KUALA LUMPUR - Menempuh perjalanan di kawasan setinggi 3,500 meter dari paras laut dan suhu sejuk lima darjah Celsius menjadi cabaran kepada kumpulan Ekspedisi 1Malaysia Kembara Ke Bumi Suci 2010 sepanjang perjalanan dari Ruo Er Gai ke Xining, China, kelmarin.
Malah, peserta konvoi juga terpaksa mengharungi laluan sejauh 575 kilometer dengan kebanyakan jalan rosak sewaktu turun dari pergunungan Tibet.
Pengurus ekspedisi, Azman Baharudin berkata, yang paling menduga mereka apabila motosikal salah seorang peserta, Musa Mohammad mengalami kerosakan sebanyak dua kali sepanjang perjalanan itu.
"Walaupun pelbagai kesukaran dihadapi, namun sedikit pun tidak melemahkan semangat para peserta yang berazam untuk meneruskan ekspedisi ini," katanya melalui e-mel kepada Kosmo! Ahad semalam.
Kumpulan ekspedisi itu berehat di Xining iaitu antara bandar terbesar di negara China dengan majoriti penduduknya beragama Islam dan mempunyai lebih 40 buah masjid.
Bagi seorang peserta, Napiah Mat Noor, perjalanan sejauh lebih 5,000 kilometer dalam tempoh 14 hari sebagai satu pengalaman yang luar biasa.
"Saya tidak mengalami sebarang masalah dan motosikal juga berada dalam keadaan baik. Saya telah bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca sejuk seperti ini," katanya.
No comments:
Post a Comment