ISLAMABAD - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menganggarkan seramai 4.6 juta orang masih tiada tempat berlindung selepas banjir besar melanda Pakistan.
Angka itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding anggaran bantuan PBB ketika badan dunia itu bersiap sedia untuk meningkatkan bantuan ke Pakistan.
PBB menyifatkan banjir yang menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk di Pakistan itu sebagai antara bencana alam terbesar pernah melanda dunia.
Namun, ketika bantuan asing mula tiba, pengkritik-pengkritik mengecam komuniti antarabangsa kerana terlalu lambat bertindak.
Setakat ini, sekurang-kurangnya enam juta mangsa banjir bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan.
Mangsa-mangsa banjir memerlukan makanan, tempat tinggal dan air minuman bersih manakala kebimbangan turut meningkat berhubung tercetusnya wabak penyakit seperti taun, demam kepialu dan hepatitis.
"Dianggarkan 4.6 juta orang masih tiada tempat tinggal," kata jurucakap Pejabat PBB bagi Koordinasi dan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Maurizio Giuliano, di Islamabad. - AFP
No comments:
Post a Comment