Pages

Monday, May 17, 2010

Wahabi: Di mana-mana pun Punca Kejahatan

Penularan Mazhab Wahabi Gugat Masyarakat Islam Thailand
Oleh ROSLAN ARIFFIN dan MD NASIR RANI,Bernama
- Tidak cukup dengan tekanan pihak berkuasa Thailand, masyarakat Islam di selatan negara itu kini berdepan pula dengan penyebaran mazhab Wahabi yang ditolak oleh kebanyakan umat Islam di Narathiwat.
Penularan mazhab Wahabi, yang antara ajarannya terdapat yang bertentangan dengan amalan ahli sunnah seperti haram melagukan bacaan Al-Quran dan azan serta tidak boleh mengadakan perayaan agama, dikhuatiri boleh mencetuskan bibit-bibit perpecahan di kalangan penduduk Islam di sini, kata seorang pegawai Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN).
Beliau memberitahu Bernama bahawa terdapat pihak tertentu cuba mengembangkan mazhab Wahabi sehingga menimbulkan kecelaruan dan konflik di kalangan majoriti penduduk Islam di sini yang telah lama berteras kepada mazhab ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kita tahu fahaman itu sengaja disebarkan oleh musuh Islam dengan tujuan untuk memecahbelahkan perpaduan Islam di sini,” kata pegawai itu.
Katanya strategi golongan anti-Islam ini mula menunjukkan kejayaan kerana telah terdapat tanda-tanda perpecahan antara dua kumpulan Islam itu apabila golongan muda yang lebih didedahkan kepada mazhab Wahabi mula berani cuba menafikan amalan-amalan sunat yang dijalankan oleh golongan ahli sunnah.
“Kumpulan pengamal Wahabi mula menganggap banyak amalan dan perlakuan ahli-ahli agama yang lama sebagai bidaah hingga timbul rasa kurang senang,” katanya.
Amalan kumpulan Wahabi yang didakwa bertentangan dengan ajaran asal Islam antaranya ialah berzikir, bertahlil dan menyambut Maulidul Rasul.
Pengamal Wahabi juga mengharamkam foto, muzik dan peralatannya, nyanyian malahan video termasuk perlakuan pengebom berani mati.
Wahabi menentang kesemua perkara itu kerana mendakwa perkara itu tidak dibuat semasa pemerintahan Rasullullah dan para sahabat baginda yang mewarisi pemerintahan Islam.
Pegawai MAIN itu berkata mazhab Wahabi yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat Arab khususnya di Arab Saudi cuba dikembangkan di sini bertujuan untuk menimbulkan perbalahan di kalangan masyarakat Islam Thai yang keseluruhannya bermazhab Sunni.
“Kekuatan utama umat Islam di selatan Thailand ialah mampu bersatu padu dengan fahaman Islam yang satu hingga tidak boleh digugat sejak beratus-ratus tahun dulu. Sebab itu musuh Islam sekarang berusaha hendak musnahkan Islam dengan menggunakan Islam itu sendiri setelah pelbagai cara lain gagal,” katanya.
Beliau berkata MAIN telah banyak kali mengeluarkan ingatan supaya masyarakat Islam di sini berwaspada terutama terhadap berkembangnya mazhab Wahabi kerana ia boleh menimbulkan perbalahan antara mereka.
Kira-kira 90 peratus daripada enam juta penduduk di Selatan Thailand terdiri daripada umat Islam yang secara tradisinya telah menetap di tiga wilayah utamanya iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat sejak Islam berkembang di rantau ini sejak berkurun-kurun lagi.
Wilayah di selatan Thailand juga unik berbanding dengan kawasan lain Thailand kerana majoriti penduduknya lebih selesa menggunakan bahasa Melayu yang seakan-akan sama dengan loghat Kelantan dalam perbualan harian sesama mereka dan bukannya bahasa Thai, yang menjadi bahasa wajib di semua sekolah.
Imam Masjid Al Muhammadiah di Bacho di sini, Abdul Rahman Nassir, 63, ketika ditemui berkata pengamal fahaman Wahabi mula meluas sejak beberapa tahun lepas setelah dibawa oleh pelajar-pelajar Islam yang balik dari Arab Saudi.
Katanya amalan Wahabi sukar diterima sepenuhnya oleh masyarakat Islam di sini kerana ia seolah-olah menafikan peranan ulama dan amalan-amalan sunat yang dijalankan sebelum ini.
“Adakalanya berlaku perpecahan (antara golongan agama tua dan muda) kerana ada perbezaan pandangan antara ahli Sunni dan Wahabi. Tapi sehingga ini kita dapat selesaikan,” kata Abdul Rahman.
Beliau menasihati masyarakat Islam supaya menghindarkan diri daripada bertelingkah pendapat kerana ia boleh meretakkan perpaduan mereka.
http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_210bf2fe-ca9db1d0-c0c18f00-3b1b38bd

No comments: