Pages

Thursday, August 25, 2011

Raja Azmi dakwa dirinya difitnah tiga individu



KUALA LUMPUR - Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman mendakwa dirinya difitnah oleh tiga individu yang dikenalinya berhubung kes khalwat membabitkan dirinya dengan pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim.
Tegas Raja Azmi, 51, dia mempunyai bukti yang lengkap untuk menyabitkan ketiga-tiga individu terbabit dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka bagi membersihkan nama dan maruahnya yang telah tercemar ekoran tuduhan khalwat berkenaan.
"Saya akan mengheret semua individu yang terlibat yang menganiaya saya dan suami (Jailani Sidek) ke muka pengadilan bagi membersihkan maruah saya yang telah difitnah," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Concorde di sini semalam.-kosmo

Hishammuddin dapat surat ugutan, dua butir peluru



KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima dua butir peluru hidup dalam sebuah sampul surat yang dihantar melalui pos ke pejabatnya di Putrajaya pada pukul 2 petang semalam.
Beliau berkata, selain peluru, sampul surat itu juga mengandungi sebuah buku yang diselitkan nota ugutan.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ikhlasiyah di Pantai Dalam dekat sini, beliau bagaimanapun enggan memberitahu kandungan nota ugutan tersebut.
"Saya mengesahkan bahawa hari ini (semalam) saya menerima dua butir peluru hidup yang dihantar melalui pos ke pejabat saya dan saya juga menerima ugutan.
"Ini adalah kali pertama saya menerima surat ugutan serta peluru. Surat itu diterima oleh seorang pegawai saya dan beliau telah pun membuat laporan polis," katanya. - Bernama

Penoreh getah didakwa bunuh bapa




MOHD. ADLI dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar semalam kerana didakwa membunuh bapanya.


ALOR SETAR - Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh bapanya yang berusia 60 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Kuala Nerang dekat sini pada 11 Ogos lalu.
Mohd. Adli Saman, 33, hanya mengangguk kepala tanda faham atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhair Rosli.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Adli didakwa membunuh Saman Sirun di rumah mangsa yang tidak bernombor di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Kuala Nerang antara pukul 7 petang hingga pukul 7.30 petang pada 11 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd. Adli.
Kes akan disebut semula pada 26 September ini di Mahkamah Majistret Kuala Nerang.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suzanne Tiyon Bimen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 13 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan tindakan seorang penoreh getah yang menetak bapanya sehingga warga emas itu maut dengan sebelah kaki kanannya putus dari atas buku lali dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Kuala Nerang.
Turut menjadi mangsa, ibunya, Hasnah Abdul Majid, 58, yang ditetak di kepala dan menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang.
Suspek dikatakan bertindak demikian selepas naik angin hanya kerana marahkan seekor kucing.
Sejurus selepas kejadian, suspek melarikan diri di kawasan hutan berdekatan rumahnya dan dia diberkas tiga hari kemudian ketika sedang menonton televisyen di rumahnya.
Suspek dikatakan tidak mempunyai rekod penyakit mental namun dia pernah beberapa kali mendapatkan rawatan secara tradisional kerana didakwa mengalami masalah tekanan jiwa.

Pencuri kereta di pusat servis




OSMAN (dua dari kanan) melihat kereta BMW yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Seremban semalam.


SEREMBAN – Taktik licik seorang lelaki yang mencuri empat buah kereta bernilai RM200,000 di pusat servis dan bengkel kenderaan sejak beberapa bulan lalu terbongkar apabila dia ditahan di Sikamat di sini Selasa lalu.
Lelaki lingkungan 40-an itu ditangkap pukul 6 pagi selepas polis melancarkan operasi mencari sebuah kereta jenis BMW yang dicuri di sebuah pusat servis di sini 13 jam sebelum itu.
Modus operandi suspek ialah dia akan membuat pemerhatian di premis yang dipilih dan sebaik pelanggan meninggalkan kereta untuk diservis, dia akan menyamar sebagai pemilik sebelum meminta kunci untuk melarikan kereta.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, dalam kejadian Isnin lalu, suspek datang ke pusat servis itu lalu masuk ke dalam premis dengan menyamar sebagai pelanggan.
“Polis yang menjalankan siasatan kemudian menemui BMW itu ditinggalkan di kawasan deretan kedai di Sikamat. Suspek berjaya ditahan ketika dia cuba menghidupkan kereta berkenaan,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, susulan tangkapan itu, polis menemui tiga buah kereta yang dicuri suspek iaitu Myvi, Kia Spectra dan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di sekitar kawasan Sikamat.
Menurut Osman, semakan mendapati suspek dari Perak itu mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek dipercayai terlibat mencuri lima buah kereta lain iaitu Honda Accord, Honda Civic, Honda City, Nissan Sylphy dan Toyota Camry yang telah dijual,” katanya.
“Pemilik pusat servis dan bengkel kena lebih berhati-hati ketika menjaga harta orang ramai. Jangan tinggalkan kunci di dalam kereta pelanggan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan.-kosmo

Budak hidap sawan rentung


ROSNI sebak melihat rumah setinggan yang diduduki enam keluarga musnah dijilat api di Sungai Nibong Kecil, George Town semalam. [gambar kecil] Zulaika Batriesa


GEORGE TOWN – Dua keluarga yang sedang menunggu azan subuh selepas menikmati juadah sahur tinggal sehelai sepinggang apabila rumah setinggan yang diduduki mereka hangus dijilat api dalam kejadian yang mengakibatkan seorang kanak-kanak rentung semalam.
Kejadian pukul 5.45 pagi di Sungai Nibong Kecil dekat sini itu mengakibatkan Zulaika Batriesa Mohamad Zafian, 9, yang menghidap penyakit sawan ditemui rentung di dalam longkang berhampiran rumah jirannya yang turut hangus.
Ketika kejadian, semua ahli keluarga mangsa termasuk ibu, bapa, lima adik-beradiknya, Mohd. Zulfikar, 15; Mohd. Zulhaiki, 13; Zafira Alia, 6; Zafira Amira, 5, dan Mohd. Zarifhaikal, 4, terselamat.
Zulaika Batriesa dikatakan telah ditarik keluar di awal kejadian oleh ibu bapanya tetapi anak kedua daripada enam beradik itu bertindak masuk semula ke dalam rumah lalu terperangkap.
Difahamkan, rumah kayu dua tingkat itu dihuni 11 orang daripada dua keluarga bersaudara, di mana keluarga Zulaika Batriesa tinggal di bawah manakala nenek mangsa, Rosnah Ibrahim, 55, pula di bahagian atas bersama keluarga seorang lagi anaknya.
Kejadian itu turut mengakibatkan empat lagi rumah di situ hangus namun tidak melibatkan kehilangan nyawa.
Mengimbau semula kejadian itu, nenek saudara mangsa, Rosni Ismail, 57, memberitahu, dia cuba menyelamatkan keenam-enam anak saudaranya itu sebaik menyedari kawasan rumah mereka terbakar.
Katanya, sebelum kejadian, mereka baru selesai bersahur dan keluarga mangsa tidur semula sementara menanti azan subuh.
“Saya berjaya membuka pintu rumah mangsa dan cuba mengeluarkan semua penghuni tetapi tidak sedar bila Zulaika Batriesa masuk semula ke dalam rumah,” ceritanya dalam nada sedih.
Sementara itu, Rosnah memberitahu, kejadian itu mengakibatkan semua harta benda mereka hangus termasuk wang dan barang kemas untuk kegunaan menyambut Syawal.-kosmo

Dituduh cuba sembelih anak



Shahli didakwa cuba membunuh anak sendiri di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang bapa yang bertindak kejam dengan cuba menyembelih anak sendiri diheret ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan cubaan membunuh.
Tertuduh, Shahli Harun, 42, dari Kampung Guar Jumaat, Gurun, Kedah bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika jurubahasa membacakan pertuduhan kepadanya di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga seorang kontraktor dituduh cuba membunuh anaknya, Puteri Intan Syazwani, 4, dengan menggunakan sebilah parang hingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di leher.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 1 dan 2 petang pada 22 Ogos lalu berhampiran pondok tol yang masih dalam pembinaan di Lebuh Raya Bukit Besi-Ajil dekat Dungun.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh sehingga menyebabkan mangsa cedera.
Jika sabit kesalahan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud.
Ketika pertuduhan dibacakan, Shahli yang kini menetap di Kampung Bijangga, Dungun dekat sini cuba berdolak-dalik dengan mengatakan dia tidak faham pertuduhan tersebut kerana tidak waras.-kosmo

Kereta seperti F1 bergerak di jalan raya




FURORE F1 ciptaan Russ Bost sah digunakan di atas jalan raya di Britain.


BENFLEET, Britain - Seorang peminat kereta lumba, Russ Bost (gambar kecil) yang berusia 54 tahun membelanjakan hanya £10,000 (RM49,146) untuk mencipta sebuah kereta seperti Formula Satu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Pada kebiasaannya, kos untuk membina sebuah kereta F1 melibatkan berjuta-juta pound.
Kereta itu juga sah di sisi undang-undang untuk dipandu di atas jalan raya bersama dengan kenderaan lain.
Bost mencipta kereta itu yang mampu bergerak selaju 273.59 kilometer sejam.
Dia menggunakan sebuah enjin motosikal Kawasaki manakala banyak peralatan termasuk gear dan brek diambil daripada kereta Toyota MR2, yang dibelinya pada harga cuma £300 (RM1,474).
Kereta itu diberi nama Furore F1 dan ia mampu memecut dari 0 hingga 96.56 kilometer sejam dalam tempoh tiga saat.
Menurut Bost, semasa memandu kereta itu di bandar, ramai orang yang memerhatikannya.
"Saya kerap ditanya jika kereta itu benar-benar sebuah kereta lumba F1," katanya.
Kereta lumba F1 yang dipandu oleh pelumba Lewis Hamilton dan Jenson Button memerlukan penggunaan minyak 3.78 liter untuk setiap 6.43 kilometer.
Namun, kereta ciptaan Bost itu mampu menggunakan minyak 3.78 liter untuk setiap perjalanan sejauh 48.28 kilometer. - Agensi, kosmo

Nelayan tangkap ketam ganjil




RUPA bentuk ketam ganjil yang kini dipelihara di Akuarium Blue Reef, Southsea, Hampshire, Britain.


SOUTHSEA - Seorang nelayan menangkap seekor ketam ganjil yang wajahnya dikatakan mirip makhluk asing dalam filem Predator yang dibintangi pelakon Arnold Schwazenegger pada tahun 1980-an, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketam itu kini ditempatkan di Akuarium Blue Reef di Southsea, Hampshire, Britain selepas haiwan tersebut diserahkan untuk dipamerkan baru-baru ini.
Haiwan tersebut turut dikenali sebagai ketam span dan ia boleh menyamar dan mengelak daripada dilihat menerusi pemandangan mata semasa haiwan tersebut berada di dasar laut.
Ketam itu akan dipamerkan kepada orang ramai selepas ia selesai dikuarantin. - Agensi, kosmo

Penduduk panik gempa bumi landa Amerika Syarikat



BEBERAPA orang berhimpun di luar 
beberapa buah bangunan dekat Dataran Foley, New York akibat gempa bumi 
kelmarin.


MINERAL, Virginia - Satu gempa bumi berukuran 5.8 pada skala Richter yang berpusat di Virginia melanda pantai timur Amerika Syarikat (AS) termasuk di New York dan Washington D.C kelmarin.
Gempa bumi itu pada mulanya disangka satu serangan pengganas di New York ekoran bangunan-bangunan tinggi bergoyang menyebabkan mereka berhimpun di luar bangunan.
Pejabat-pejabat pemerintah di Washington D.C seperti pejabat Presiden AS, White House dan Jabatan Pertahanan AS dikosongkan ekoran gempa bumi yang dianggap terkuat pernah berlaku dalam tempoh 67 tahun di timur AS.
Setakat ini tiada laporan mengenai kematian tetapi beberapa pegawai di Washington berkata, terdapat beberapa orang dilapokan cedera.
Namun, gempa bumi itu menyebabkan Gereja Besar Kebangsaan Washington yang menjadi lokasi pengebumian beberapa Presiden AS mengalami kerosakan kecil.
Bangunan tempat persidangan wakil rakyat AS di Washington turut mengalami kerosakan kecil.
Presiden AS, Barack Obama tidak berada di Washington semasa gempa bumi itu berlaku kerana beliau bermain golf di di Pulau Martha's Vineyard di luar pantai Massachusetts. - Agensi,gempa

Lembu tersangkut pada penghadang jalan



SEEKOR lembu tersangkut pada penghadang jalan dekat kampung Montecorvino Rovella-Salerno di Itali baru-baru ini.


ROM - Seekor lembu tersangkut pada penghadang jalan dekat kampung Montecorvino Rovella-Salerno di Itali, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kejadian tersebut berlaku apabila lembu itu cuba untuk melompat melepasi penghadang jalan itu.
Namun, kesilapan lompatan itu menyebabkan ia hilang iimbangan sekali gus mengakibatkan badan haiwan tersebut tersangkut pada penghadang jalan baru-baru ini.
Seorang mekanik, Roberto Marano, 42, berjaya merakamkan gambar haiwan itu.
Namun, katanya, lembu itu akhirnya berjaya melepaskan diri. - Agensi, kosmo

Kapsul belon untuk pelancong lihat Bumi


KAPSUL yang bergerak ke lapisan stratosfera Bumi dengan belon.


BARCELONA - Sebuah syarikat Sepanyol mencipta sebuah kapsul yang akan membawa pelancong ke stratosfera Bumi dengan menggunakan belon helium pada 2013, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Stratosfera berada pada ketinggian di antara 12 hingga 50 kilometer dari Bumi.
Syarikat Zero 2 Infinity itu mengenakan tambang sebanyak £90,000 (RM442,734) untuk setiap pelancong yang berada di dalam kapsul tersebut selama lima jam.
Para pelancong akan menikmati pemandangan Bumi. Kapsul tersebut direka supaya mereka boleh memakai baju-T semasa berada di dalamnya.
BENTUK kapsul yang akan dinaiki oleh pelancong.


Ketua Pegawai Eksekutif Zero 2 Infinity, Jose Mariano Lopez-Urdiales berkata, dia mendapat idea untuk melaksanakan projek tersebut sepuluh tahun lalu.
Setakat ini tiga ujian sudah dilakukan pada jarak 32.18 kilometer dari bumi.
Para pelancong akan disajikan makanan semasa mereka berada di dalam kapsul itu. - Agensi

Bekas Ketua IMF bebas tuduhan serangan seks


DOMINIQUE Strauss-Kahn dan isterinya keluar dari bangunan Mahkamah Tinggi di New York kelmarin.


NEW YORK - Bekas Ketua Dana Kewangan Antarababangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn dibebaskan daripada semua dakwaan melakukan jenayah seks ke atas seorang pekerja Hotel Sofitel, Nafissatou Diallo oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Michael Obus kelmarin.
Hakim itu mengambil masa selama beberapa minit untuk meluluskan permintaan daripada pihak pendakwa raya untuk menggugurkan kes tersebut.
Menurut pihak pendakwa raya, pengguguran kes itu dibuat hasil daripada penipuan yang berterusan yang dilakukan oleh pekerja hotel tersebut dalam kes tersebut.
Strauss-Kahn ditangkap pada 14 Mei lalu semasa dia berada dalam sebuah pesawat menuju ke Perancis di sebuah lapangan terbang di sini selepas dia didakwa melakukan serangan seks ke atas Diallo termasuk tuduhan cubaan merogolnya.
Dia kelihatan lega semasa meninggalkan bangunan mahkamah setelah hakim tersebut membebaskannya.
"Ini merupakan penamat sesuatu yang dahsyat dan pengalaman yang tidak sepatutnya," kata Strauss-Kahn kepada pemberita di luar kediamannya di Lower Manhattan.
Dia yang berusia 62 tahun turut menyatakan dirinya dalam keadaan bersemangat untuk pulang ke tanah airnya di Perancis.
Skandal itu menyebabkan reputasinya terjejas yang menyebabkan dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF dan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden Perancis tertangguh.
Pejabat Peguam Daerah mempertahankan keputusan untuk menggugurkan kes itu dengan menyatakan tidak ada bukti kukuh berlakunya serangan itu walaupun terdapat bukti awal bahawa kemungkinan berlakunya paksaan dalam satu perlakuan seks.
Menurut pejabat itu, pekerja itu sendiri tidak lagi boleh dipercayai.
Menurut pendakwa raya, Diallo secara berterusan tidak bercakap benar semasa menggambarkan kejadian ketika dia cuba dirogol oleh Strauss-Kahn.
Peguam Daerah, Cyrus Vance mengeluarkan satu kenyataan bagi mewajarkan permintaan untuk menggugurkan kes itu.
"Jika kami tidak dapat meyakinkan melebihi satu keraguan munasabah bahawa satu jenayah sudah dilakukan, berdasarkan bukti yang kita ada, kita tidak dapat meminta juri untuk menyabitkannya (Strauss-Kahn)," katanya. - Agensi, kosmo

Kediaman Gaddafi digeledah



SEORANG lelaki (kiri) berjabat tangan dengan seorang pemberontak.


TRIPOLI - Para pemberontak menggeledah kediaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di sini selepas mereka berjaya memasukinya kelmarin.
Para pemberontak itu merampas topi yang menjadi kebanggaan Gaddafi yang kerap dipakainya selain sejumlah senjata api.
Namun, kemaraan pemberontak yang berjaya menawan kediaman itu gagal menangkap Gaddafi kerana kelibatnya tidak kelihatan.

SEORANG wanita memberikan isyarat kemenangan semasa dia meraikan kejayaan para
pemberontak di Tripoli semalam.


Selepas kejayaan para pemberontak menawan kediaman itu, Gaddafi menyampaikan mesejnya semalam dengan menyatakan pengundurannya dari kediaman tersebut merupakan satu muslihat taktikal.
Dia yang sudah memerintah selama 42 tahun juga mendedahkan telah menyamar di Tripoli tanpa dilihat oleh orang ramai.
"Saya tidak berasakan bahawa Tripoli berada dalam bahaya," katanya.
Gaddafi bercakap kepada media yang menyokongnya selepas lokasi persembunyikannya masih kekal menjadi misteri.
Beliau yang memerintah selepas melakukan rampasan kuasa pada 1969 ketika pemerintah Libya masa itu, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan, berikrar sanggup mati syahid semasa tentera yang setia kepadanya masih bertempur dengan para pemberontak.
SEJUMLAH pemberontak meraikan kemenangan menawan kediaman pemimpin Muammar Gaddafi di Tripoli.


Pergolakan di Libya berlaku sejak Februari lalu selepas para penunjuk perasaan berhimpun di bandar Benghazi bagi menuntut demokrasi dan peletakan jawatan Gaddafi.
Sementara itu, selepas kediaman Gaddafi ditawan pemberontak, para penyokong setia Gaddafi semalam menyambung semula serangan dengan pemberontak.
Sebahagian pemberontak itu berlari-lari bagi menyelamatkan diri semasa para penyokong Gaddafi melepaskan tembakan di kediaman pemimpin tersebut yang dikenali sebagai Bab al-Aziziya.
Semasa para pemberontak itu memburu Gaddafi, para pemimpin mereka mula bergerak ke Tripoli untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.
Semasa enam bulan peperangan saudara berlaku di Libya, para pemimpin pemberontak telah mewujudkan pentadbiran sementara yang dikenali sebagai Majlis Peralihan Kebangsaan di bandar Benghazi yang dikuasai mereka.

BEBERAPA pemberontak yang cedera dalam pertempuran dengan tentera Muammar Gaddafi terbaring di atas sebuah trak di pekarangan Bab Al-Aziziya, Tripoli.


"Anggota-anggota majlis itu kini bergerak seorang demi seorang dari Benghazi ke Tripoli," kata Duta baharu Libya ke Perancis, Mansour Seyf al-Nasr.
Beliau berkata, Tripoli adalah selamat dan para pemberontak memeriksa semua kawasan.
Timbalan ketua pemberontak, Mahmoud Jibril menemui Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy semalam.
Sarkozy merupakan penyokong kuat pemberontak bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron. - Agensi
-kosmo

Akhirnya Cheryl Chew Memeluk Islam




SESUNGGUHNYA hidayah itu datangnya mutlak dari Allah SWT. Berita gembira buat kita semua dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini apabila Ketua Wanita KEADILAN Bukit Gelugor, Cheryl Chew memeluk Islam petang semalam.

Beliau melafazkan kalimah Syahadah pada pukul 3.00 petang semalam di pejabat JIM Bukit Malawati. Dimaklumkan bahawa beliau kini menggunakan nama Huda Chew.


Antara rakan-rakan Cheryl yang menitiskan air mata kegembiraan dengan keislaman beliau. Dimaklumkan juga bahawa beliau menerima banyak hadiah berupa tafsir Al-Quran dan buku-buku agama dari rakan-rakan terdekat.

Difahamkan, sebelum ini Cheryl telah mula berpuasa dan mendalami Islam secara berperingkat sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam di dalam hari yang bersejarah semalam.


Baca seterusnya disini

Wednesday, August 24, 2011

Ibu dituduh bunuh bayi sendiri



MARSUZANA Che Muda (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 23 Ogos - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan pada hujung tahun lalu.
Marsuzana Che Muda, 32, didakwa membunuh Alia Miazara Mohd. Azim di rumahnya di Kampung Gaal Tengah, Pasir Puteh di sini antara pukul 4.30 pagi dan 5.30 pagi, 12 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin sementara peguam bela, Mohd. Zawahid Ya dan Nor Erini Mustafa Kamal mewakili Marsuzana.
Hakim Azman Abdullah menetapkan 16 Oktober untuk perbicaraan terhadap wanita tersebut yang tidak dibenarkan ikat jamin kerana pertuduhan melibatkan hukuman mati.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang wanita telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kematian bayi perempuannya setelah tidak sedarkan diri dalam pangkuannya.
Kejadian itu disedari bapa wanita berkenaan, Che Muda Salleh, 60, yang tiba-tiba mendengar jeritan anaknya itu semasa di rumahnya, kira-kira pukul 6 pagi.
Bayi malang itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.-utusan

Aktor lagak ngeri maut




Green berdiri di atas sebuah pesawat ringan ketika membuat percubaan untuk berpaut ke atas sebuah helikopter yang berada di atasnya dalam satu aksi lagak ngeri semasa pertunjukan udara di Selfridge, dekat Detroit pada 21 Ogos lalu. – REUTERS


DETROIT 23 Ogos – Seorang pelakon lagak ngeri veteran Amerika Syarikat (AS), maut selepas terjatuh semasa melakukan pertunjukan udara, ketika penonton menyangka kemalangan itu sebahagian daripada aksinya.
Todd Green, 48, jatuh daripada ketinggian 61 meter dan kemalangan itu berlaku kerana kesilapan ketika melakukan aksi dalam pertunjukan udara.
Beberapa keping gambar aksi mengerikan itu menunjukkan Green yang merupakan bapa kepada dua orang anak, cuba berpaut pada sebuah helikopter yang berlegar-legar di atas sebuah pesawat ringan, sebagai sebahagian daripada aksi lagak ngeri itu.
Pegawai pertunjukan udara berkata, Green, cuba berpaut pada helikopter jenis Stearman di Pangkalan Udara Pengawal Kebangsaan di Harrison Township, melalui dua percubaan, dan dia terjatuh semasa percubaan kali ketiga.
Sebaik-baik sahaja Green mencapai besi pendaratan helikopter terbabit, dia tergelincir dan terjatuh, sekali gus menyebabkan dia maut.
Kebanyakan 75,000 penonton yang hadir pada pertunjukan udara itu di Selfrigde, dekat Detroit, Michigan, menyangka babak ngeri itu merupakan sebahagian pertunjukan terbabit dengan sebuah patung dibuang ke tanah.
Bagaimanapun, penonton mula menyedari ‘aksi tersebut’ merupakan satu kemalangan apabila melihat krew bantuan kecemasan bergegas ke arah mangsa kemalangan itu yang mengalami kecederaan.
Sebuah ambulans membawa Green ke Pusat Perubatan Wilayah Mount Clemens, namun pelakon itu, meninggal dunia akibat kecederaan teruk.
Sejurus sebelum Green terjatuh, juruhebah memaklumkan kepada penonton bahawa keadaan angin boleh menyebabkan masalah dan mengingatkan mereka mengenai bahaya aksi yang bakal dilakukan oleh Green.
Green, berkecimpung dalam aksi lagak ngeri lebih 25 tahun dan merupakan anak kepada legenda aksi lagak ngeri AS, Eddie ‘The Grip’ Green, yang juga pernah beberapa kali melakukan aksi ngeri berpindah dari pesawat ke helikopter.
Kematian Green merupakan kejadian kali kedua membabitkan tragedi pertunjukan udara di AS selepas juruterbang lagak negeri, Bryan Jensen maut apabila pesawatnya terhempas semasa mengadakan pertunjukan udara di Kansas City. – AGENSI-utusan

Gaddafi masih di Tripoli

MOSCOW 24 Ogos – Presiden Persekutuan Catur Sedunia (FIDE), Kirsan Ilyumzhinov berkata, pemimpin Libya, Muammar Gaddafi memberitahunya menerusi telefon bahawa beliau masih berada di Tripoli.
Gaddafi memaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan baik dan tidak merancang untuk meninggalkan bandar itu, katanya.
Ilyumzhinov yang pernah melawat Libya dan bertemu Gaddafi pada Jun lalu ketika kempen pengeboman oleh Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang dijalankan berkata, anak lelaki sulung pemimpin itu, Mohammed Gaddafi, menghubunginya melalui telefon pada pukul 6 petang waktu tempatan semalam (10 malam tadi waktu Malaysia).
“Dia (Mohammed) menyerahkan telefon itu kepada bapanya (Gaddafi), dan Gaddafi kemudian memberitahu bahawa dia masih lagi berada di Tripoli, masih hidup dan sihat dan sudah bersiap sedia untuk berjuang sehingga ke akhir,” kata Ilyumzhinov kepada Reuters-utusan

Pemberontak tawan kubu Bab al-Aziziya

TRIPOLI 23 Ogos – Kumpulan pemberontak berjaya menawan kubu kuat pemimpin Libya di Bab al-Aziziya dan ibu pejabatnya di Tripoli hari ini selepas melakukan serangan bertubi-tubi, kata koresponden AFP.
Tentera bertahan di dalam kubu tersebut telah melarikan diri dan setakat ini tiada berita lokasi Muammar Gaddafi setelah pemberontak memecahkan pertahanan Gaddafi.
“Kumpulan pemberontak berjaya memecah masuk kawasan yang dikelilingi pagar simen.
“Mereka telah berjaya menawam Bab al-Aziziya sepenuhnya. Semuanya telah tamat,” kata koresponden tersebut.
Sebelum itu, jurucakap pemberontak, Kolonel Ahmed Omar Bani berkata, mereka telah mengepung Bab al-Aziziya.
“Berlaku pertempuran hebat di dalam kawasan itu. Kami kini menguasai pintu masuk barat kubu tersebut,” katanya.
Selama beberapa jam pertempuran di kawasan tengah Tripoli itu berlangsung, ia merupakan yang paling sengit dengan bunyi letupan paling kuat sejak kumpulan pemberontak tiba di sana tiga hari lalu.
Terdahulu AGENSI melaporkan, pertempuran antara pemberontak dan tentera kerajaan yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terus berlaku hari ini, kira-kira 80 kilometer di barat Tripoli, lapor pemberontak.
Ia tercetus di sekitar bandar al-Ajaylat, lokasi demonstrasi pro-Gaddafi diadakan baru-baru ini.
Tentera kerajaan terpaksa bertahan di beberapa kawasan di bandar ini, namun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terus membedil kira-kira 40 sasaran di Tripoli dalam tempoh 48 jam, pengeboman paling dahsyat sejak kempen serangan udara bermula lebih lima bulan lalu.-utusan

Gaddafi diburu




Beberapa orang anggota kumpulan pemberontak bersiap sedia di pinggir Tripoli, untuk memasuki ibu negara Libya itu, kelmarin. – AP


TRIPOLI 23 Ogos – Pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak bagi menguasai ibu negara ini hari ini bertukar menjadi pemburuan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dengan kawasan yang dikuasai tentera kerajaan semakin berkurangan.
Lokasi pemimpin itu berada, masih tidak diketahui sehingga kini selepas beliau tidak lagi dilihat di khalayak ramai selama beberapa bulan.
Ucapannya kepada para penyokongnya, baru-baru ini juga dibuat hanya menggunakan panggilan telefon.
Seorang pegawai di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Feltman berkata, Washington tidak tahu lokasi sebenar Gaddafi, tetapi jurucakap Pentagon, Kolonel Dave Lapan berkata, pegawai-pegawai AS percaya pemimpin Libya itu masih berada di Libya.
“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat yang menyatakan beliau telah meninggalkan negara itu,” kata Lapan. – AGENSI, utusan

10 keluarga hilang tempat tinggal


Anggota bomba memadam sisa kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah di Kampung Karamunting Baru, Sandakan awal pagi semalam.



SANDAKAN 23 Ogos - Sebanyak 10 buah keluarga tidak menyangka mereka bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dalam suasana sayu apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Karamunting Baru di sini awal pagi ini.
Kebakaran yang berlaku pukul 3 pagi itu memusnahkan tujuh buah rumah, sebuah kedai runcit, sebuah kereta dan sebuah motosikal.
Salah seorang mangsa, Osman Mansor, 37, berkata, dia yang sedang tidur ketika itu dikejutkan dengan bunyi letupan yang agak kuat sebelum mengejutkan isteri serta ahli keluarga lain.
Katanya, mereka sekeluarga bergegas keluar dari rumah apabila mendapati api marak di bahagian tengah rumah.
"Saya bersama bapa mertua serta beberapa anggota keluarga lain berjaya menyelamatkan dua buah kereta milik keluarga, tetapi sebuah kereta dan sebuah motosikal tidak dapat diselamatkan kerana api merebak pantas," katanya di sini hari ini.
Osman yang tidak sempat bersahur pagi tadi berkata, segala persiapan hari raya yang telah dibuat ahli keluarganya juga musnah dijilat api dan ia satu cubaan besar besar menjelang hari raya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran, Talib Egasa, 80, berkata, sewaktu kejadian itu berlaku, dia bersama isterinya, Aishah Kulang, 38, sedang makan sahur.
"Saya serta isteri mendengar laungan kuat daripada orang ramai yang mengatakan ada kebakaran. Lalu saya dan isteri bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Sandakan, Jumishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 3.29 pagi dan sebanyak tiga buah jentera bomba bersama 15 anggota ditugaskan untuk memadam kebakaran tersebut.
"Api dapat dikawal dalam tempoh sejam dan padam sepenuhnya pada pukul 6.52 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih disiasat," katanya.-utusan