Malah, seorang daripada mereka yang bertukar perwatakan dengan gaya dan penampilan seperti lelaki atau dikenali sebagai pengkid berkata, dia bersama beberapa rakan ‘sealiran’ pernah mengepung dan memukul seorang lelaki yang cuba mengganggu kekasihnya.
Ana, yang kini berusia 20 tahun berkata, selepas dirogol abang kandungnya ketika dia belajar di sekolah menengah, dia gemar melayan lelaki bukan untuk bercinta, tapi sengaja ingin mempermainkan mereka.
“Saya mahu membalas dendam kerana saya bencikan lelaki. Sehingga tamat persekolahan, lebih 10 lelaki saya tipu dan kecewakan dengan pelbagai cara termasuk mengikis wang ringgit,” katanya yang ditemui di Rumah Iman Perempuan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan Malaysia (Sidim) di sini, semalam.
Bagaimanapun, kata Ana, sejak dua tahun lalu cintanya mula beralih arah apabila berkenalan dengan seorang pengkid bernama Harry secara tidak sengaja melalui laman sembang di Internet.
Menurutnya, ketika bersemuka buat kali pertama, dia terpaku melihat Harry yang kelihatan seperti seorang lelaki dengan badan tegap dan tinggi.
Selepas pertemuan itu, Ana mengaku dia memberanikan diri mengikut Harry ke rumahnya ketika ibu pengkid itu tiada di rumah kerana bekerja manakala bapa kekasihnya tidak lagi tinggal bersama disebabkan sudah bercerai.
“Dia memujuk saya melakukan hubungan intim di ruang tamu dan ketika itu baru saya tahu dia perempuan dan Harry mengaku dirinya pengkid.
“Tetapi, saya langsung tak marah kerana terlalu sayang kepadanya, malah kepandaiannya memujuk rayu serta mengambil berat membuatkan saya rasa dihargai dan dicintai,” katanya.
Ketika awal percintaan itu, kata Ana, dia berusia 18 tahun, manakala Harry enam tahun lebih tua daripadanya tetapi hubungan songsang selama dua tahun itu juga menyebabkan Ana terjerumus ke kancah penagihan syabu.
Bagaimanapun, kehidupan Ana berubah selepas dihantar mendapatkan rawatan pemulihan akhlak di Sidim sebaik keluarganya menyedari sesuatu tidak kena dengan gadis itu.
“Alhamdulillah selepas lima bulan di sini, saya berusaha membuang pemikiran negatif dan memperbaiki kehidupan dengan mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.
Berkongsi gaya hidup sama, remaja yang baru berusia 15 tahun dan hanya mahu dikenali sebagai Saidatul berkata, dia mahu menjadi seperti lelaki selepas dikecewakan teman lelaki ketika menjalinkan hubungan cinta ketika di tingkatan satu.
“Saya geram dan kecewa apabila teman lelaki meninggalkan saya. Pengalaman itu mendorong saya menjadi seperti lelaki bagi melindungi hati wanita daripada dipermainkan,” katanya.
Saidatul berkata, ketika di tingkatan dua, dia memotong pendek rambut, menukar gaya pemakaian, menghisap rokok dan menukar cara berjalan.
“Saya juga mempunyai teman wanita di kalangan rakan sekolah, malah dia mempercayai saya lebih daripada keluarganya sendiri. Dengan penampilan seperti lelaki, saya rasa selamat dan hebat, malah bersama beberapa rakan pengkid lain kami keluar beramai-ramai melepak bersama teman wanita masing-masing.
“Ketika itu kami rasa cukup hebat dan tidak teragak-agak memukul beramai-ramai lelaki yang cuba mendekati teman wanita kami. Lebih penting bagi saya pada masa itu hanya bersuka ria,” katanya.
Menurut Saidatul, akibat perangai liarnya itu pelajarannya terganggu dan keluarga yang menyedari perubahan dirinya menghantarnya ke Sidim untuk membentuknya kembali ke pangkal jalan.
“Alhamdulillah, kini saya tidak lagi seperti dulu. Sedikit demi sedikit, saya pelajari kegembiraan dilalui sebelum ini hanya sementara,” katanya yang kini sudah kembali ke pangkal jalan selepas mendapat rawatan pemulihan di Sidim lebih dua minggu.
No comments:
Post a Comment