Pages

Monday, April 12, 2010

Budak mahu tawan Everest



GAMBAR bertarikh 1 September 2009 ini menunjukkan Romero ketika berada di puncak tertinggi benua Oceania, Gunung Carstensz Pyramid. - AP


KATHMANDU, Nepal 11 April - Seorang remaja berusia 13 tahun, Jordan Romero menuju ke Gunung Everest dalam cubaannya untuk menjadi individu termuda mendaki gunung tertinggi di dunia itu dalam misi menawan puncak tertinggi tujuh benua.
Remaja dari Big Bear, California itu bersama bapa, Paul dan ibu tirinya, Karen, semalam sibuk mengemas peralatan pendakian dan membuat rancangan rapi untuk ekspedisi dengan tiga pemandu Sherpa yang akan menemani mereka.
Kumpulan itu meninggalkan Kathmandu, ibu negara Nepal dalam perjalanan menuju ke China hari ini dan akan bergerak ke kem yang terletak di kaki gunung negara itu yang berketinggian 8,850 meter.
Jordan sebelum ini pernah mendaki puncak gunung tertinggi di enam benua lain dan berharap akan tiba di puncak Everest pada Mei ini.
"Saya hanya mahu melakukan sesuatu yang hebat dan ini merupakan perkara yang saya mahu lakukan untuk diri saya.
"Ia adalah keseronokan mengutip pengalaman dan kebetulan pula saya baru mencapai usia 13 tahun ketika ini," katanya kepada The Associated Press.
Rekod pendaki gunung Everest termuda sebelum ini dipegang oleh Temba Tsheri dari Nepal, yang berjaya menawan puncak gunung itu pada usia 16 tahun.
Jordan yang berjaya menawan puncak gunung Kilimanjaro di Afrika semasa berusia 10 tahun berkata, dia mendapat inspirasi daripada sebuah lukisan puncak gunung tertinggi di tujuh buah benua yang dilukis di dinding sekolahnya.
Bagaimanapun, Everest akan menjadi puncak gunung pertama yang akan ditawannya dengan ketinggian elebihi 8,000 meter.
Bapa dan ibu tirinya sebelum ini turut menemani Jordan dalam misi pendakiannya.
Menurut Jordan, dia tidak akan mengambil sebarang risiko dan akan berpatah semula sekiranya mereka berhadapan dengan masalah seperti cuaca buruk.
Katanya, dia pernah membaca mengenai kejadian buruk di gunung itu yang meragut banyak nyawa sebelum ini dan mengakui memperolehi pengajaran daripadanya. - AP

No comments: