Pages

Wednesday, June 16, 2010

Daerah sunyi tanpa penyu



14/7


“PENYU ada. Di sebelah sana ada beberapa buah tangki. Di dalam tu ada penyu pelbagai saiz.” Itu jawapan yang diterima ketika penulis bertanya di mana kawasan orang ramai boleh melihat penyu mendarat untuk bertelur ketika tiba di Rantau Abang, Dungun, Terengganu baru-baru ini.
Jawapan itu merujuk kepada beberapa tangki di tepi pantai itu yang dibangunkan oleh Jabatan Perikanan dengan tujuan menempatkan penyu lipas dan penyu agar.
Kawasan itu suatu ketika dahulu pernah menjadi lokasi pendaratan penyu terutamanya penyu belimbing iaitu spesies yang cukup terkenal di serata dunia.
Pada zaman kemuncaknya, setiap malam pada musim penyu bertelur antara April hingga Julai, sekurang-kurangnya 80 ekor penyu akan mendarat di sepanjang pantai tersebut.
Biarpun penulis pernah mendengar cerita bahawa penyu di Rantau Abang sudah ‘merajuk’, namun perasaan ingin melihat haiwan tersebut singgah di situ tetap terasa.
Kecewa dengan respons yang diterima, penulis menekankan lagi soalan yang lebih spesifik agar jawapan yang diterima mengikut kehendak.
“Mana ada penyu lagi di sini, saya yang hari-hari tinggal menghadap pantai ini pun kali terakhir melihat penyu bertelur di sini kira-kira lima tahun lalu.
“Itupun sebab saya bernasib baik tetapi itu bukan penyu belimbing, kalau tak silap saya penyu lipas,” ujar pekerja sebuah resort di situ, Rosli Mohd. Rawi, 44.
Sepatutnya jawapannya sudah boleh diagak memandangkan ketika tiba di pantai itu pada hujung minggu yang turut jatuh pada cuti persekolahan baru-baru ini, pantai itu lengang.

PENYU Belimbing antara spesies penyu yang paling banyak mendarat di Rantau Abang.

Tidak teruja
Menurut Rosli, soalan yang sama pernah ditanya kepadanya beribu kali kerana hampir setiap pengunjung yang singgah akan bertanya perkara tersebut.
“Pantai ini cantik, kalau tidak boleh tengok penyu bertelur pun boleh buat aktiviti lain,” katanya yang mengakui pengunjung sudah tidak teruja untuk mengunjungi pantai Rantau Abang.
Nama Rantau Abang masih diingati dan tetap memberi kesan kepada orang ramai yang menyangkakan mereka masih boleh melihat penyu mendarat dan bertelur di situ.
Memang benar, mereka masih boleh tengok penyu tapi bukan penyu yang datang mendarat. Sebaliknya, penyu peliharaan yang dijadikan bahan penyelidikan di dalam satu kawasan di pantai tersebut.
Namun, kehilangan penyu di kawasan itu turut melenyapkan tarikan utama kawasan itu. Pada zaman kemuncaknya Rantau Abang pernah menyaksikan ratusan pengunjung membanjiri pantai sepanjang 3.2 kilometer (km) itu.
Sebagai orang lama yang pernah mengambil tender mengutip telur penyu di pantai itu, Mohd. Nor Hamid, 71, sehingga kini seolah-olah masih tidak percaya dengan perubahan yang berlaku.
“Jika saya mati sekitar tahun 70-an dan hidup semula pada zaman ini tentunya saya tidak percaya penyu di sini sudah hampir pupus,” katanya yang memberitahu penyu di situ hilang secara tiba-tiba.
Selepas tahun 1984, jumlah penyu susut secara mendadak. Haiwan itu terus hilang dari semasa ke semasa dan penyu belimbing yang pernah menjadi kebanggaan kawasan itu juga tidak sudi singgah di situ.
Menurutnya, dia tidak tahu punca sebenar penyu tidak mahu datang lagi ke tempat itu. Ada yang menyatakan ia disebabkan kerja-kerja cari gali minyak di sekitar perairan negeri itu.


“Tetapi bagi saya, semua itu tidak menjejaskan penyu yang datang ke sini sebab ia dilakukan jauh di tengah laut namun saya tidak menolak sekiranya nelayan dipersalahkan.
“Ramai yang keluar ke laut menggunakan pukat yang tidak sesuai menyebabkan banyak penyu terperangkap dan mati,” katanya yang turut menyatakan langkah pencegahan tidak diambil dari awal.
Pada waktu itu, penduduk di kawasan itu tidak pernah membayangkan dan tidak menyangka mereka hanya boleh melihat penyu pada waktu itu menyebabkan mereka semua tidak beringat.
Menurut Mohd. Nor, jumlah penyu ketika itu terlalu banyak dan mereka sentiasa bersaing mencari kawasan yang masih kosong untuk bertelur pada setiap malam.
Dia yang mengambil tender memungut telur penyu daripada Jabatan Perikanan terpaksa mengupah beberapa pekerja bagi melakukan kerja-kerja ter sebut.
“Setiap malam, yang saya dapat lihat sendiri (penyu bertelur) sekurang-kurangnya 50 ekor,” katanya yang meronda setiap malam sehingga Subuh di sepanjang pantai tersebut setiap hari pada masa itu.
Imbau sejarah
Namun, semua itu hanya kisah lama kerana kini ia tinggal kenangan apabila kesemua penyu itu ghaib ekoran kurangnya kesedaran untuk menjaganya.
Jika penyu masih singgah, tentu kawasan itu masih meriah bahkan mungkin lebih meriah berbanding dahulu kerana hari ini Rantau Abang hanyalah sebuah tempat persinggahan.
Kedudukannya yang terletak di tepi jalan utama Kuala Terengganu – Kuantan menyebabkan masih ramai lagi yang singgah di situ untuk mengimbau sejarah silam.

PUSAT Penyu dan Ekosistem Marin di Rantau Abang, Dungun yang dibangunkan oleh Jabatan Perikanan.

Imam di Masjid Rantau Abang itu menjelaskan, kali terakhir dia melihat penyu singgah di pantai itu ialah pada September tahun lalu iaitu penyu agar selepas beberapa tahun sebelum itu dia tidak melihatnya.
“Jika ada orang datang ke sini dan bertanya macam mana hendak tengok penyu saya akan beritahu susah nak tengok penyu.
“Jika nak tengok juga tinggallah di calet untuk beberapa malam dan kalau bernasib baik ada lah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Perikanan Terengganu Zakaria Ismail menjelaskan, penyu di ancam kepupusan dan agak sukar untuk mengembalikan keadaan seperti dahulu.
“Selain faktor semula jadi, mengikut rekod kebanyakan penyu mati di antara bulan Januari hingga April iaitu pada bulan penyu mendarat.
“Pada waktu ini banyak penyu akan menghampiri pesisir pantai tetapi ada antara mereka yang tidak sempat sampai ke pantai akibat tersangkut pada pukat nelayan atau terkena kipas bot lalu mati,” katanya.
Tahun lalu sebanyak 28 ekor penyu agar dan seekor penyu karah ditemui mati. Angka tersebut sangat membimbangkan kerana penyu kini diancam kepupusan.
“Penguatkuasaan sentiasa dijalankan terutamanya di kawasan pesisir dan pantai tempat penyu bertelur tetapi saban tahun perkara ini terus berulang menyebabkan penyu semakin kurang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd. Ghani memberitahu, pihaknya kini giat mempromosikan Rantau Abang sebagai tempat yang pernah menjadi kawasan pendaratan penyu.
KIRI: Atan menunjukkan rekod penyu Belimbing mendarat dan bertelur di Rantau Abang pada Julai 1985 yang masih dalam simpanannya.


Antara produk pelancongan yang terdapat di situ ialah batu penyu yang terletak di Bukit Che Hawa kira-kira 1.5 km menghadap ke pantai Rantau Abang.
Batu itu mempunyai kisah tersendiri kerana pada zaman dahulu terdapat dua ekor penyu gergasi. Salah satu daripadanya naik ke Bukit Che Hawa dan satu lagi di tepi pantai tersebut. Ia dikatakan permulaan penyu mendarat di situ.
Bagaimanapun batu penyu di tepi pantai itu sudah tertimbus tetapi batu penyu di Bukit Che Hawa dipulihara untuk dijadikan salah satu produk pelancongan di kawasan itu.
Selain itu, Pusat Penerangan Penyu dan galeri Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) serta tarikan alam semula jadi di kawasan itu turut menarik kedatangan pelancong ke kawasan itu walaupun tidak sehebat dulu.
kredit : kosmo.com.my

No comments: