Pages

Tuesday, August 3, 2010

Cadangan elak golongan muda terlibat zina



Saudara Pengarang,
STATISTIK pembuangan bayi ketika ini amat membimbangkan iaitu 407 kes sehingga 22 Mac lalu. Angka ini tidak mustahil akan meningkat dari hari ke hari jika tiada tindakan tegas diambil oleh semua pihak sama ada kerajaan, ibu bapa dan setiap anggota masyarakat.
Senang cakap, masalah buang bayi ini berpunca daripada maksiat dan perzinaan yang berleluasa dan kebanyakan yang terlibat pula adalah umat Islam sendiri. Sungguh memalukan!
Al-Quran mengingatkan kita supaya jangan mendekati zina. Bermakna bukan setakat berzina yang sudah tentu diharamkan, bahkan mendekati unsur-unsur yang membawa kepada zina juga amat dilarang keras.
Hari ini, kita sendiri tahu bagaimana bahan-bahan atau unsur-unsur yang menggalakkan perzinaan hari ini boleh didapati di mana-mana sama ada melalui Internet atau VCD haram dan sebagainya yang merupakan unsur-unsur membawa kepada maksiat dan zina.
Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita hari ini menjadi sesuatu yang biasa di kalangan masyarakat walhal ia ditegah oleh syariat.
Apabila unsur-unsur maksiat bermaharajalela maka natijah kepada masalah itu, salah satunya ialah pembuangan bayi selain keruntuhan institusi keluarga.
Cadangan penyelesaian ialah:
1) Memperkukuhkan penghayatan dan amalan ajaran Islam di kalangan anak-anak dan ahli keluarga. Al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW mesti dibaca setiap hari di rumah oleh ibu bapa dan anak-anak pada waktu sesuai. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan meletakkan semua tanggungjawab kepada sekolah kerana anak-anak banyak masa di luar sekolah atau di rumah. Di rumah juga ibu bapa dan anak-anak boleh membacakan kisah nabi, para sahabat nabi SAW atau kisah-kisah yang boleh meningkatkan keimanan anak-anak. Menekankan isi keluarga menunaikan solat dan yang lelaki yang sudah baligh seboleh-bolehnya secara berjemaah di masjid atau surau. Anak-anak yang tinggal di asrama atau rumah sewa perlu diziarahi oleh ahli keluarga secara berkala dan kerap selain diambil tahu kebajikan termasuk dari segi amalan agama mereka seharian.
Dengan pemahaman dan ilmu agama yang diperoleh di sekolah atau rumah termasuk amalan secara praktikal setiap masa terhadap ajaran itu maka mudah-mudahan generasi muda terhindar daripada terjebak dengan maksiat yang semakin kuat godaannya di luar sana.
2) Pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan terhadap jualan bahan-bahan lucah. Ibu bapa perlu menyekat bahan-bahan dalam laman web yang berunsur lucah daripada dilayari anak-anak.
3) Menyokong sebarang usaha untuk menimbulkan kesedaran terhadap masalah ini termasuk yang dilakukan oleh Utusan Malaysia melalui kempen Kami Prihatin.
4) Cadangan kerajaan Melaka menggalakkan golongan muda berkahwin perlu disokong kerana ia salah satu cara untuk mengelakkan golongan muda terlibat dalam maksiat. Tidak seperti cadangan membina sekolah hamil, cadangan memberi bantuan untuk pasangan muda yang hendak bernikah amat baik dan boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah asalkan mengikut undang-undang.
Undang-undang syariah di negara ini menetapkan umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki atau bagi perempuan adalah 16 tahun. Jadi sekiranya jodoh seseorang telah ditemui maka disegerakan perkahwinan walaupun pasangan baru berusia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Perkahwinan ini tidaklah menghalang untuk pasangan yang masih muda ini hendak bekerja atau melanjutkan pengajian misalnya ke institusi pengajian awam kerana di peringkat ini ramai yang sudah bernikah pun mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Ini hanya sekadar cadangan.
TOK SIAK

No comments: