Pages

Friday, August 20, 2010

Enau merimbun, maksiat menjadi-jadi


- SRI DIAH

Firman Allah SWT dalam surah An-nisa’ ayat 93: 

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” 

Lumrahnya, sepanjang Ramadan yang penuh berkat ini, ramai orang yang sedang berlumba-lumba merebut pahala. Sebelah pagi jika ada waktu luang, solat dhuha dilakukan dan malamnya pula berqiam sampai ke pagi. Lena sekejap dan terus melakukan solat Subuh pula. 

Namun dalam masa yang sama semakin ramai yang berbuat kemungkaran sehingga tergamak melakukan dosa dan sampai kepada kategori membunuh. Insan yang lemah tidak bermaya dicampak ke tong sampah. Dibuang ke longkang. Di humban ke dalam sungai dan juga mangkuk tandas. 

Hakikatnya cinta itu suci. Siapa yang mengotorinya? Cinta itu agung, tapi siapa yang menjerumuskan cinta ke lembah hina? Cinta itu penawar tapi cinta itu juga racun. Melainkan cinta kita kepada Ya Rahman, Ya Rahim yang mencipta sekalian alam. 

Penyakit ini berpunca daripada pengaruh sosial yang tidak terbendung, cetek ilmu agama dan menafikan ajaran Islam. Sejak awal kehidupan remaja lagi, mereka sudah disogokkan dengan kisah-kisah cinta, kisah-kisah glamor dunia artis tempatan dan barat, kisah-kisah dalam drama, kisah-kisah remaja yang bertentangan dengan adat dan syariat Islam. 

Kemudian mereka mempraktikkan apa dibaca, apa ditonton dan apa yang didengar. Setelah terjebak dengan hubungan terlarang, ia menjadi nikmat pula dan sukar untuk keluar dari kancah dosa... lalu terjadi janin terlarang. Mahu mengadu kepada siapa? Siapa mahu bertanggungjawab? Memang, untuk mudah, campak sahaja. 

Sedih, pilu, ngeri, tak berperikemanusiaan dan banyak lagi perkataan seumpama bagi menggambarkan tentang kes pembuangan bayi sekarang yang bagaikan satu fenomena di negara kita. Statistik kes ini menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun dan bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan bagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam. 

Kehidupan generasi muda masa kini yang kebanyakannya bertunjangkan keseronokan duniawi telah mengheret mereka ke kancah pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Akibat terlalu ghairah mengejar kenikmatan dunia, ada di kalangan masyarakat yang alpa sehingga terjebak dengan perbuatan zina sehingga mengandungkan anak luar nikah. 

Bukan masyarakat tidak proaktif membantu kerajaan menangani isu pembuangan bayi. Bukan masyarakat tutup mata dan tutup telinga. Walau ada aduan terus ke Talian Nur (15999) namun sekiranya kes semakin melambak-lambak hingga tidak tertanggung, siapa pun sukar hendak membantu. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Talian Nur 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari itu boleh diakses oleh semua pelanggan untuk membuat aduan. 

Katanya, talian tersebut merupakan talian setempat yang diwujudkan sebagai pusat maklumat serta aduan untuk segala krisis masyarakat dan ia boleh dihubungi melalui talian tetap, telefon bimbit dan telefon awam. 

Oleh kerana kerja memerangi kemungkaran, maksiat, khalwat, bersekedudukan, zina dan sumbang mahram ini memerlukan satu operasi bersepadu, maka wajarlah pihak lain juga mewujudkan talian masing-masing. 

Ini kerana Talian Nur hanya untuk pusat maklumat, pertanyaan, menyalurkan sebarang aduan yang membabitkan isu-isu atau kes-kes sosial di sekeliling mereka. Mereka tidak boleh bertindak lebih daripada itu. 

Pihak Jabatan Agama Islam dan Polis Diraja Malaysia juga masing-masing mempunyai ruang tugas yang terhad dan tidak boleh melangkaui bidang tugas pihak lain. Maka eloklah mereka bekerjasama menjadi satu kuasa yang lebih kuat dan mantap. 

Tidak dinafikan langkah penguatkuasaan yang lemah oleh pihak bertanggungjawab membuka peluang yang lebih kepada remaja yang hidup tanpa pegangan dan hala tuju yang jelas. 

Statistik menunjukkan bilangan besar individu yang terbabit dengan kes pembuangan bayi dikesan berusia antara 18 hingga 25 tahun mengikut statistik bermula 2004 hingga 2009 yang dikeluarkan oleh pihak PDRM. 

Sebenarnya anggota masyarakat dan jiran juga turut dipersalahkan kerana gemar mengambil sikap ‘seperti enau di dalam belukar’. Ini menyebabkan kes pembuangan bayi sukar dibanteras. 

Ironinya kita tertanya-tanya... kenapa setiap kali timbulnya kes-kes seperti buang bayi, seks bebas dan yang sewaktu denganya, pasti remaja dipersalahkan? Kenapa tidak disalahkan ibu bapa yang alpa, yang leka dengan kerjaya hingga kurang memberi didikan agama dan perhatian kepada anak-anak?

No comments: