Pages

Thursday, May 13, 2010

Bayi pertama guna teknik sperma beku



ZAINUL mendukung bayi pertama yang dihasilkan oleh Pusat Infertiliti PPUKM menggunakan teknik sperma beku daripada organ reproduktif di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pusat Infertiliti Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menjadi hospital kerajaan pertama menghasilkan bayi menggunakan teknik sperma beku daripada organ reproduktif.
Ketua Pusat Infertiliti PPUKM, Prof. Dr. Zainul Rashid Mohamad Razi berkata, pihaknya memantau perkembangan bayi tersebut selama setahun untuk menentukan kaedah itu tidak membawa kemudaratan kepada bayi tersebut.
“Pada 12 Mei tahun lepas, sepasang suami isteri berketurunan Cina telah melalui proses ini dan berjaya memperoleh cahaya mata mereka sendiri walaupun bapa bayi tersebut tidak dapat menghasilkan benih atau sperma akibat kerosakan semula jadi sistem reproduktifnya sejak lahir lagi.
“Selepas setahun, kita dapati jelas sekali, bayi tersebut merupakan bayi yang sangat sihat dan aktif serta menunjukkan pertumbuhan berkala seperti bayi normal yang lain,” katanya pada majlis sambutan hari jadi pertama bayi tersebut yang diraikan di tempat di mana dia ‘diwujudkan’.
Mengulas mengenai teknik itu, Zainul berkata, dengan kos di antara RM10,000 hingga RM15,000, teknik perubatan moden terkini dilakukan dengan memisahkan spermatozoa secara mikroskopik daripada tisu reproduktif pesakit tersebut.

No comments: