SUASANA di dalam mahkamah di Darmstadt, Jerman sepi tiba-tiba apabila ucapan maaf dilontarkan oleh ketua band wanita terkenal negara itu, No Angels, Nadja Benaissa, 28.
"Saya tidak sangka ia berlaku akibat kelalaian saya," ujar Nadja sewaktu dibicarakan atas dakwaan menyebarkan virus kurang daya tahan manusia (HIV) kepada tiga lelaki yang menidurinya.
Nadja masih melakukan hubungan seks dengan kesemua pasangannya itu walaupun dia mengetahui dirinya positif HIV. Perbuatannya itu merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang Jerman.
Dia ditahan polis di Frankfurt tahun lalu dan bakal berhadapan hukuman penjara di antara enam bulan hingga 10 tahun sekiranya didapati bersalah.
Wanita berdarah Maghribi dan Serbia-Jerman ini mula dikenali setelah menyertai sebuah program realiti Jerman, Popstars pada tahun 2000 dan mengalahkan seramai 4,500 peserta lain.
Kes mahkamah Nadja, ibu kepada Laila Jamila, 11, bermula selepas bekas kekasihnya yang berusia 38 tahun membuat laporan polis. Akibatnya, Nadja ditahan semenjak April lalu. Polis menahan penyanyi seksi itu sejurus sebelum dia memulakan persembahan di sebuah kelab malam di Frankfurt.
Menurut pemuzik itu, dia kini menderita kerana menghidap HIV positif yang berjangkit melalui Nadja pada tahun 2004.
"Dia membunuh saya secara perlahan-lahan dengan perbuatannya itu," luah lelaki itu semasa disoal oleh peguam.
Meskipun mengetahui dirinya pembawa virus berbahaya itu semenjak tahun 1999, Nadja tidak memberitahu pasangannya.
Bagaimanapun, Nadja menafikan dia sengaja menyebarkan virus itu kepada orang lain termasuk dua lagi lelaki yang pernah menidurinya. Kata Nadja, dalam apa cara sekali pun, dia tidak mahu pasangannya dijangkiti.
Nadja turut memberitahu, dia baru menyedari caranya menangani penyakit itu selama ini adalah salah. Pada masa yang sama dia takut populariti No Angels akan jatuh merudum jika orang ramai mengetahui dirinya penghidap HIV.
"Doktor memberitahu saya bahawa risiko jangkitan secara teknikal adalah kosong," katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya dalam prosiding tersebut.
Nadja didiagnosis HIV positif pada usia 17 tahun ketika menjalani pemeriksaan rutin selepas disahkan mengandung.
Menurut pendakwa raya bandar Darmstadt, Ger Neuber, Nadja mengadakan hubungan seks yang tidak selamat dengan tiga lelaki pada tahun 2004 dan 2006 walaupun dia mengetahui dirinya mempunyai virus pembunuh tersebut.
Jujur
"Untuk itu, kami menangkap dan menahannya kerana terdapat potensi dia akan mengulang perbuatan (hubungan seks) itu lagi," jelas Ger Neuber kepada Time.com.
Kes tersebut, menurut Ger Neuber, disiasat semenjak Jun tahun lalu. Walaupun terdapat beberapa kes yang serupa di Jerman, beliau menyatakan kes Nadja menjadi luar biasa kerana dia seorang selebriti.
Mengimbas perjalanan hidup Nadja yang turut terkenal sebagai penggubah lagu dan pelakon, dia memulakan karier seni pada umur sembilan tahun.
Anak kedua pasangan Muhammed Benaissa dan Sebina ini juga berbakat bermain beberapa instrumen muzik termasuk piano.
Membesarkan anak perempuannya bersendirian selepas ditinggalkan oleh kekasihnya, Nadja mengambil kelas malam untuk mendapatkan sijil O Level.
"Tidak susah membesarkan anak saya. Malah, kelahirannya adalah saat paling membanggakan dalam hidup saya," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Datuk Mohd. Zaman Khan berpendapat, tindakan Nadja yang tidak memberitahu penyakit yang dihidapinya merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
"Setiap orang yang mempunyai HIV positif harus melindungi pasangan mereka daripada dijangkiti. Malah, mereka mesti bersikap jujur dan mengamalkan seks yang selamat seperti menggunakan kondom," tegasnya kepada Jurnal.
Ujar beliau lagi, bukan saja kerana mahu mengelakkan jangkitan virus tersebut, seks selamat juga penting bagi menghindari penyakit lain yang berjangkit melalui hubungan seks.
Tambah Zaman Khan, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, tiada individu boleh mendedahkan risiko penyakitnya kepada orang lain.
"Akta ini bukan sahaja menegah sebarang penyebaran penyakit malah menyelamatkan orang awam daripada dijangkiti," ungkapnya.
Walaupun tidak dapat memberikan statistik yang tepat, Zaman Khan berkata kes penghidap HIV positif tidak memberitahu perkara sebenar kepada pasangan banyak berlaku dan seringkali melibatkan lelaki.
Sehingga Jun tahun lalu, sebanyak 86,127 kes jangkitan HIV dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Daripada jumlah itu, 14,955 merupakan penghidap AIDS dengan 13,003 kes kematian.
Namun, menurut Zaman Khan, terdapat juga pasangan yang didiagnosis HIV positif tetapi masih mahu meneruskan perkahwinan.
"Ia adalah hak pasangan terbabit. Bagaimanapun, mereka hendaklah mengamalkan hubungan seks yang selamat dan menjalani rawatan agar pasangan dan anak tidak dijangkiti," kata Zaman Khan.
No comments:
Post a Comment