal dengan kejelitaannya tersimpan dengan baik di dalam kitab-kitab Arab. Nama Urainab binti Ishaq tidak pernah tercatit terdapat di dalam senarai mereka itu.
3) Sahabat terkenal Sayyidina Abu Darda’ wafat pada tahun 31H atau 32H di zaman pemerintahan Sayyidina Uthman bin Affan r.a. Beliau pernah menyandang jawatan hakim di zaman pemerintahan Sayyidina Uthman itu. Semasa kewafatan Abu Darda’, Sayyidina Muawiyah belum lagi menjadi khalifah dan Yazid juga belum lagi dilantik sebagai bakal pengganti khalifah. Bagaimanalah akan dilantik Yazid pada ketika itu kerana umurnya baru setahun atau dua tahun.Yazid dilahirkan pada tahun 30H. Kalau diterima satu pendapat yang mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 25H, bermakna beliau baru berumur 6 atau7 tahun, sedangkan semua ahli sejarah mengatakan perlantikan Yazid berlaku paling awal pada tahun 50H, iaitu setelah sekian lama Sayyidina Muawiyah menjadi Amirul Mukminin.
4) Seseorang yang berkahwin dengan seseorang perempuan yang dicerai dengan maksud akan menceraikannya agar ia dikahwini kembali oleh bekas suaminya adalah seorang yang terkutuk di sisi Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. Bagaimana kita akan menerima perbuatan hina seperti itu yang dilakukan oleh orang yang istimewa di dalam agama seperti Sayyidina Husain? Kemudian apa pula ertinya Sayyidina Husain menyimpan perempuan itu dengan menganggapnya hanya sebagai adik? Nampaknya pereka cerita ini tidak mengetahui erti nikah yang hakiki di dalam bahasa arab iaitu “jimak”. Selagi tidak berlaku persetubuhan yang sahih menurut syara’ di antara lelaki dan perempuan yang berkahwin maka tidak dikira telah sempurna perkahwinan itu. Bekas suami seseorang perempuan tidak boleh mengahwininya selagi suami keduanya tidak menceraikannya dengan sendiri tanpa ada sebarang perancangan terlebih dahulu untuk menceraikannya. Ini adalah berlandaskan firman Allah SWT, mafhumnya: “ Sehingga perempuan itu mengahwini orang lain ( bernikah dengannya)”. Adakah Sayyidina Husain tidak tahu hadis yang diriwayatkan oleh ayahnya Ali bin Abi Talib r.a dari Nabi s.a.w. di mana Baginda s.a.w. mengutuk “ muhallil” dan “muhallal lahu” ( iaitu orang yang menjadi “cina buta” untuk membolehkan bekas suaminya berkahwin semula dengan isterinya). Hadis ini riwayat Imam Ahmad dan semua ahli As Sunnah kecuali Nasa’i.
5) Ketika menyenaraikan nama isteri-isteri Sayyidina Husain, tidak ada ahli sejarah yang menyenaraikan nama Urainab.
6) Menurut ajaran Islam apabila seseorang melamar seorang perempuan maka orang lain tidak boleh melamarnya selagi lamaran orang pertama tidak ditolak oleh perempuan itu. Jadi bila Muawiyyah bagi pihak Yazid telah melamar Urainab maka tidaklah harus bagi Sayyidina Husain menindih lamaran itu dengan lamarannya. Kepalsuan cerita ini lebih menonjol bila perantara bagi kedua-dua lamaran itu ialah seorang sahabat yang terkenal dengan kebijaksanaannya. Adakah masuk akal orang yang bijak seperti Abu Darda’ itu tidak mengetahui perkara sekecil ini?.
7) Tidak ada seorang pun daripada keturunan Quraisy bernama Abdullah bin Salam. Bukan sekadar itu sahaja bahkan tidak ada seorang pun daripada keturunuan Arab hingga pada waktu itu bernama begitu sejauh pengetahuan sejarah. Hanya ada seorang sahabat bernama Abdullah bin Salam. Beliau memeluk Islam setelah peristiwa hijrah, tetapi beliau adalah seorang alim Yahudi. Tidak pernah pula menjadi Gabenor di mana-mana wilayah Islam.
8) Dalam riwayat asal ada tersebut bahawa Amirul Mukminin Muawiyah telah menghantar lamaran Yazid kepada Abdullah bin Salam. Hairan! Apa pula tujuan menghantar lamaran kepadanya. Bukankah dia suami yang telah menceraikan Urainab. Kenapa pula di sini dia dianggap sebagai wali?
9) Di dalam cerita ini disebutkan bahawa Abu Darda’ dan Abu Hurairah kemudiannya menetap di Madinah kerana terpaksa meninggalkan Syam. Di sini perlu sekali diketahui bahawa Madinah adalah tanah tumpah darah Abu Darda’. Beliau sememangnya menetap di Syam kerana menjalankan tugas bagi pihak kerajaan bagi pihak Sayyidina Uthman. Sekiranya Abu Darda’ berangkat ke Madinah atau berulang alik ke Madinah tidaklah menjadi suatu perkara pelik kerana itu kerana tanah tumpah darahnya, sudah tentu sekali ada sanak saudaranya di sana. Persoalannya ialah Abu Darda’ itu sebenarnya wafat di Syam. Ini menunjukkan bahawa beliau menetap di Syam hingga ke akhir hayatnya. ( lihat “Al Ma’arij” oleh Ibn Qutaibah dan “Al Ishabah” oleh Ibn Hajar Al Asqalaani ). Sementara Abu Hurairah pula tidak pernah menetap di Syam.
Inilah dia hakikat cerita ini. Suatu cerita yang tidak dapat ditentukan di mana letak kepalanya dan di mana pula letak ekornya!
Ia bukan sahaja telah berjaya mencacatkan peribadi Muawiyah dan Yazid, bahkan juga mencacatkan peribadi Sayyidina Husain, Abu Darda’ dan Abu Hurairah r.a, dan inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh musuh-musuh Islam yang telah mereka cerita ini dengan berselindung di sebalik dakwaan mereka “kami adalah golongan pencinta Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.”
No comments:
Post a Comment