Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my
WAJAHNYA kelihatan sugul. Hujan yang tidak henti mencurah sejak beberapa hari lalu mengundang keresahan. "Sangkaan saya ia hujan biasa saja. Tak sangka pula sebegini lebat dan berlarutan dalam tempoh yang panjang. Dalam keadaan ini, macam-macam perkara buruk boleh berlaku," keluh Wang Guisheng, 72.
Luahan warga emas dari Kampung Yiluo, China itu ada sebabnya. Bukan dia seorang saja berperasaan sedemikian. Perasaan itu turut menyelubungi penduduk tempatan yang lain sejak kebelakangan ini, terutamanya kelompok petani dan penternak.
Mereka menyifatkan hujan lebat tanpa penghujung itu boleh menyebabkan banjir dahsyat seperti yang pernah berlaku pada 12 tahun lalu. Bah besar itu telah memusnahkan tanaman dan ternakan yang selama sedekad lalu diusahakan dengan penuh jerih payah. Paling menakutkan, bah yang kuat boleh menghanyutkan rumah mereka sekelip mata.
Ternyata sangkaan dan kebimbangan sejak beberapa minggu sudah benar-benar terjadi. Hujan lebat yang melanda di bahagian tengah, selatan dan beberapa wilayah di negara itu sejak awal Julai lalu telah menyebabkan paras air di beberapa buah sungai dan tasik meningkat ke paras bahaya. Sungai Yangtze tidak terkecuali.
Bacaan paras air di Sungai Yangtze pada tahun ini lebih tinggi berbanding paras air yang tercatat pada tahun 1998. Tragedi 12 tahun lalu itu telah mengorbankan seramai 4,150 orang manakala 18 juta yang lain pula terpaksa dipindahkan ke tempat yang selamat.
Dari aspek geografi, Sungai Yangtze merupakan sungai terpanjang di China dan di Asia serta ketiga terpanjang di dunia.
45 juta tahun
Menurut laporan jurnal ahli geologi dan pengkaji dari Universiti Durham, England, Dr. Alexander Densmore, sungai sepanjang 6,300 kilometer itu berusia 45 juta tahun dan bukannya satu dan dua juta tahun seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.
"Aliran Sungai Yangtze berpunca dari wilayah Qinghai dan mengalir ke arah timur serta Laut China Timur di Shanghai. Sebagai sungai terbesar di wilayah ini, Sungai Yangtze amat penting dari aspek sejarah, kebudayaan dan ekonomi di China.
DAHSYATNYA malapetaka yang dibawa Sungai Yangtze membuatkan bangunan- bangunan pencakar langit seumpama deretan rapuh yang sedia untuk runtuh.
"Di bahagian tengah dan hulu sungai terebut terdapat tiga lembah iaitu Qutang, Wuxia dan Xiling. Apabila digabungkan panjang ketiga-tiga lembah hampir mencecah 200 kilometer dan di situ tersimpan rahsia pemandangan yang indah," ulas Densmore.
Secara puratanya, kebanyakan petani di China amat bergantung pada aliran air Sungai Yangtze untuk kemudahan harian dan kesuburan tanaman.
Buktinya, pada tahun lepas kerajaan China terpaksa menyalurkan air dari Sungai Yangtze bagi membantu berjuta-juta penduduk termasuk petani yang dilanda kemarau terburuk sejak awal 1950-an.
Ternakan dan tanaman
Menurut Pegawai Kanan Kementerian Sumber Air, Zhang Zhitong, lebih 4.3 juta penduduk dan 2.1 juta ternakan menghadapi masalah kekurangan air dalam kemarau itu termasuklah di wilayah tanaman padi di tengah dan barat daya China.
Enggan membiarkan masalah kemarau berterusan membebankan penduduk, air dari Sungai Yangtze disalurkan dengan segera ke kawasan utama Wilayah Jiangsu dan bahagian timur di wilayah tersebut.
Selain itu, sumbangan Sungai Yangtze bukan sahaja terletak pada sumber air untuk tanaman para petani. Ia juga bertindak sebagai infrastruktur bagi meningkatkan ekonomi di China.
Pada penghujung tahun lalu, kerajaan China membuka terowong pertama merentasi dasar Sungai Yangtze hasil teknologi kejuruteraan canggih.
Proses pembuatan terowong yang menelan kos sebanyak AS$292 juta (RM935 juta) itu menghubungkan sistem lalu lintas di pusat bandar Wuhan .
"Pada masa yang sama terowong sepanjang 3.63 kilometer dengan empat lorong itu menjimatkan masa perjalanan daripada 30 minit menjadi tujuh minit antara bandar raya di wilayah selatan dengan pusat perniagaan daerah Hankou," jelas salah seorang pegawai tempatan.
Dalam aspek yang lain, Sungai Yangtze turut dijadikan laluan perantaraan dan persinggahan kapal dagang antarabangsa. Apatah lagi lokasinya yang strategik memudahkan kapal-kapal dari China belayar ke laut seterusnya ke destinasi yang direncanakan.
Namun malangnya, selain dianggap sebagai lubuk sumber asli dan rezeki, pada masa yang sama Sungai Yangtze dianggap pembunuh kejam dan tegar.
Paras air sungai yang meningkat ketika musim hujan boleh membawa limpahan deras dan banjir dahsyat di sekitar wilayah laluannya.
Mengikut sejarah, sebelum berlakunya tragedi banjir dek limpahan Sungai Yangtze pada tahun 1998, China terlebih dahulu meratapi kematian 100,000 nyawa pada 1911 gara-gara paras air Sungai Yangtze meningkat. Dua dekad selepas itu, 145,000 orang pula menjadi mangsa diikuti 142,000 nyawa telah terkorban sekitar tahun 1935.
Korban nyawa
USAHA menyelamat dan memindahkan mangsa banjir sedang giat dijalankan di kawasan terlibat di China.
Terbaru, sejak hujan lebat melanda beberapa wilayah di negara itu, kerajaan tempatan melaporkan lebih daripada 700 orang terbunuh, 100,000 masih hilang manakala lebih 700,000 penduduk terpaksa dipindahkan akibat banjir dan tanah runtuh di wilayah Shaanxi dan Sichuan.
"Kami kerap berhadapan dengan tragedi banjir yang serius setiap 10 tahun terutamanya hujan lebat yang bermula sejak bulan Jun sehingga bulan Ogos setiap tahun.
"Tetapi dengan pembinaan Empangan Three Gorges iaitu projek hidro elektrik terbesar di dunia ini barangkali kejadian banjir dashyat akan berlaku 100 tahun sekali," ujar Timbalan Ketua Jurutera di Jawatankuasa Sumber Air Sungai Yangtze, Wang Xiamao pada hari pembukaan empangan berkenaan.
China sebelum ini mempertahankan pembinaan empangan mega itu mendatangkan tiga faedah utama seperti menghalang banjir yang berpunca daripada peningkatan paras air di Sungai Yangtze, menjana kuasa dan membaiki sistem pelayaran di Sungai Yangtze.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Sumber Air Sungai Yangtze, Wei Shanzhong menyifatkan Empangan Three Gorges bukanlah penawar terbaik bagi masalah banjir di China. Biarpun sesetengah pihak bersetuju dengan tujuan pembinaan empangan itu tetapi Wei Shanzhong berpendapat bahawa paras air di empangan itu juga ada hadnya.
Kualiti kebersihan
Memetik pendapat Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad Zaharin Aris, biarpun China mengambil inisiatif dengan membina Empangan Three Gorges tetapi mereka tidak boleh terlalu bergantung pada empangan berkenaan, memandangkan setiap empangan di seluruh dunia mempunyai paras tampungan air yang tertentu.
"Walau sebesar manapun empangan atau teknologi canggih digunakan, ia tidak bermakna jika kualiti kebersihan sungai tidak dititikberatkan. Maka, kekerapan banjir tetap terjadi. Inilah situasi yang sering dialami oleh penduduk China sejak beberapa tahun.
"Peningkatan kepadatan jumlah penduduk dan kepesatan pembangunan di sekitar Sungai Yangtze sedikit sebanyak menghalang proses pendalaman dan pelebaran sungai.
"Tambahan pula perkembangan perindustrian di China secara tidak langsung menyumbang kekotoran pada sungai berkenaan," ulas Ahmad Zaharin yang menyifatkan sampah sarap di yang dihanyutkan ke sungai itu juga menyekat sistem pengaliran.
Hal yang sama juga bakal berlaku di Malaysia jikalau orang ramai tidak bertanggungjawab dengan mencemarkan Sungai Kelang yang bersambung dengan Sungai Gombak yang menjadi titik permulaan Kuala Lumpur.
USAHA membina benteng daripada guni pasir ini seumpama sia-sia.
Disebabkan sungai ini mengalir melalui Lembah Klang yang padat jumlah penduduk pencemaran sungai ini semakin ketara. Pembangunan pesat pula telah mengecilkan sebahagian sungai sehingga ia menyerupai parit besar. Keadaan sungai sebegini sering mengakibatkan banjir kilat di Kuala Lumpur, terutamanya apabila hujan lebat.
Dengan terbinanya terowong Syarikat Mengurus Air Banjir &Terowong Sdn. Bhd. (SMART), ia membantu mengalirkan air dari hulu Sungai Kelang dan Sungai Ampang ke terowong itu. Maka, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, Lebuh Ampang dan Jalan Melaka terselamat daripada masalah banjir.
"Sehubungan itu, janganlah kita terlalu bergantung pada terowong SMART saja. Saranan saya agar masyarakat dan pelbagai pihak bertanggungjawab memelihara dan memulihara sungai tempatan.
"Pengurusan air sungai secara sistematik dan berterusan dapat menjamin kesejahteraan dan mampu menghalang kejadian banjir," katanya kepada Kosmo!.
Jelas Ahmad Zaharin setiap sungai berpotensi menyebabkan banjir yang dahsyat. Jadi, tiada gunanya jika Malaysia mempunyai kuantiti sungai yang banyak jika kualiti tidak terpelihara.