Pages

Tuesday, March 16, 2010

Umie buat ibu tergamam






ANDAI benarlah Umie Aida membatalkan pernikahannya pada saat-saat akhir, hati insan yang paling remuk tentulah ibunya, Asmah Ali.
Masakan tidak, Asmah merupakan orang yang paling gembira apabila Umie sebelum ini memberitahunya ada lelaki yang mahu memperisterikannya.
Didorong oleh rasa kasih dan sayang, Asmah bersama-sama kaum keluarga yang lain sibuk melakukan persiapan kerana mahu meraikan hari bahagia anak kesayangannya itu.
Namun, bayangkan dalam waktu yang sesingkat dua hari sebelum ke Tanah Suci untuk mendirikan rumah tangga, Umie membuat kejutan dengan memaklumkan kepada ibunya yang dia mungkin tidak jadi berkahwin.
"Mahu tak tergamam saya. Mengucap panjang saya dibuatnya," kata Asmah, 60, memberikan reaksi terhadap keputusan 'gila' anak perempuannya itu.
Sebaik mendengar kata-kata Umie itu, Asmah benar-benar keliru dengan tindakan anaknya itu dan sangat-sangat bingung.
Masakan tidak, selepas pengumuman dibuat dan kad kahwin diedarkan kepada tetamu, Asmah tidak tahu mana mahu diletakkan mukanya kalau benar-benar hati Umie berubah enggan berkahwin di saat-saat akhir.
"Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika Umie memaklumkan dia mungkin tidak jadi kahwin. Saya cuba tenangkan diri dan banyakkan berdoa kepada Allah memberikan anak saya kekuatan untuk menerima segala ketentuan buatnya.
KHAIRUDDIN menyarungkan cincin ke jari manis Umie sebagai simbolik batal air sembahyang selepas diijabkabulkan.


"Syukur sudahnya hati dia terbuka dan kini dia sudah pun menjadi isteri kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan. Saya benar-benar gembira dan akan terus berdoa untuk kebahagiaan Umie dan Khairuddin buat selama-lamanya," kata Asmah dalam nada penuh syukur.
Kata Asmah, sebagai seorang ibu, tiada apa yang lebih bermakna buat mereka selain daripada mendoakan kebahagiaan anak-anaknya.
Asmah tidak pula mengamalkan pendekatan konservatif dalam mendidik anak-anaknya, sebaliknya, dia sentiasa memberi kebebasan kepada anak-anaknya.
Bahkan, Asmah menyerahkan kepada kebijaksanaan anak-anak untuk membuat pilihan berhubung jodoh mereka.
"Saya tidak pernah memberi tekanan pada anak-anak. Begitu juga dengan Umie. Saya tahu dia anak yang baik dan tidak pernah mengecewakan saya. Bila dia cakap nak kahwin, saya orang paling gembira.
"Saya tidak pernah mensyaratkan dia memilih lelaki mana untuk berkahwin, asalkan lelaki itu dari keluarga yang baik, mempunyai latar agama serta mampu menjaga anak saya dengan baik. Itu sudah memadai buat saya," ujar Asmah, yang sentiasa tenang dan tidak banyak bercakap.
Kerana itu, apabila Umie memaklumkan Khairuddin melamarnya, Asmah sangat gembira dan merestui kerana percaya Umie sudah matang dan bijak membuat pilihan.
Lebih-lebih lagi, Asmah percaya dengan pengalaman hidup yang dilalui oleh Khairuddin sudah cukup mematangkan menantunya itu untuk membimbing anaknya.
Kahwin bukan kerana harta
TANDA kasih termeterai. Sebentuk cincin berlian (tangan kiri) diberi sebaik diijabkabul. Manakala cincin di tangan kanan diberi sewaktu bertunang.


Apabila Umie memilih Khairuddin sebagai arjuna di hatinya, ada suara-suara nakal yang menyebut keputusan itu dibuat atas dasar material, bukannya cinta.
Umie yang sudah lali dengan segala dakwaan sedemikian sepanjang bergelar anak seni hanya ketawa bila diminta mengulas mengenai dakwaan nakal itu.
"Biarlah apa orang nak cakap. Manusia punya hak untuk bercakap apa saja. Saya tidak ada apa-apa yang mahu diulas mengenai cakap-cakap orang," kata Umie yang tidak mahu ambil peduli kata-kata orang luar.
Menurut pelakon filem Embun dan teater Natrah itu, pertemuan dia dengan Khairuddin telah ditakdirkan oleh Allah.
Sehubungan itu, dia dan suaminya akan terus memekarkan rasa cinta antara satu sama lain dan Umie mengakui, sebaik sah menjadi suami isteri Ahad lalu, maka bermulalah episod percintaan antara mereka berdua.
Bunyinya seakan klise - bercinta selepas kahwin, tetapi hakikatnya itulah yang sedang diusahakan oleh Umie dan Khairuddin.
Semasa tiada ikatan yang sah, pasangan itu tidak punya banyak masa untuk keluar berdua-duaan. Lazimnya, mereka akan keluar secara berkumpulan dengan teman-teman.
Kerana itu juga, Umie dan Khairuddin belum kenal habis peribadi masing-masing, sebaliknya, hanya mengenali sifat luaran sahaja.
"Bukankah lebih manis kalau dapat bercinta selepas kahwin?" soal Umie sambil mengukir senyuman paling manis selepas bergelar isteri kepada wartawan Kosmo! yang mengadakan liputan majlis pernikahannya.
Umie Istimewa - Khairuddin
Bersetuju dengan kenyataan Umie untuk bercinta selepas kahwin, Khairuddin, seorang lelaki yang pemalu dan merendah diri berkata, selepas sah menjadi suami isteri, mereka berdua akan memberikan fokus yang lebih terarah pada rumah tangga.
Selama ini kata Khairuddin, mereka tidak kenal peribadi masing-masing kerana kalau berjumpa pun hanya untuk tempoh yang singkat.
Namun begitu, dari jauh Khairuddin dapat melihat Umie mempunyai peribadi yang menawan dan sangat disenanginya.
Lebih penting lagi, Umie mempunyai sifat yang berbeza dengan peribadinya yang lemah lembut sedangkan isterinya seorang wanita yang tegas.
Perbezaan itu ujar Khairuddin, boleh memberikan keseimbangan dalam kehidupannya.
Menurut duda anak dua itu, karakter dan keunikan peribadi Umie di matanya membuatkan dia tertarik untuk melamar pelakon itu sebagai suri hidupnya selepas 15 tahun bergelar bapa tunggal.
"Umie juga nampak seorang garang tapi dia sebenarnya seorang yang lembut. Sepanjang mengenalinya saya percaya Umie mempunyai hati yang luhur dan boleh menyayangi dan mencintai saya," kata Khairuddin yang turut mengagumi sikap Umie yang bekerja keras untuk memajukan kariernya.
Khairuddin juga sangat gembira dengan sifat Umie yang tegas mendidik dua orang anak angkatnya selain sangat mementingkan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan.
Justeru, apabila Umie menyatakan hasrat untuk disatukan di Tanah Suci, Khairuddin berusaha dan mencari jalan untuk memenuhi permintaan isterinya itu.
Pernah gagal dalam rumah tangganya sebelum ini menyebabkan Khairuddin cukup berhati-hati memilih jodoh buat kali kedua dan dia bersyukur kali ini ditemukan dengan Umie.
"Ini (pernikahan di Masjidil Haram) sebagai tanda kasih dan sayang saya buat isteri saya. Harapan saya pernikahan kali kedua saya ini akan kekal sehingga ke akhir hayat. Saya percaya rumah tangga akan menjadi lebih baik seandainya ada kepercayaan serta saling bekerja sama antara suami dan isteri," jelasnya lagi.
Umie dan Khairuddin sebelum ini melangsungkan tali pertunangan pada 29 September lalu selepas perkenalan singkat selama enam bulan.
Pada majlis pernikahan di Masjidil Haram, antara teman rapat Umie yang turut berkongsi detik manis dalam hidup pelakon itu ialah penerbit drama, Ziela Jalil yang sangat gembira Umie sudah menjadi isteri orang.
Lebih menggembirakan Ziela ialah Umie disatukan di sebuah tempat yang paling indah dan didambakan ramai.
"Bertuah Umie dapat kahwin di Masjidil Haram. Inilah yang dinamakan rezeki. Saya sebagai teman mendoakan perkahwinan dia dan Khairuddin akan kekal sehingga ke akhir hayat mereka," kata Ziela berkongsi keriangannya.
Bulan madu di Eropah
Selesai majlis pernikahan di Mekah, pasangan Umie dan Khairuddin akan mengadakan majlis persandingan sekembali mereka ke tanah air.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, mereka berdua akan disandingkan dalam majlis yang akan diadakan di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor pada 28 Mac ini.
Apabila segala-galanya selesai, pasangan pengantin baru itu akan berlepas ke Eropah untuk menikmati saat-saat manis berbulan madu.
Umie yang mengosongkan jadual seninya selama sebulan akan mengambil peluang itu untuk mengenali suaminya dengan lebih rapat lagi.
Bahkan, Khairuddin sendiri mahu menjadikan kesempatan berbulan madu sebagai detik paling manis untuk dia mendasari hati wanita yang dikahwininya itu.
"Selama bercinta kami tidak pernah keluar berdua-duaan. Jadi masa bulan madu nanti, kami mahu habiskan masa berkualiti bersama-sama," kata Khairuddin lagi.

No comments: