Pages

Thursday, August 26, 2010

PBB desak Israel benar tapak nuklear diperiksa


BAITULMAQDIS 25 Ogos - Ketua agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini berada di Israel untuk mengusahakan resolusi mendesak rejim Zionis itu membenarkan tapak nuklearnya diperiksa oleh badan dunia itu dan menyertai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), lapor stesen Israeli TV, semalam.
Pegawai kerajaan Israel mengesahkan kepada Channel 10 TV bahawa Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Yukiya Amano akan membangkitkan kebimbangan beberapa negara anggota badan itu mengenai dakwaan kemampuan nuklear Israel.
Amano tiba di Israel dua hari lalu dalam lawatan berprofil rendah selama tiga hari merangkumi pertemuan dengan Presiden Shimon Peres hari ini dan Timbalan Perdana Menteri, Dan Meridor yang juga Menteri Tenaga Atom.
Israel adalah satu daripada tiga negara di dunia termasuk India dan Pakistan yang tidak menandatangani NPT dan secara meluas dianggap sebagai satu-satunya kuasa nuklear walaupun ia tidak pernah disahkan atau dinafikan secara rasmi.
IAEA meluluskan resolusi pada September lalu, menuntut Israel menangani isu tersebut. Resolusi yang disokong anggota Majlis Keselamatan PBB, Rusia dan China, diluluskan dengan margin 49-45 dengan 16 berkecuali.
Media Israel melaporkan adalah janggal apabila Amano tidak bertemu dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Ehud Barak. Channel 10 TV melaporkan rancangan pertemuan dibatalkan dan mereka hanya berbicara melalui panggilan telefon.
Amano turut melawat Pusat Penyelidikan Nuklear Soreq, institut penyelidikan di pinggir Laut Mediterranean yang mempunyai reaktor nuklear lima megawatt.
Ia dilihat sebagai kemenangan ke atas negara-negara Arab yang menaja gerakan itu.
Amano bagaimanapun tidak akan melawat sebuah lagi fasiliti nuklear dekat bandar Dimona di padang pasir Negev, yang menempatkan reaktor jenis IRR-2 penyejukan air berat dan sederhana yang menggunakan bahan api uranium semula jadi dengan kemampuan nominal 26 megawatt. - REUTERS

No comments: