Pages

Saturday, July 31, 2010

Air bawah glasier bawa ancaman





Beberapa juruteknik memasang alat amaran di glasier Tete Rousse di atas gunung Mont-Blanc di pergunungan Alps, selepas saintis menemui takungan air sebanyak 65,000 meter padu yang mengancam keselamatan penduduk di lembah Saint-Gervais di kaki pergunungan itu. – AFP



LYON 30 Julai – Satu takungan air yang boleh mengisi 20 kolam renang saiz Olimpik, terperangkap di dalam sebuah glasier di Gunung Blanc, dan boleh pecah pada bila-bila masa serta mengancam nyawa penduduk di sebuah lembah di Pergunungan Alp di Perancis.
Penyelidik di Pusat Kebangsaan bagi Penyelidikan Saintifik (CNRS) berkata, sebanyak 65,000 meter padu air yang ditemui terperangkap di dalam glasier Tete-Rousse boleh mencurah keluar dan memusnahkan segala yang berada di laluannya termasuk kampung-kampung berdekatan dan hampir 900 rumah kediaman.
Mala petaka sedemikian pernah berlaku di kawasan tersebut pada 1892, menyebabkan kira-kira 200 orang maut.
Penyelidik menemui takungan air itu sewaktu melakukan pemeriksaan rutin ke atas glasier berkenaan.
“Kami tidak menjangka menemui takungan air itu,” kata jurutera geofizik CNRS, Christian Vincent.
Beliau menyifatkan penemuan itu sebagai sesuatu yang jarang berlaku kerana air di dalam glasier selalunya meleleh keluar perlahan-lahan.
“Dalam kes ini, glasier itu memerangkap air yang sangat sejuk dan boleh meletup akibat tekanan. Ia sekarang seperti sebuah periuk tekanan,” kata Vincent.
Pihak berkuasa memberi amaran kepada kira-kira 3,000 penduduk dan memberitahu mereka mengenai langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengalirkan air itu.
“Operasi mengepam air melalui lubang-lubang yang digerudi ke atas glasier itu akan dijalankan mulai pertengahan bulan depan sehingga Oktober ini untuk mengalirkan air itu,” kata Datuk Bandar St. Gervais, Jean-Marc Peillax. – Reuters

No comments: