Pages

Thursday, July 22, 2010

Diancam tembak

SEPANG: “Kini, kebanyakan penduduk Palestin di Gaza tidak berani menghampiri kawasan sempadan kerana bimbang ditembak tentera rejim Israel.
“Malah, apa yang saya perhatikan, ramai penduduk Palestin terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan dan menganggur disebabkan sekatan ekonomi rejim Israel, sejak beberapa tahun lalu,” kata Naib Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Datuk Wira Dr Bahari Abu Mansor, semalam.
Bukan itu saja, Dr Bahari mengakui kebanyakan penduduk Palestin yang ditemui mengakui sedih dengan sekatan ekonomi dilakukan Israel selain tidak boleh meninggalkan negara sendiri. “Ada seorang penduduk Palestin memberitahu kami...dia memiliki tanah pertanian di sempadan, tetapi tidak boleh menghampiri kawasan itu kerana bimbang rejim Israel menetapkan peraturan bahawa mereka yang memasuki jarak tertentu ditembak,” katanya ketika ditemui sebaik tiba bersama kumpulan sukarelawan PBSM termasuk wakil media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kaherah, Mesir, kira-kira jam 2 petang, semalam.

Rombongan itu yang berjaya memasuki Gaza melalui pintu sempadan Rafah di Mesir, Jumaat lalu, disambut keluarga masing-masing yang menanti dengan sabar dan kegembiraan sebaik pulang dari negara bergolak itu.

Turut sama dalam rombongan itu, Pengerusi Jawatankuasa Publisiti PBSM Malaysia, Datuk Ahmad A Talib dan Pengurus Pengurusan Bencana, Nasir Khan Abdul Rahman.

Kehadiran rombongan PBSM Malaysia ke Gaza itu bagi memantau perbelanjaan sumbangan RM1.7 juta yang diserahkan kepada PBSM Palestin untuk membeli peralatan perubatan dan keperluan pesakit di Gaza, tahun lalu.

Tanpa berselindung, Dr Bahari mengakui penduduk Palestin memerlukan bantuan kewangan bagi membolehkan mereka membeli ubat-ubatan dan peralatan baru untuk merawat pesakit di kebanyakan hospital.

Oleh itu, katanya, beliau meminta rakyat Malaysia supaya menderma dana kepada PBSM bagi membantu persatuan itu membeli ubat, peralatan baru dan membaik pulih hospital untuk memenuhi keperluan rakyat Palestin.

No comments: