Pages

Sunday, February 7, 2010

Berhati hati tafsir mimpi

Bersama Dr. Amran Kasimin

SOALAN:
Saya sering menghadapi masalah tidur. Sekiranya baru balik dari berjalan jauh, deruan dan bunyi hon kenderaan akan datang menerjah dalam kepala ketika hendak terlena, termasuk bunyi kereta dan lori berlanggar yang pernah saya saksikan.

Kalau saya balik dari kubur, gambaran mayat, liang lahad akan datang dalam kepala. Kadang-kadang terasa seolah-olah yang dimasukkan dalam kubur ialah diri saya sendiri.

Kadang-kadang bermimpi mengembara di hutan, yang saya sendiri tidak tahu di mana, di lembah-lembah, juga di celah-celah batu besar. Apabila bangun dari tidur, saya berasa begitu letih, seolah-olah jasad saya yang mengembara di tempat-tempat tadi. Terasa seolah-olah saya baru melakukan kerja berat. Puas saya berikhtiar ke hospital dan ubat tradisional, tetapi nampaknya semakin teruk dan gagal. - Insan Gelisah, KK.

Jawapan:
Mimpi ada tiga jenis, mimpi yang benar, mimpi daripada iblis dan syaitan, juga mimpi mainan tidur. Mimpi benar seperti wahyu yang ke atas Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah supaya mengorbankan anaknya Nabi Ismail.

Ada kalanya mimpi yang dialami oleh seseorang itu adalah benar, yang memberi petanda atau alamat tertentu kepada orang berkenaan atau orang lain, yang baik tabir atau buruk dan dapat ditabirkan. Mimpi seumpama ini memerlukan orang yang tahu mentafsirkan, biarpun ia tidak boleh dijadikan sebagai satu sandaran atau hukum yang semestinya berlaku. Iblis dan syaitan boleh mendatangkan mimpi, yang biasanya adalah mimpi buruk dan menakutkan. Makhluk ini juga boleh memberi alamat kepada orang tertentu melalui mimpi. Bagi yang melakukan rawatan tradisional, iblis mungkin datang dalam mimpi. Bagi orang yang berkenaan meminta agar dilakukan semah, iaitu menyembelih binatang seperti kambing hitam sebagai syarat ia pergi, tidak mengganggu penduduk di tempat berkenaan. Makhluk ini juga ada kalanya datang dalam mimpi, mengajar satu dua potong ayat al-Quran, yang akhirnya diamalkan oleh orang yang didatangi mimpi tadi membolehkannya terlibat dengan rawatan. Pesakit sembuh apabila didoakan dengan ayat yang diperoleh dalam mimpi, yang selalunya diiringi dengan amalan-amalan dan syarat lain, padahal sakit yang terjadi sebenarnya akibat daripada gangguan iblis dan syaitan yang memberi doa dalam mimpi tadi.

Orang yang terlibat beranggapan bahawa apa yang diperoleh adalah muanah Allah, menyebabkannya berupaya melakukan tilikan. Dalam keadaan seperti ini, ia dianggap sebagai ``kasyaf'' pada hal apa yang berlaku adalah daripada penglibatan makhluk jin tadi.

Banyak cara dilakukan oleh makhluk ini dalam usaha menyesatkan manusia, termasuklah memberi doa-doa, petunjuk dalam mimpi, datang berjubah hijau, memegang tasbih dan sebagainya. Dalam keseronokan mengikuti ajaran melalui mimpi yang juga melibatkan rawatan, makhluk tadi akhirnya menyatakan bahawa orang berkenaan telah tiba ke taraf wali-wali atau mengangkatnya sebagai rasul yang ditugaskan untuk menyebarkan Islam pada akhir zaman bagi manusia sejagat. Fenomena seperti ini biarpun jarang terjadi, selalunya berlaku di kalangan mereka yang tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh, tetapi kuat beribadah. Sesungguhnya seorang alim itu lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu orang abid, iaitu orang yang kuat beribadah tetapi jahil. Syaitan juga boleh memberi alamat kepada orang-orang tertentu melalui mimpi, contoh kepada pawang atau bomoh. Daripada Said al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: Apabila salah seorang daripada kamu melihat satu mimpi yang disukai, sesungguhnya, itu adalah daripada Allah, maka dia hendaklah memuji Allah dan menceritakan perkara yang terlihatnya. Dan apabila dia melihat lain daripada itu, daripada perkara yang tidak disukainya, maka sesungguhnya ia adalah daripada syaitan, dia hendaklah berlindung kepada Allah daripada kejahatannya dan janganlah ia ceritakan kepada seseorang, kerana dia itu tidak boleh memberi mudarat. Abu Hurairah berkata, Rasulullah pernah bersabda bermaksud: Jangan ceritakan mimpi itu kecuali kepada orang alim atau orang yang cerdik akalnya.

Ghairah

Berdasarkan hadis ini, orang yang bermimpi dengan mimpi yang menggembirakan, yang disukai, janganlah terlalu ghairah memberitahu orang lain. Mentafsir mimpi pula memerlukan orang yang arif. Orang yang alim adalah lebih layak untuk dirujuk. Dijelaskan dalam hadis di atas, orang yang bermimpi dengan mimpi buruk dan menakutkan hendaklah berlindung kepada Allah s.w.t daripada kejahatan iblis dan syaitan seperti diajar rasulullah Menurut hadis, daripada Qatadah, rasulullah pernah memberitahu, apabila seseorang itu bermimpi dengan mimpi buruk, tidak kira dalam bentuk apa, dia hendaklah meludah atau meniup disertakan dengan sedikit ludah sebelah kirinya sebanyak tiga kali dan berlindung kepada Allah daripada kejahatan iblis dan syaitan. Ia akan selamat daripada gangguannya.

Berlindung yang dimaksudkan di sini ialah dengan membaca doa-doa tertentu, misalnya, doa yang bermaksud: Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaan-Nya, daripada kejahatan hamba-hamba-Nya, daripada tipu daya syaitan dan daripada kedatangan mereka. Doa ini perlu dibaca untuk tujuan di atas berdasarkan sebuah hadis daripada Amr bin Syuib daripada ayahnya. Demikianlah yang diajarkan oleh rasulullah kepada para sahabat ketika mereka terganggu, terkejut daripada tidur. Periwayat hadis ini berkata bahawa Abdullah bin Umar telah mengajarkan doa tadi kepada anak-anaknya yang cukup umur. Kepada yang belum cukup umur, tulisan doa itu digantungkan pada lehernya. Doa berikut juga boleh dibaca, yang bermaksud: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan dan daripada keburukan mimpi. Setelah berlindung kepada Allah orang berkenaan hendaklah beralih atau bertukar cara tidur. Sekiranya semasa bermimpi dia tidur mengiring sebelah kanan, dia hendaklah menukarnya dengan mengiring sebelah kiri. Adalah lebih baik sekiranya dia beralih tempat tidur. Kaedah ini dijelas berdasarkan hadis daripada Jabir, katanya rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disukai akan dia hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya tiga kali, kemudian dia hendaklah berlindung kepada Allah daripada syaitan tiga kali dan hendaklah dia menukarkan posisi di mana dia berada. Kaedah-kaedah yang dijelaskan ini ada kalanya tidak memberi kesan atau tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh seseorang. Gangguan tetap datang untuk mengatasi masalah yang berterusan seperti ini, seseorang itu perlu bangun, berwuduk kemudian lakukan sembahyang tahajud diikuti sembahyang hajat, mohon agar dia dilindungi oleh Allah daripada segala gangguan, sama ada daripada manusia, iblis dan syaitan atau kedua-duanya sekali.

Berdoa

Sesungguhnya Allah menjanjikan kemakbulan kepada mereka yang berdoa pada sepertiga malam terakhir. Daripada Abu Hurairah, katanya rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi buruk, janganlah dia ceritakan kepada orang lain dan hendaklah ia bangun lalu sembahyang. Hadis ini tidak menerangkan secara khusus tentang sembahyang yang perlu dilakukan. Walaupun demikian, sembahyang yang dijelaskan adalah di antara amalan yang paling sesuai dilakukan. Sesungguhnya Allah menjanjikan kemakbulan bagi mereka yang berdoa pada waktu malam, sebagaimana yang dijelaskan hadis daripada Abu Hurairah daripada rasulullah, dia bersabda yang bermaksud: Tuhan kami turun pada setiap malam ke langit dunia ketika malam tinggal sepertiga yang terakhir. Dia berfirman: Barang siapa berdoa kepada-Ku, akan kuberi. Barang siapa memohon keampunan akan kuampuni baginya. Ketahuilah bahawa masa yang paling hampir bagi Tuhan dengan hamba-Nya ialah pada bahagian malam terakhir. Ketika itu Allah akan memperkenankan permohonan hamba-Nya. Allah menjadikan tiga jenis makhluk utama di dunia ini, iaitu malaikat, jin dan manusia. Makhluk-makhluk ini adalah di bawah kekuasaan Allah. Iblis dan syaitan termasuk dalam golongan jin. Kerana itu, sekiranya terjadi masalah atau gangguan akibat daripada perbuatan makhluk-makhluk ini, manusia perlu merujuknya kepada Allah. Memohon perlindungan daripada-Nya daripada segala kejahatan makhluk tadi.

Untuk tujuan ini, sebelum tidur, seseorang itu hendaklah berwuduk, kemudian baring di tempat tidur lalu membaca takbir, subhanallah dan alhamdulillah sebanyak 33 kali setiap satu. Dalam sebuah hadis daripada Saidatina Aishah menyatakan bahawa nabi, apabila baginda berbaring di tempat tidurnya setiap malam, dia menghimpunkan kedua-dua telapak tangannya kemudian dia meniupnya dengan mulut padanya, lalu dia membaca padanya, Qul huwa `Llahu ahad, Qul a'udhu bi rabbi falaq dan Qul a'udhu bi-rabbi `n-nas (tiga qul). Kemudian baginda menyapu kedua-dua telapak tangannya itu ke seluruh badan seberapa boleh yang dimulakan pada bahagian kepala, muka dan bahagian badannya. Ia melakukannya sebanyak tiga kali. Demikianlah di antara amalan yang perlu dilakukan berdasarkan perlakuan sunah yang sewajarnya dicontohi.
Mingguan Malaysia 26 Mac 2006

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Saya ada soalan. Banyak Tafsir Mimpi mengatakan jika ada seseorang itu mimpi tentang perkahwinan, atau menjadi seorang pengantin, ia adalah perkara yang boleh membawa musibah atau kematian orang yang bermimpi itu.

Soalan saya, mengapa mimpi perkahwinan, suatu lambang kebahagiaan, di tafsirkan untuk menjadi tanda yang kurang baik, malahan boleh mendatangkan kematian. Kan mimpi kebahagiaan itu datangnya dari Allah?