Pages

Friday, August 13, 2010

Masak sendiri lebih jimat

MASAK sendiri atau beli? Itulah persoalan yang sering bermain di fikiran masyarakat setiap kali tiba Ramadan.
Bagi yang bekerja terutama tinggal di kota metropolitan, sukar bagi mereka berkejar pulang ke rumah untuk menyediakan juadah berbuka selepas waktu pejabat. Justeru, paling mudah adalah singgah saja di bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis makanan.
Namun, melihat lautan juadah yang dijual pasti membuatkan kita hilang pertimbangan sehingga membeli berlebihan serta berlaku pembaziran.

Biarpun Ramadan waktu terbaik mengekang nafsu, masih ramai tidak dapat melakukannya terutama mengekang nafsu berbelanja.

Sama ada membeli juadah atau memasak sendiri untuk berbuka, memang agak rumit untuk ditentukan kerana masing-masing mempunyai pendapat sendiri.

Bagi yang sudah mempunyai keluarga, kebanyakan mereka lebih gemar berbuka dengan hidangan dimasak sendiri kerana terjamin kualitinya malah mampu menjimatkan wang.

Harga makanan biasanya meningkat hampir sekali ganda menjelang Ramadan dan Syawal, ditambah pula kesan kenaikan harga gula serta bahan api, baru-baru ini. Suri rumah, Wan Nor Juliana Wan Hashim, 31, dari Kubang Kerian, Kelantan berkata, dia lebih gemar memasak sendiri hidangan berbuka untuk keluarga kerana lebih menjimatkan.

Ibu kepada dua anak perempuan berusia antara satu hingga empat tahun itu berkata, bagi yang memiliki keluarga besar sepertinya (lebih 10 orang), memasak adalah pilihan yang paling baik kerana lebih berbaloi.

Suri rumah sepertinya harus bijak mengawal perbelanjaan keluarga sepanjang Ramadan ini kerana pada masa sama, perlu menyimpan untuk membeli keperluan Aidilfitri.

Katanya, walaupun harga makanan di negeri Cik Siti Wang Kembang jauh lebih murah berbanding negeri lain, dia tetap memilih untuk memasak sendiri hidangan berbuka setiap hari.

"Memang memasak sendiri lebih menjimatkan kerana kita dapat menikmati pelbagai jenis hidangan dengan hanya membeli bahan asasnya saja yang kurang daripada RM30 setiap hari.
"Selain itu, tahap kebersihan juga dapat dijaga dan aspek berkenaan memang saya utamakan memandangkan memiliki anak yang masih kecil.

"Apatah lagi, kanak-kanak memang mudah mendapat penyakit cirit-birit sekiranya termakan makanan yang tidak bersih atau yang sudah berulang kali dipanaskan semula," katanya.

Bagaimanapun, untuk hidangan sampingan seperti kuih-muih, Wan Nor Juliana berkata, biasanya dia membeli saja juadah yang dimahukan di bazar berdekatan kerana lebih pelbagai.

"Untuk membuat sendiri memang tidak kerana proses penyediaan kuih-muih lebih rumit dan mengambil masa yang lebih panjang berbanding memasak hidangan utama.
"Jadi, untuk menjimatkan masa, kami beli saja sejenis dua kuih-muih seperti buah Melaka, kek batik, jala emas atau bunga tanjung," katanya.

Berlainan pula dengan Dian Sumarti Mokhtar, 28, yang lebih memilih untuk membeli saja juadah di bazar Ramadan meskipun sudah memiliki keluarga sendiri.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia setahun tujuh bulan itu berkata, suaminya, Azwan Awaludin, 28, tidak cerewet mengenai hidangan untuk berbuka kerana tiada juadah kegemaran yang perlu disediakan setiap hari.

Katanya, kesibukan tugas sebagai penolong penerbit rancangan di RTM kadang-kala mencuri masanya untuk bersama keluarga tetapi dia sedaya upaya menghabiskan kerja awal untuk berbuka dengan suaminya sepanjang bulan puasa ini.

"Oleh kerana jarak tempat kerja dan rumah agak jauh, kami sampai ke rumah menjelang waktu Maghrib.

"Jadi, untuk menyediakan hidangan berbuka dengan segera memang mustahil, lebih-lebih lagi selepas menempuh perjalanan jauh dan kesesakan trafik.

"Untuk itu, saya atau suami akan bergilir singgah di bazar Ramadan berhampiran tempat tinggal untuk membeli makanan untuk kami tiga beranak. Ia sememangnya lebih mudah dan tidak membazir kerana kami beli apa yang mahu dimakan pada ketika itu saja," katanya.

Menurut Dian Sumarti, pada hujung minggu biasanya dia memasak juadah hidangan berbuka terutama masakan kegemaran suaminya iaitu sambal udang petai atau ikan patin masak tempoyak.

"Setiap hari menikmati makanan yang dibeli memang menjemukan dan untuk itu, saya memasak pada hujung minggu, tidak kira ketika bulan puasa atau hari biasa.

"Namun, jumlah hidangan yang disediakan tidak terlalu banyak iaitu dua lauk dan sayur. Keluarga kami tidak ramai, jadi tidak perlu memasak beria-ia sangat," katanya.

Nor Azizah Alyas, 28, berkata, walau sesibuk mana sekali pun, dia tetap berusaha menyediakan sendiri hidangan berbuka untuk suaminya, Khairul Zamili Kamaral Zaman, 29 dan anak, Kasyful Nur Ikhwan, 2.

Dia yang menjalankan perniagaan sendiri sejak mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu, berkata, mereka sekeluarga jarang makan di luar kerana tidak semua makanan yang dijual itu menepati cita rasa.

Untuk itu, dia memasak hidangan utama setiap hari dan mempelbagaikan menu bagi mengelakkan rasa jemu.

Dia dan suami menyediakan stok barangan basah tiga hari sekali dan untuk barangan kering, seminggu atau dua minggu sekali.

"Biasanya kami berkunjung ke pasar raya besar bagi mendapatkan bekalan ikan, ayam, daging serta sayuran untuk digunakan dalam tempoh tiga hari hingga seminggu.

"Perbelanjaan membeli bahan itu biasanya tidak lebih RM60 dan ia memang lebih menjimatkan jika dibandingkan dengan membeli setiap hari di luar.

"Jadi, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dengan kenaikan harga barang, memang lebih baik bagi kami memasak sendiri di rumah. "Memang agak meletihkan apabila terpaksa berkejar-kejar menyiapkan hidangan setiap hari selepas bekerja tetapi berpuas hati saya dapat menyediakan hidangan yang lebih berkhasiat daripada air tangan sendiri," katanya.

No comments: