Pages

Thursday, August 26, 2010

52 maut dalam serangan bom


ANGGOTA penyiasat mencari bahan bukti di satu daripada lokasi serangan bom di Basra, 420 kilometer dari Baghdad, semalam. - REUTERS


BAGHDAD 25 Ogos - Satu siri serangan bom terancang yang disasarkan terhadap polis di seluruh Iraq hari ini, meragut 52 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak, sehari selepas tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan jumlah pengurangan tentera secara besar-besaran.
Di Baghdad, seorang pengebom nekad meletupkan dirinya di sebuah balai polis di timur laut bandar kecil Qahira, mengorbankan 15 orang termasuk dua wanita, dua kanak-kanak dan dua polis, selain mencederakan berpuluh-puluh yang lain, lapor pegawai keselamatan dan perubatan.
Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri yang mengeluarkan angka korban berkata, serangan di kawasan kejiranan Sunah dan Syiah itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi ini waktu tempatan.
Seorang doktor di Hospital Medical City berkata, pihaknya menerima mayat dua wanita, dua kanak-kanak dan dua polis, sementara 44 yang lain sedang dirawat.
Dalam serangan berasingan, Leftenan Ali Hussein berkata, satu letupan kereta di pejabat pasport di Kut, 160 kilometer di tenggara Baghdad, membunuh 15 nyawa termasuk sekurang-kurangnya 10 polis, dan mencederakan 45 yang lain, kebanyakannya polis.
Satu siri serangan bom di lima pekan dan bandar lain di seluruh negara, meningkatkan jumlah kematian kepada 41, sementara hampir 200 yang lain cedera.
Pertambahan kekacauan sejak dua bulan lalu telah menimbulkan kebimbangan bahawa tentera Iraq masih belum bersedia mengendalikan keselamatan negara mereka sendiri, ditambah dengan kerajaan baru yang masih belum dibentuk di Baghdad sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Satu kenyataan tentera AS semalam menyatakan, jumlah tentera mereka yang berada di Iraq kini kurang 50,000 anggota, seiring dengan arahan Presiden Barack Obama sebagai sebahagian 'tanggungjawab mengurangkan tentera', tujuh tahun selepas pencerobohan yang menyingkirkan Saddam Hussien.
Pengurangan jumlah tentera itu menimbulkan kebimbangan bahawa al-Qaeda mungkin akan memperhebat lagi serangan mereka. - AFP

No comments: