HAL-HAL berkaitan penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kecederaan dan kematian sebenarnya mempunyai faktor pencetus yang berbeza. Perkara itu terjadi mungkin disebabkan oleh sikap kanak-kanak itu sendiri sehingga ibu bapa mereka hilang sabar.
"Namanya pun budak, sikap nakal seperti berlari-lari, melompat sana-sini merupakan perkara biasa. Tetapi mungkin tidak kena dengan situasi ibu bapa, jadi mereka dijadikan tempat untuk melepaskan amarah," beritahu Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar.
Namun tidak dinafikan, kebanyakan kes penderaan yang membabitkan bapa biasanya disebabkan mereka yang tidak pernah berubah sikap.
Antaranya kaki judi, kaki botol, menagih dadah atau tidak mempunyai pekerjaan tetap. Hal sedemikian akan menimbulkan kesusutan fikiran bagi setiap pasangan yang berkahwin apatah lagi apabila mereka dikurniakan cahaya mata yang ramai.
Menurut Jas Laile Suzana, kadangkala keluarga tersebut terdiri daripada mereka yang longgar pegangan agama atau kurang ilmu untuk menjaga keharmonian rumah tangga atau mendidik anak dengan betul.
Apabila timbul masalah sama ada yang berkait dengan kewangan atau di tempat kerja, mereka memilih jalan mudah memukul atau menengking anak-anak sebagai kaedah melepaskan tekanan.
Sedangkan cara yang sepatutnya mereka lakukan adalah dengan menenangkan hati sambil meluahkan kebuntuan itu kepada pakar kaunseling atau rakan karib.
"Setengah orang tidak mempunyai kelebihan dalam diri mereka untuk menyelesaikan masalah. Timbul sahaja masalah kecil atau besar mereka akan panik dan buntu. Situasi sebegini yang akan menyebabkan mereka hilang kewarasan dan tergamak bertindak di luar batas kemanusiaan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment