Pages

Wednesday, January 27, 2010



Saturday, November 7, 2009
Tidak Akan lupa perbuatan BN terhadap PAS

Krisis di perak umno bersalah tetapi bukan umno sahaja yang patut di salahkan , sultan perak sendiri dan istana patut perak dan keturunannya patut di persalahkan dahulu.


Saya tidak akan lupa penganiayaan BN terhadap PAS."Suaranya begitu lantang. Khalayak yang memenuhi Masjid Taiping itu mendengarnya begitu tekun. Tanpa kecuali di penjuru sudut seorang anak kecil berusia 10 tahun yang berada di sisi ayahnya.
Sambil memegang kejap paha ayahnya, si kecil itu ternganga melihatkan kepetahan kata-kata lelaki yang berada di anjung tengah, tempat imam bersolat. Sesekali lelaki itu, yang berjubah putih dan mengenakan selempang merah di kepala mengerling dan merenung tajam, membuatkan si kecil tergamam seketika.
Pada firasat si kecil, sudah pastilah lelaki itu cukup hebat dan perkasa lagaknya, sehingga begitu ramai orang dan pengikutnya pada hari itu melimpahi ruang solat. Sungguhpun tidak begitu faham dengan butir-butir yang disampaikan, si kecil dapat mengagak pasti menarik kisah yang dilontarkan memandangkan, sebahagian besar para jemaah yang ketawa, tersenyum dan sesekali serius mengikuti tiap kata yang dilafazkan.
"Namanya ustaz Yazid Ja'affar," kata si ayah menjawab bisikan anaknya di telinga. Terngiang-ngiang si kecil itu mendengar ustaz itu bercerita dan menitipkan nasihat tentang pengorbanan seorang ibu kepada anaknya.
Kini, si kecil itu, sudah berada di halaman rumah tokoh dan penceramah yang cukup terkenal di pelusuk negara. Tidak disangka, dia akan menemubual Yazid setelah 24 tahun lalu, mendengar kuliahnya di kampung halaman.
Tiba-tiba lamunan saya terhenti, tatkala sebuah kereta Pesona muncul di depan pintu pagar. Tergamam dan kaget melihat susuk tubuh yang keluar dari kereta itu cukup tenang dan bersahaja, dan wajahnya mirip lelaki yang bersuara lantang suatu ketika dulu. Apatah lagi melihat dia yang memandu sendiri kereta walaupun sudah berusia 82 tahun!
"Mari kita sarapan dulu," sapa Ustaz Yazid kepada saya yang masih kaku. Kaku melihat, bekas tentera berpangkat Sarjan ini, masih bertenaga dan kuat. Mungkin latihan, displin dan asahannya di dalam Askar Melayu di Raja sekitar tahun 50 an, menjadikannya cukup bersemangat.
"Saya menyertai PAS pada tahun 1956, sebaik sahaja berhenti daripada Askar. Hati saya tertarik kerana dasar perjuangannya adalah Islam.
Petugas PAS dibunuh
"Pada saya tidak ada satu parti yang lebih baik daripada PAS. Walaupun PAS tidaklah sempurna sangat tetapi dialah satu-satu parti yang menegakkan dasar Islam di negara ini," kata Yazid memulakan bicara.
Kemudian beliau tertunduk, dan mengambil masa yang agak lama merenung tajam seolah-olah mengimbau kembali sejarah silam. "Sampai sekarang saya tidak akan lupakan penganiayaan yang dibuat oleh BN terhadap PAS. Lebih dasyat ialah tragedi yang mengorbankan nyawa petugas dan penyokong PAS," katanya.
Yazid, mengungkap kembali peristiwa pembunuhan Samad Gol, Tragedi Lubuk Merbau dan peristiwa Memali yang menyaksikan 14 nyawa terkorban.
"Di Lubuk Merbau, seorang petugas PAS yang sedang menampal poster parti di tetak dengan kapak dan mati terbunuh. Kisah-kisah kezaliman terhadap PAS ini tidak memungkin saya bersetuju untuk apa jua penggabungan atau kerjasama dengan BN," katanya tegas.
Kisah Lubuk Merbau pula seolah-olah mengulangi kejadian sewaktu kempen Pilihan raya di Bagan Pinang 7 Oktober di mana seorang petugas cedera parah, di belasah penyokong parti lawan. Yazid juga turut berada di sana sepanjang kempen, dan beliau berulang alik dari Kuala Lumpur ke Port Dickson setiap hari.
Dengan ketegasan prinsipnya Yazid telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat sewaktu PAS menyertai BN sebagai kerajaan campuran pada tahun 1974. Natijahnya, selepas itu, PAS ditendang keluar empat tahun kemudian.
Begitu juga sewaktu Yang Dipertua PAS Dato' Asri Muda menyertai Umno, Yazid tidak goncang dan goyah prinsip. Sungguhpun dahulu beliau dianggap anak emas Asri sehingga di gelar 'Bukhari' membawa maksud 'setiap yang Yazid katakan adalah datangnya daripada Asri', Yazid tidak ikut serta.
Anugerah tuhan
Beliau sentiasa mengekori Asri di pelusuk negara dan tempias pemidato hebat itu turut terkena kepada dirinya. Daripada tukang pikul bateri pembesar suara untuk Asri, Yazid berdikit-dikit memijak pentas ceramah.
"Kali pertama, saya menyampaikan ceramah sulung ialah di Pantai Baru, Kuala Lumpur dan semua ini adalah anugerah tuhan," katanya merendah diri ketika ditanya tentang petua kehebatannya berceramah.
Yazid mengakui beliau tidak sekali pun mendapat didikan formal dalam bidang agama, tetapi belajar melalui pembacaan dan mengkuti kuliah serta ceramah tokoh-tokoh yang terkenal waktu itu. Barangkali, cebisan pengalamannya sebagai guru Kawat sewaktu dalam tentera, banyak membantu melancarkan susur katanya ketika berceramah.
Kerana kehebatannya itu, sekitar tahun 80an, beliau menjelajah seluruh Amerika Syarikat selama 28 hari, menyampaikan ceramah yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana.
Selain sambutan yang cukup menggalakkan, tidak kurang juga pelbagai cabaran yang terpaksa di hadapi Yazid ketika melontarkan hujahnya di kayalak ramai.Ada antaranya mengasah parang ketika beliau naik ke pentas seperti insiden di Kampung Batak Rabit, Teluk Intan (dahulunya dikenali Telok Anson).
"Tengah berceramah, seorang penduduk mangasah parang sehingga berkilat di depan saya.
"Namun, untuk berundur tidak sekali," katanya yang tidak pernah takut dengan ugutan atau sebarang ancaman.
Menceritakan saat cemas etika di kepung empat penjuru oleh pihak parti lawan yang tidak senang beliau menyampaikan ceramah, sehingga mengancam nyawa, apabila salah seorang daripadanya mengacukan senapang untuk menembaknya.
"Mereka nak bunuh saya...tetapi dihalang oleh seorang Ustaz, yang terkenal dengan kependekarannya dan mujur tiba sepasukan empat buah trak polis mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya yang merujuk lokasi kejadian di Repek, Kelantan.
Lain pula halnya sewaktu Yazid sedang menampal poster parti dan ceramah di salah sebuah kampung di Parit Buntar, Perak apabila dikerumuni oleh sekumpulan penduduk di situ yang menasihatinya agar tidak berbuat demikian.
"Kata mereka, tak payahlah nak tampal poster di sini, kami di sini sudah kafir...." katanya kecewa dengan lafaz yang berlawanan akidah yang diucapkan mereka, hanya kerana berbeza fahaman politik.
Kini, kisah pahit maung perjuangannya itu disulam dengan ketenangan Yazid meniti hari-hari yang mendatang. Tidak pernah merasa bosan dan sentiasa terisi dengan jadual kuliah mengajar, Yazid masih kuat menyalurkan ilmu dan pengalaman kepada umat Islam setempat mahupun di luar kariahnya.
Berkat hasil usaha tidak jemu, membuahkan kejayaan yang cukup bermakna apabila mampu mendirikan sebuah rumah kebajikan di Keramat, Kuala Lumpur yang di beri nama "Al-Ikhwan" empat tahun lalu, yang berpegang kepada konsep 'persaudaraan'. Tidak kira Melayu Islam ataupun berbangsa Cina dan India, golongan miskin dan susah ini, akan dibantu jika memerlukan.
"Jika ada Cina dan India hidup melarat, kita akan bantu dan duduklah di sini," ujarnya dengan penuh ikhlas.
Al-Ikwan bantu Cina, India melarat
Al-Ikhwan ini pernah dirasmikan oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tahun lalu dan menempatkan orang-orang tua khususnya kaum wanita yang ingin mempelajari ilmu agama atau "Memondok". Selain itu, akhir tahun ini, bangunan empat tingkat ini akan menerima pula kemasukan pelajar-pelajar tahfiz dan anak-anak yatim.
Menyediakan sejumlah 200 katil untuk penghuni dan ruang musolla yang boleh ditukar sebagai dewan kuliah, Al-Ikhwan yang diasaskan Yazid ini sentiasa dipenuhi dengan kaum Muslimat pada setiap pagi Ahad. Sebabnya kuliah tetap Yazid kepada kaum ibu dilakukan pada hari itu.
Disebalik banguna yang indah dan damai itu, Yazid menceritakan bagaimana asal penubuhan Al-Ikhwan yang baginya, terletak dibawah perancangan Allah semat-mata.
Katanya, semasa sering berkuliah dan merancang jadual kuliah untuk para ustaz di Kampung Baru, beliau telah menubuhkan satu Tabung bagi tujuan untuk memberi sumbangan kepada para ustaz yang mengajar dan Yazid telah menetapkan, jumlah bayaran setiap pencermah sekitar RM70.00 seorang.
Setelah puluhan tahun, beliau tidak menyangka jumlah dana yang terkumpul mencecah lebih RM200,000. Tanpa di duga, pada saat itu, seorang hamba Allah memberitahu, sebidang tanah di Keramat mahu dijual dengan harga RM240,000.00 dan tanpa berfikir lama, beliau bersetuju membelinya sekalgus tercetus idea untuk menubuhkan bangunan rumah kebajikan itu.
"Masa itu, saya kira di usia yang tua, apalah yang nak dibuat dengan duit yang banyak ini. Lebih saya buat rumah kebajikan untuk manfaat orang-orang miskin dan susah," katanya sambil menyua kedua-dua belah tapak tangan kepada saya, yang mula tidak faham.
Rupanya, beliau mahu menunjukkan 'jumlah' barang kemas dan gumpalan rantai emas orang ramai yang didermakan kepada tabung untuk tujuan kebajikan itu.
Katanya sesiapa yang mahu menghuni dan mampu, bayaran yang dikenakan adalah antara RM150 ke RM300 sebulan untuk tujuan makanan sahaja, namun bagi yang tidak berupaya dan susah, Al-Ikhwan bersedia menanggung segalanya secara percuma
Saya sempat mengungkit kembali peristiwa, cucu beliau yang cedera dipijak anggota keselamatan sewaktu demonstrasi Bersih, 10 November 2007 yang lalu sehinggqa tempurung lututnya hancur.
"Dia sihat tetapi kalau solat, atas kerusi. Lututnya dah rosak," katanya dengan wajah yang kelam.
Lantas, saya cuba menduga libasan cebisan soalan yang menghiris hati, dengan niat menguji. Saya katakan bahawa sesiapa yang menyertai perjuangan Islam termasuk PAS, sentiasa diasak teruk dan akan menghadapi serba pahit kepayahan.
"Kita masuk PAS bukan untuk senang tetapi untuk perjuangkan Islam. Jika kita susah sekarang, kita akan senang di akhirat.
"Dalam mempertahankan Islam, ada yang mati dan kita mahu mati seperti mati syahid!" kata Yazid laksana panglima Islam di medan tempur.
Akhirnya dugaan soalan, saya terpancung diri sendiri dengan hunusan jawapan Yazid yang bersahaja membuatkan saya malu tiba-tiba. Tanpa banyak cerita, saya mohon tips dan petua menjadi suara yang lancar tutur kata di khalayak ramai.
"Sebenarnya terletak kepada taufik dan hidayah Allah nak berikan. Ada orang mengaji di Mesir selama 10 tahun, tetapi tidak mampu berceramah...ini semua adalah kuasa Tuhan yang mengizinkan," katanya tenang dan merupakan penulis buku "Mengingati Mati" dan "Anak Yang Soleh".
Bukan untuk menang tetapi kebenaran
Sebelum sempat mengakhiri perbualan ustaz Yazid Ja'afar memberitahu bahawa beliau pernah menyarakan Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang beberapa tahun lalu untuk memperkuatkan parti dengan mengadakan tarbiyah dan muhasabah diri kepada ahli-ahli parti.
"Jangan banyak berceramah ke luar tetapi banyakkan di dalam," katanya ketika Ustaz Hadi yang menziarahinya tahun 1990, kerana terlantar akibat kemalangan jalan raya.
Bagi Yazid, ahli-ahli PAS dan pejuang Islam perlu memperkuatkan pendirian dan matlamat. supaya tidak goyah sekalipun diancam badai gelombang mendatang.
Beliau yang bergelar Dato', mempunyai 8 anak, 27 cucu dan 6 cicit ini sempat membariskan mutiara kata buat pendokong perjuangan Islam.
"Mudah-mudahan kita berjuang di dalam PAS bukan untuk kemenangan tetapi kebenaran.
"Jika kita menang, bersyukur kita berjaya di dunia dan akhirat. Dan jika kita kalah, kita tetap akan mendapat pahala dan ditempatkan di syurga.
"Sesungguhnya perjuangan Islam ini, kita tidak pernah rugi...," katanya sambil menghulurkan salam perpisahan kepada saya yang sudah memasang cita-cita menjadi 'Panglima' sehebat beliau.

No comments: