Pages

Sunday, May 30, 2010

Tegas mendidik, bukan mendera






"DEGIL atau buat kesalahan, dia tetap kena hukum. Mana boleh biarkan tetapi tidaklah terlalu kasar sehingga menyebabkan kecederaan," ujar Aqurina Azleen Azizul.
Ibu kepada pelakon filem Syurga Cinta dan drama Belalang , Mohd. Hadziq Mohd. Hazem atau lebih dikenali sebagai Hadziq itu juga tidak teragak-agak mendenda anak-anaknya jika tingkah laku mereka sukar dikawal.
Aqurina Azleen atau lebih mesra dengan panggilan Azleen, 36, sentiasa berpegang dengan didikan yang tegas dalam membesarkan anak-anak.
Beliau percaya, melalui cara tersebut, anak-anak akan mendengar kata sekali gus menghormati kedua-dua ibu bapa mereka. Bagaimanapun, tidak dinafikan kemarahan tersebut mestilah bersebab dan bukannya mengikut kata hati.
"Nama pun kanak-kanak, biasalah kalau sikap nakal itu kerana ia sesuatu yang semula jadi. Apa yang kita larang itulah yang dia nak buat. Tetapi sebagai ibu bapa kita seharusnya mengawal kenakalan mereka dan menyalurkan ketegasan dalam asuhan itu agar anak-anak lebih berdisiplin bila dewasa.
"Saya percaya semakin mereka membesar, kedegilan dan kenakalan semakin berkurangan kerana mereka lebih matang. Asuhan awal itu sangat penting," kata nya ditemui di kediamannya di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
USTAZ RAHIM MARKUM (kanan) guru agama kepada Mohd. Hadziq.


Azleen memberitahu, dia yang membesarkan tiga cahaya mata berusia di antara sembilan hingga tiga tahun sememangnya berhadapan dengan pelbagai kerenah. Meskipun mempunyai pembantu rumah, namun bagi memastikan anak-anak sentiasa dalam keadaan selamat baik sama ada di rumah, di sekolah atau di taman permainan, Azleen sanggup melepaskan jawatannya sebagai pegawai bank.
Menyedari tanggungjawab ibu moden pada zaman ini semakin mencabar lantaran terlalu banyak kes jenayah kanak-kanak seperti penculikan, rogol dan dera menyebabkan Azleen jarang membiarkan anak-anaknya bermain di luar secara sendirian.
Jadual yang teratur
"Saya akan hantar dan ambil anak ke sekolah. Saya akan jemput Hadziq dari sekolah lebih awal bahkan seminggu sekali saya akan luangkan masa untuk berjumpa gurunya.
"Pembantu rumah pula akan membantu saya melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh kain, mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk dan sebagainya," terangnya.
Akui Azleen, bergelar ibu kepada bintang cilik menyebabkan tuntutan tugasnya semakin bertambah. Sehubungan itu, dia perlu mengatur jadual yang teratur untuk anak sulung lelakinya itu supaya Hadziq tidak membazir masa dengan aktiviti tidak berfaedah.
Rutin harian Hadziq pada hari persekolahan akan dipenuhi dengan tuisyen, kelas agama, kelas muzik dan aktiviti ko-kurikulum. Hadziq juga merupakan pengacara bersama program kanak-kanak saluran Ceria Astro, Tom Tom Bak.
Menurut Azleen, anak-anak merupakan permata yang cukup berharga dan perlu diberi perhatian. Justeru, ibu bapa juga perlu memberi gambaran atau teladan yang baik supaya anak-anak boleh mencontohi sikap itu daripada orang tua mereka.
"Anak-anak memerhati tingkah laku ibu bapanya dan mereka sangat mudah terikut-ikut dengan apa yang kita lakukan. Jadi apa jua masalah yang timbul jangan dibawa ke rumah dan dilepaskan sesuka hati," ceritanya.
Apakah pandangan Azleen berhubung kematian Syafia Humairah Sahari, 3, akibat didera?

AZLEEN (kiri) akan memastikan anak-anaknya tidak bermain di luar secara bersendirian.


"Amat memilukan dan memalukan apabila ada golongan yang sanggup mendera kanak-kanak sehingga mati," jelasnya.
Sementara itu, ibu kepada dua orang cahaya mata, Azmatul Hazrin A.K.P. Zaman menjelaskan, selain isu penderaan kanak-kanak, kes-kes pembuangan bayi juga perlu dipandang serius.
Jelas Azmatul, anaknya Danial Fitri Md. Yusoff Othman, 7, pernah mengalirkan air mata apabila melihat mayat bayi yang dibuang terpapar di dada-dada akhbar.
"Bayangkan budak yang baru berusia tujuh tahun pun tahu betapa pilunya melihat kes-kes pembuangan bayi tersebut. Bila keluar sahaja gambar di akhbar, Danial tidak henti-henti cakap kasihan mama baby ini.
"Pada masa yang sama, kita yang menjadi tempat dia merujuk dan bertanya mengapa perkara tersebut berlaku berulang kali?," katanya.
Hubungan ikhlas
DANIAL FITRI pada pameran fotografinya yang diadakan di Galeri Seni Shah Alam pada Februari lalu.


Ibu yang berusia 33 tahun itu mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah apabila anak-anaknya bertanyakan perkara sebegitu. Bahkan, katanya bukan mudah untuk menghadapi situasi itu kerana dia perlu memberi jawapan yang logik supaya mereka tidak salah faham.
"Saya juga sentuh soal hukum orang yang melakukan perbuatan itu," ujarnya.
Apakah yang membezakan Danial dengan kanak-kanak lain? Hasil didikan ibu bapanya dalam bidang fotografi, kanak-kanak pintar itu mahir menggunakan kamera sejak berumur empat tahun. Lebih membanggakan, rakaman fotonya baru-baru ini dipamerkan di Galeri Shah Alam, Selangor pada Februari lalu.
Tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Sha mungkin agak berbeza dengan ibu-ibu yang lain.
Wanita yang berumur 29 tahun itu telah mengahwini duda anak dua berketurunan Cina tahun lalu.
Selepas bersetuju untuk mendirikan rumah tangga, jejaka pilihan hatinya itu bersedia untuk memeluk agama Islam. Tetapi kedua-dua anaknya yang berusia 18 dan 14 tahun belum bersedia untuk mendalami agama Islam.
"Suami saya tidak memaksa anak-anaknya untuk menganut agama Islam. Lagipun kami baru sahaja setahun mendirikan rumah tangga, mungkin mereka belum bersedia," jelas suri rumah sepenuh masa itu.

AZMATUL HAZRIN (kiri) dan tenaga pengajar fotografi Md. Yusoff Othman menyokong minat Danial Fitri dalam dunia fotografi.


Menyentuh mengenai tahap penerimaannya untuk menjaga anak tiri, Sha memberitahu, dia tidak mengalami kesulitan berhubung perkara itu.
Sewaktu berkahwin, anak-anaknya itu sudah matang dan melangkah ke alam remaja.
Perkara yang perlu diutamakan oleh ibu bapa yang mempunyai anak tiri ialah pengorbanan. Malah, hubungan yang dijalinkan itu juga perlu ikhlas.
"Tidak kira sama ada itu anak kandung atau tidak, yang pasti apabila kita layan dengan ikhlas maka kita juga menerima balasan yang baik. Anak-anak dapat menilai seorang ibu tiri melalui layanan dan didikan yang diberikan.
"Situasinya sama sahaja apabila kita ada anak sendiri, apa pun yang berlaku kepentingan mereka perlu didahulukan supaya tiada sebarang pemberontakan," katanya yang mengahwini seorang usahawan berjaya.

No comments: