HEPING, China - Seorang budak yang diberi gelaran kura-kura oleh rakan-rakan sebayanya kini memulakan hidup baru selepas dia menjalani pembedahan selama dua jam bagi membuang lapisan kulit keras pada belakangnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Kanak-kanak berumur lapan tahun itu, Maimaiti Hali, yang berasal dari bandar di utara China ini dilahirkan dengan sebahagian besar belakangnya dilitupi kulit keras seperti cengkerang.
"Kami diberitahu bahawa pembedahan tidak boleh dilakukan semasa usianya masih bayi dan kami terpaksa menunggu. Namun, lapisan itu menjadi lebih besar dan mengeras seperti cangkerang kura-kura," kata bapanya, Maimaiti Musai.
"Orang ramai mengejeknya dan kami bertekad untuk menamatkan episod duka anak kami. Dia seorang budak yang baik dan berani kerana tidak pernah mengadu mengenai keadaan dirinya. Kini, kami lega kerana dia telah sembuh," tambah lelaki berkenaan.
Pasukan perubatan di Hospital Besar Tentera Urumqi berkata, mereka membuang kulit keras itu yang sebenarnya sejenis ketumbuhan dan menggantikannya dengan kulit kepala dan kaki Hali.
"Pembedahan ini agak menyakitkan tetapi saya tidak perlu lagi bimbang akan ditertawakan oleh kanak-kanak lain. Saya tidak sabar mahu berjalan di luar tanpa memakai baju dan pergi berenang bersama rakan-rakan," kata Hali. - Agensi
No comments:
Post a Comment