REMAJA belasan tahun itu berkata, dia masih dapat mengingat dengan jelas hari dia ditahan beberapa anggota tentera kerajaan di jalan raya di Mandalay.
Dia dituduh mencuri dan dipaksa menjadi tentera kanak-kanak.
“Mereka berkata, jika anda tidak mahu ke penjara, anda perlu menyertai tentera. Saya berkata tidak mahu. Setiap kali menolak, saya akan dipukul. Apabila saya bersetuju, mereka berhenti memukul saya,” kata Win Sein.
Menurutnya, dia tidak mempunyai tempat tinggal dan tidak tahu tarikh lahirnya sebenar. Win Sein berkata, usianya kira-kira 15 tahun apabila dia diterima menjadi anggota tentera, menyertai beribu-ribu remaja bawah 18 tahun dalam pasukan tentera Myanmar dan kumpulan bersenjata etnik negara itu.
Selepas empat bulan menjalani latihan membabitkan kecergasan fizikal dan penggunaan senjata serta penderaan teruk, dia dihantar ke medan tempur bagi menghadapi kumpulan bersenjata etnik, jauh di dalam hutan.
Setahun kemudian, Win Sein meninggalkan pangkalannya dan melarikan diri dari negara yang diperintah tentera itu. Dia tiba di Mae Sot, bandar sempadan Thailand Mac lalu. “Alasan utama bukan kerana pertempuran. Saya melarikan diri kerana sarjan di situ amat kejam. Tidak cukup dengan maki hamun, mereka juga memukul tentera kanak-kanak. Kerana itu saya mengambil keputusan melarikan diri,” katanya.
Meskipun sukar untuk mengesahkan latar belakang bekas tentera kanak-kanak, penganalisis Myanmar, David Mathieson daripada Human Rights Watch (HRW) berkata, kisah Win Sein adalah sama dengan cerita tentera kanak-kanak lain dari segi masa latihan, lokasi dan beban kerja. Win Sein yang nama sebenarnya ditukar oleh AFP bagi melindungi dia dan keluarganya, kini diletakkan di bawah jagaan Tindakan Sosial Untuk Wanita (SAW), kumpulan bantuan yang berpusat di Mae Sot.
“Ketika baru tiba, dia enggan bercakap. Dia mudah hilang pertimbangan. Dia akan memecahkan botol dan menggunakan kaca untuk mengelar tangannya,” kata Pengarah SAW, Aye Aye Mar. “Dia juga enggan menjawab soalan kami. Dia tidak percaya semua orang.” Ia masalah psikologi yang dialami kebanyakan remaja yang pernah menghabiskan masa dalam tentera, kata pengarah itu, yang menjaga kira-kira 20 bekas tentera kanak-kanak dari Myanmar.
Menurut Win Sein, kanak-kanak di kemnya dipaksa memberitahu pegawai atasan bahawa mereka menyertai pasukan itu secara sukarela. Dan kerana takutkan sarjan yang memaksa mereka menyertai pasukan itu, mereka menipu usia mereka.
Undang-undang Myanmar mengharamkan pengambilan remaja bawah umur dalam pasukan tenteranya. Bagaimanapun, ia tetap dilakukan kerana mahu mengekalkan jumlah anggota, Kata Mathieson. Menurut Mathieson, kemungkinan terdapat beribu-ribu tentera kanak-kanak dalam pasukan tentera kerajaan yang dianggarkan berjumlah 400,000 orang.
Dan masalah itu tidak terhad dalam tentera rasmi Myanmar saja, negara yang di bawah pemerintahan tentera sejak 1926 dan dilanda perang saudara di kawasan minoriti etnik sejak merdeka pada 1948.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan Mei lalu menamakan sembilan kumpulan bersenjata etnik dan tentera kerajaan, terbabit mengambil dan mengguna kanak-kanak dalam pertempuran. Win Sein yang sebelum dipaksa menjadi tentera, melarikan diri dari rumah kerana mengelak penderaan oleh bapa tirinya. Katanya, kanak-kanak jalanan begitu mudah menjadi sasaran pegawai tentera yang menerima habuan sebagai hadiah mengisi kuota anggota tentera.
Menurutnya, dia menemui beberapa askar kanak-kanak yang mempunyai latar belakang hampir sama dengannya.
“Pegawai berpakaian preman menghampiri kanak-kanak serupa itu dan bertanya, ‘Adik nak makan. Mari abang belanja.’ Kanak-kanak jalanan yang sentiasa lapar begitu gembira jika ada orang yang menawarkan makanan kepada mereka. Mereka akan mengikut orang itu,” kata Win Sein.
Pegawai Perhubungan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Myanmar, Steve Marshall, berkata, kanak-kanak yang menjadi mangsa biasanya ialah mereka yang berdepan dengan masalah rumit, seperti kanak-kanak yang terbiar dan hidup bersendirian di stesen kereta api dan pasar.
Menurutnya, kanak-kanak paling muda yang pernah diketahui menjadi tentera berusia 11 tahun.
Dengan persetujuan junta, ILO memproses aduan daripada keluarga mengenai kes pengambilan anggota tentera bawah umur yang jika disahkan akan dikemukakan kepada kerajaan untuk membebaskan kanak-kanak berkenaan dan menghukum mereka terbabit mengambil kanak-kanak itu menyertai pasukan bersenjata.
Sejak 2007, lebih 100 mangsa dibebaskan dan beberapa pegawai dikenakan tindakan disiplin, termasuk tiga yang dipenjara. Pihak tentera juga berusaha meningkatkan kesedaran mengenai undang-undang mengambil anggota tentera.
“Namun, tidak ada bukti kukuh menunjukkan keadaan itu semakin pulih,” kata Marshall.
Remaja dikerah ke medan tempur berdepan kemusnahan zaman kanak-kanak, masa depan yang tidak menentu dan bagi mereka seperti Win Sein, tekanan psikologi, termasuk keinginan untuk membalas dendam.
“Saya amat merindu ibu dan adik saya. Saya ingin menemui mereka tetapi tidak berani menghubungi mereka kerana tidak mahu keluarga saya berdepan dengan masalah. Saya tidak mahu mereka tahu apa yang telah saya lalui,” katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment