TEHERAN 21 Julai – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei hari ini menyeru umat Islam agar menentang ‘keganasan buta dan kejam’ yang dilakukan Amerika Syarikat (AS) dan Britain, yang didakwanya menjadi dalang pengeboman di sebuah masjid Iran.
“Di rantau ini... keganasan buta dan kejam dilahirkan dari dasar jahat AS, Britain dan askar upahan dari negara atau bukan dari negara mereka.
“Semua umat Islam perlu melawan dan menentang ‘kelahiran’ jahat dan menakutkan yang merupakan punca utama korupsi di atas muka bumi dan melaksanakan perang terhadap Tuhan,” tegas Khamenei yang sangat berpengaruh itu dalam satu kenyataan sempena memperingati hari ketujuh insiden pengeboman sebuah masjid di tenggara negara ini.
Khamis lalu, dua pengebom berani mati meletupkan diri di sebuah masjid Syiah di Zahedan, bandar utama wilayah Sistan-Baluchestan yang bersempadan dengan Afghanistan dan Pakistan, menyebabkan 28 terbunuh dengan beratus-ratus lagi cedera.
Khamenei menegaskan, ‘insiden berdarah’ itu didalangi ‘kumpulan Wahabi yang licik dan taksub dan disokong organisasi perisikan asing’.
“Pemikir Syiah dan Sunah di semua negara Islam dan Arab perlu menaksirkan niat jahat musuh untuk memulakan keganasan berpuak dan menghalang negara Islam dari bersatu,” ujar beliau lagi.
Katanya, Iran menjadi ‘sasaran perkhidmatan perisikan AS dan rejim Zionis dan Britain’ yang mahu berlaku ketegangan agama sehingga timbul konflik Syiah-Sunah.
Menurutnya, republik Islam ini tidak akan membenarkan ejen keangkuhan global menghasut perpecahan di kalangan umat Islam yang bersaudara. – AFP
No comments:
Post a Comment