Pages

Saturday, May 15, 2010

Manhaj Dakwah Dan Tarbiah (Bhg. 3)

 by imran


MANHAJ TARBIAH

Tarbiah atau pendidikan bertolak daripada titik pemikiran dan peradaban sesuatu bangsa, berkisar pada bagaimana manusia melihat dan menilai kehidupan ini. Lalu ianya dicurahkan secara berperingkat-peringkat agar ia dapat diterima oleh individu atau perkumpulan yang lain sama ada dalam masyarakat itu sendiri atau kelompok yang luar.

Bagi dunia barat, 'pendidikan boleh diandaikan sebagai proses penyebaran nilai-nilai dan himpunan ilmu pengetahuan dalam sesuatu masyarakat'.. pendidikan telah memandu pemikiran manusia untuk mengenali budaya, membentuk tingkah laku mereka untuk menuju usia matang dan mengarahkan mereka menuju kepada peranan yang akan dimainkannya dalam masyarakat.

Secara ringkasnya, mana-mana masyarakat sekali pun memerlukan pendidikan sebagai satu proses pembinaan serta penerapan nilai-nilai untuk menjamin survival ideologi yang diterima pakai dalam masyarakat tersebut. Bagi masyarakat yang menganut fahaman komunisme atau sekularisme sebagai contoh, yang mana mereka percaya dan mendokong ideologi-ideologi itu pasti akan menerapkan nilai-nilai tersebut dalam pendidikan terhadap generasi mudanya. Begitulah juga bagi ideologi-ideologi lain yang berkembang dalam masyarakat dunia semenjak dahulu sehingga kini, sekiranya kita melihat sejarah perkembangan tamadun manusia.

Bagi manusia yang terpengaruh dengan keduniaan dan materialisme, pendidikan bagi mereka hanyalah terhad untuk memenuhi keperluan dan tuntutan tersebut. Akan tetapi bagi Islam matlamat pendidikan atau tarbiah jauh lebih luas untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Demikianlah halnya dengan masyarakat Islam, apabila peradaban yang meliputi kehidupan dan mempengaruhi pemikiran mereka berpaksikan keimanan kepada ALLAH  dan peranan dirinya sebagai hamba kepada Penciptanya serta hubungkaitnya dengan kejadian alam ini, maka masyarakat Islam tersebut pasti akan memastikan iman itu terus subur dalam masyarakatnya generasi demi generasi melalui lapangan pendidikan atau tarbiah. Namun begitu, tarbiah juga menjadi suatu keperluan yang mendesak terutamanya apabila berlaku kerosakan serta terhapusnya nilai-nilai keagamaan dan moral dalam masyarakat.

Dalam pembentangan kertas kerja ini, kita akan membincangkan secara ringkas berkenaan tarbiah dari perspektif Islam atau Tarbiah Islamiah; iaitu pendidikan mengikut nilai-nilai Islam. Oleh kerana skop perbincangan ini terlalu luas, kita hanya akan menumpukan kepada pengenalan tarbiah bagi melahirkan golongan solihin sebagai kesinambungan dari tajuk yang lalu iaitu manhaj dakwah yang berperanan mewujudkan golongan mukminin. Kita telah pun menyebutkan tentang ikatan iman dan amal menjadi syarat mendapat kemenangan di dunia dan akhirat berdasarkan ayat-ayat al-Quran al-Karim.

Ta’arif Tarbiah

Perkataan tarbiah dalam bahasa Melayu bermakna: pendidikan, pengasuhan . 'Tarbiah' diambil daripada bahasa Arab (تربية) berasal daripada kalimah (رَبَّى):

رَبَّى يُرَبِّي تَرْبِيَةً مُرَبٍّ (المُرَبِّي) مُرَبًّي
رَبَّى الأب ابنه : هذّبه ونمى قوّاه الجسمية والعقلية والخلقية
Seorang ayah mentarbiah anak lelakinya (bermaksud): mendidik dan menambahkan kekuatannya jasmani, akal dan akhlak.

Sesungguhnya mafhum tarbiah (dalam bahasa Arab) berasal daripada fi'il mu'tad (فعل معتد), bermakna ia memerlukan fa'il (فاعل) dan maf'ul (مفعول). Kedua-duanya berada dalam hubungan yang tertentu iaitu pertambahan (التنمية) dan pengasuhan (التنشئة). Seorang pendidik itu (المُرَبِّي) dan orang yang dididik (المربَّى) kedua-dua sama-sama berkongsi suka duka dan perkara-perkara tertentu.

Di antara kefahaman tarbiah dari segi istilah ialah:

1. Sesungguhnya tarbiah itu adalah bersifat praktikal yang berkembang di mana insan membesar melaluinya semenjak kanak-kanak sehingga ia matang dalam keadaan dia terbentuk bersama matlamat persekitaran dan masyarakat.

2. Bahawa tarbiah itu adalah bersifat praktikal yang mempunyai tujuan-tujuan dan matlamat-matlamatnya, ia mengutamakan akal insan, kewujudannya, rohaninya, jasmaninya, nilainya, halatujunya dan segala kemahiran serta pemikiran yang terdapat pada dirinya.

3. Bahawa tarbiah itu memerlukan perancangan yang berperingkat yang mana berjalan di dalamnya kerja-io0lkerja pendidikan dan pengajaran menurut tertib yang tersusun serta secara langsung, ia berubah dari masa ke semasa dan peringkat demi peringkat bersama perkembangan seorang remaja.

Walau bagaimanapun, dalam sirah nabawiyyah kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW menjalankan madrasah tarbiah baginda di kalangan para sahabat r.a.hum dan proses tarbiah ini berjalan tanpa mengira usia mereka. Dalam tarbiah Islamiah, seseorang individu itu akan terus merasai pendidikan sehingga ke akhir hayat.


Asas-asas Tarbiah Islamiah

Apabila seseorang insan itu telah menerima Islam dan beriman kepada ALLAH, maka dia perlu menyedari tugasnya sebagai hamba ALLAH dan tujuan dia diciptakan. Firman ALLAH SWT:
(Maksudnya) "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku." (az-Zariyat: 56)

Maka asas dalam tarbiah Islamiah adalah ketundukan dan kepatuhan seseorang hamba kepada Tuhannya yang dengan itu dia akan berusaha mendapatkan keredaan ALLAH dengan mengerjakan ibadat kepadaNya dan menjaga hubungan sesama makhluk-makhluk ALLAH.

Manhaj Tarbiah Mengikut Al-Quran

Apabila kita menyedari bahawa kerosakan yang berlaku dalam masyarakat Islam pada hari ini menyerupai ciri-ciri jahiliah yang terdahulu pada sebahagian bentuk-bentuknya, maka kaedah dan jalan untuk memperbaiki atau melakukan islah dalam masyarakat tersebut hendaklah melalui cara yang digunakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS telah berdoa kepada ALLAH SWT agar diutuskan kepada seorang Rasul kepada umat ini. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Wahai! TUHAN kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah: 129)

Melalui ayat di atas, Nabi Ibrahim AS berdoa kepada ALLAH agar Rasul yang akan diutuskan itu akan:
1. Membacakan kepada kaumnya ayat-ayat ALLAH.
2. Mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah).
3. Mensucikan mereka.

Bagaimanapun ALLAH SWT memberikan jawapan kepada doa tersebut dengan firmanNya: (Maksudnya) "Samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan memsucikan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui." (al-Baqarah: 151)

(Maksudnya) "Dia-lah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul dari kalangan mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). Dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata" (al-Jum'ah: 2)

Melalui ayat-ayat di atas, ALLAH menyatakan susunan yang perlu diikuti oleh Rasul yang diutuskan:
1. Membacakan kepada kaumnya ayat-ayat ALLAH.
2. Mensucikan mereka.
3. Mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah).

Sebagai mengikut susunan tersebut, keutamaan perlu diberikan kepada peringkat yang pertama di atas iaitu membacakan kepada ayat-ayat ALLAH; menjelaskan kepada mereka tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan ALLAH sehingga mereka beriman. Ini merupakan peringkat pertama yang perlu dilalui dalam proses tarbiah dan ianya telah pun kita sentuh dalam bahagian pertama iaitu dalam manhaj dakwah.

Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Sesungguhnya ALLAH telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan ALLAH dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab ALLAH (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Ali 'Imran: 164)

Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) "Dan tiadalah Kami mengutus engkau, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (AL-Anbiya': 107)

ALLAH mengutuskan Rasul-Nya daripada kalangan kaum itu sendiri dengan itu ia mengetahui suasana dan keperluan untuk menjalankan seruan risalah dan melakukan tarbiah kepada kaumnya. Bagi menghadapi keperluan kaum dan bangsa yang berlainan, asas bagi melakukan islah dan mentarbiah umat ini perlulah mengikut garis panduan yang ditetapkan di dalam ayat-ayat al-Quran di atas. Rasulullah SAW diutuskan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam dan sebagai rasul yang terakhir bagi umat manusia. Maka manhaj yang digunakan oleh Rasulullah SAW adalah contoh tunggal untuk diikuti oleh seluruh umat yang mengikut seruan baginda dalam melakukan islah setelah umat tersebut berada dalam kesesatan dan kerosakan. ALLAH SWT menyatakan peringkat-peringkat tersebut secara tersusun.

Setelah kita meyakinkan manusia untuk beriman kepada ALLAH maka peringkat seterusnya ialah mendahulukan (تزكية) penyucian sebelum mengajarkan al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah) kerana kedua-dua sumber tersebut adalah suci dan tidak dapat diterima oleh seseorang hamba itu melainkan apabila hati dan iktikadnya suci.

Bersambung....

Note: Disediakan oleh:
Lajnah Tarbiah dan Akademik,
& Unit Penyelidikan dan Penterjemahan (UPP),
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA).

No comments: