SEPANJANG tujuh tahun di laut, Afrizal tidak pernah diserang lanun, sehinggalah perkara tidak diingini itu berlaku di satu malam pada bulan lalu. Penyerang bersenjata telah menawan kapal tunda Atlantic 3 di perairan Indonesia dekat Singapura pada 27 April lalu.
Menurut Afrizal dan kapten kapal itu Myint Shwe, kejadian itu seperti yang disifatkan penganalisis sebagai sebahagian peningkatan serangan lanun di kawasan itu.
"Kesemua kami diikat dan diletakkan di dalam sebuah bilik. Mata kami turut ditutup," kata Afrizal, 40, yang berasal dari Sumatera, Indonesia.
Bilik itu akhirnya menjadi penjara kepada mereka buat beberapa hari sehingga dilepaskan hanyut begitu saja di atas bot kecemasan.
Afrizal yang merupakan seorang daripada enam warga Indonesia dan dua rakyat Malaysia yang menjadi anak kapal, menceritakan bagaimana dia dan rakan-rakannya bimbang dibunuh.
"Kami berada dalam ketakutan," katanya ketika ditemui di Vung Tau, selatan Vietnam di mana mereka diselamatkan oleh tentera laut negara itu.
Dihanyutkan bot getah
Kapten kapal itu dari Myanmar, Myint Shwe menyatakan, segalanya bermula selepas mereka berhenti mengisi minyak di Johor. Kapal tunda yang berdaftar di Malaysia itu sedang menunda tongkang kosong dari Thailand ke Indonesia.
Kira-kira 35 batu nautika selepas berlepas dari Johor, kapal tunda itu dinaiki tujuh orang lanun.
"Kami tidak menyedari kehadiran bot mereka kerana ia berlaku pada waktu malam," kata kapten yang berusia 55 tahun itu.
Dia dan Afrizal berkata, kumpulan lanun yang bersenjatakan sepucuk pistol dan parang itu berkomunikasi menggunakan bahasa Indonesia dan Malaysia.
Lanun-lanun itu merampas semua barangan peribadi, malah kasut dan stokin, menyebabkan semua anak kapal tinggal sehelai sepinggang.
Namun, tawanan dibenarkan makan dan merokok sekali-sekala selain dibolehkan ke tandas.
Afrizal menjelaskan, kumpulan lanun itu kemudian membebaskan mereka, namun dalam keadaan yang lebih mengerikan iaitu dibiarkan hanyut dengan bot getah pada waktu malam.
Drama yang mereka lalui bagaimanapun berakhir pada hari berikutnya (3 Mei lalu) apabila sebuah kapal milik tentera laut Vietnam mengesan mereka.
"Kami berasa sangat gembira apabila muncul bantuan," ujar Afrizal lagi.
ReCAAP iaitu sebuah agensi pemantauan kegiatan lanun antarabangsa beribu pejabat di Singapura, menyatakan bahawa kapal tentera laut itu bertindak berdasarkan isyarat kecemasan yang dikeluarkan bot kecemasan tersebut.
"Kesemua anak kapal dilaporkan berada dalam keadaan lesu, namun secara keseluruhannya mereka berada dalam keadaan baik," menurut agensi itu lagi.
Siasatan awal menunjukkan mereka dibiarkan hanyut berdekatan Kepulauan Spratly di Laut Cina Selatan, jelas ReCAAP yang ditubuhkan dengan tujuan meningkatkan kerjasama antara kerajaan bagi menentang aktiviti lanun dan rompakan di perairan Asia.
Ketika ini, usaha sedang dijalankan bagi mengesan lokasi kapal tunda itu serta tongkangnya.
Felo Kanan di S. Rajaratnam School of International StudiesSingapura, Sam Bateman memberitahu, situasi lanun secara keseluruhan di Asia Tenggara dan Selat Melaka semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu.
Serangan ke atas Atlantic 3 mungkin hanya satu siri serangan yang ditujukan lanun atas sebab tertentu.
"Peningkatan jumlah kapal tunda dan tongkang pasir dari negara-negara berjiran ke Singapura akan melalui kawasan tersebut, menjadikannya sasaran mudah berbanding kapal lebih besar kerana pergerakannya yang perlahan," jelasnya.
ReCAAP menyatakan Atlantic 3 merupakan kapal tunda ketiga dilaporkan hilang tahun ini.
Selat Melaka dan Singapura adalah antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, malah pernah menjadi titik panas serangan lanun global.
Dulu kelasi sekarang lanun
Kawalan keselamatan bertambah baik sejak beberapa tahun lalu, sebahagiannya disumbangkan oleh rondaan antara negara yang berkongsi laluan penting tersebut.
ReCAAP merekodkan 25 serangan lanun atau cubaan serangan di Asia dalam tiga bulan pertama tahun ini, berbanding 15 dalam tempoh sama tahun lalu. Kebanyakan kapal yang terlibat adalah kapal yang telah melabuhkan sauh atau berada di pelabuhan.
"Secara umumnya, serangan ini seperti langgar lari yang mana lanun akan menyamun barangan peribadi," ujar Bateman.
Tambahnya, lanun biasanya mempunyai kemahiran sebagai pelaut dan mungkin juga kelasi yang kehilangan kerja akibat krisis ekonomi global yang mana perdagangan dunia yang perlahan menyebabkan beratus-ratus kapal tidak berlayar.
"Terdapat banyak kapal tidak beroperasi sekarang dan ramai pelaut yang tidak mempunyai kerja," ujar Bateman lagi.- AFP
No comments:
Post a Comment