Pages

Tuesday, August 3, 2010

6 lagi Warisan Dunia UNESCO



Tapak bersejarah di Lembah Oaxaca di Mexico yang turut dinamakan sebagai Warisan Dunia Unesco, semalam. - AGENSI


BRASILIA 2 Ogos - Enam tapak warisan yang terletak di Brazil, China, Mexico, Pulau Reunion dan Kiribati mendapat status Warisan Dunia daripada sebuah panel UNESCO yang bermesyuarat di sini semalam.
Empat tapak Warisan Dunia sedia ada yang terletak di Austria, Bulgaria, Romania dan Sepanyol turut diperluaskan untuk meliputi khazanah alam atau kebudayaan yang berdekatan, menurut kenyataan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu.
Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO, pada mesyuarat 10 hari yang berakhir esok, sudah pun menambah atau memperluaskan 17 tapak lain kepada senarainya, menjadikan jumlah tapak warisan yang mendapat status berprestij itu di seluruh dunia meningkat kepada 910.
Enam lokasi terbaru terdiri daripada tiga tapak yang penting dari segi kebudayaan manakala tiga lagi mempunyai keunikan alam sekitar.
Dataran Sao Francisco di pekan Sao Cristovao, timur laut Brazil diberi status tapak Warisan Dunia kerana terdapatnya sebuah gereja dan biara di sana, serta sebuah istana dan rumah-rumah berkaitan, kesemuanya dibina pada abad ke-18 dan ke-19.
Binaan-binaan tersebut 'mewujudkan landskap bandar yang mencerminkan sejarah pekan itu sejak permulaannya'.
Landskap tanah merah Danxia yang terbit daripada mendapan lanar sungai di barat laut China mendapat status tersebut kerana peranannya dalam memelihara hutan subtropika dan menaungi flora dan fauna, termasuk 400 spesies yang dianggap jarang ditemui atau diancam kepupusan.
Dua tapak di Mexico mendapat status Warisan Dunia. Tapak pertama, Camino Real de Tierra Adentro atau Jalan Dalam Negeri Diraja, dari utara Mexico City ke Amerika Syarikat (AS), digunakan untuk mengangkut perak dari lombong selama 300 tahun mulai abad ke-16.
Satu lagi tapak ialah kompleks gua prasejarah di Lembah Oaxaca, tengah Mexico.
Turut mendapat status tapak Warisan Dunia ialah taman negara di Pulau Reunion iaitu wilayah Perancis di Lautan Hindi, dan Kepulauan Phoenix di negara Lautan Pasifik, Kiribati.
Kepulauan Phoenix ialah zon yang menempatkan kawasan perlindungan marin terbesar di dunia. - AFP

No comments: