Pages

Saturday, January 22, 2011

Taliban nafi Mullah Omar sakit jantung





2011/01/22

KABUL: Taliban menafikan dakwaan bahawa pemimpinnya, Mullah Omar diserang penyakit jantung dan dirawat di Pakistan. 

Laporan itu juga memberitahu bahawa pemimpin itu sihat dan berada dalam keadaan baik.
Akhbar Washington Post, Selasa lalu memetik rangkaian perisikan swasta memberitahu militan bermata satu itu dirawat di hospital di Karachi di mana beliau dibawa pihak agensi Perkhidmatan Antara Perisikan Pakistan (ISI).
Bagaimanapun, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahib memberitahu AFP, pemimpin mereka masih menjalankan kegiatan jihad di Afghanistan. 

“Pemimpin agung, Mullah Mohammad Omar berada dalam keadaan sihat dan baik. Kini meneruskan usaha jihad di Afghanistan. Berita dalam media yang beliau kini berada di Karachi untuk menjalani pembedahan jantung adalah khabar angin direka pihak musuh,” katanya. 

Di Kuala Lumpur, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia turut menafikan berita itu kerana ia dibuat tanpa sebarang bukti. 

Jurucakapnya, Omar Bashir, berkata berita itu tidak benar dan ia boleh menjejaskan usaha Pakistan memerangi pengganas. – AFP 

Macam-macam: Hubungi 911 teman lelaki enggan melamar






2011/01/22

CHICAGO: Seorang wanita di bandar raya ini menghubungi talian kecemasan 911 selepas teman lelakinya enggan melamar dan mengahwininya. 

Pegawai kanan polis, Kapten Ronald Pontecore berkata, Ana Perez pada mulanya mendakwa teman lelakinya memukulnya, tetapi menukar cerita sebaik polis tiba.“Dia menghubungi 911 untuk menakutkan teman lelakinya dan memanggil polis bagi memaksa dia mengahwininya,” katanya. – Agensi

Gadis temui ibu kandung lepas 23 tahun terpisah


NEW YORK: Seorang gadis menemui ibu kandungnya selepas 23 tahun dilarikan daripada wad bayi di sini.
Akhbar di New York semalam menyiarkan gambar Carlina White bersama ibu bapa kandungnya dan kisah luar biasa pertemuan mereka.

Carlina dilarikan daripada sebuah hospital di Harlem ketika berusia 19 hari dan dibesarkan di Connecticut oleh seorang wanita yang mendakwa ibunya. Sepanjang zaman kanak-kanaknya, Carlina sentiasa tertanya-tanya sama ada wanita yang menagih dadah itu adalah ibu kandungnya kerana dia sering dipukul. Kemudian pada perayaan Krismas lalu, dia menghubungi Unit Kanak-Kanak Hilang di Pusat Kebangsaan dan memberitahu: “Saya rasa saya tidak tahu siapa diri saya sebenarnya.” Pegawai penyiasat kemudian membuat perbandingan kes kanak-kanak hilang pada 1987 yang belum selesai dengan Carlina. Selepas ujian DNA dilakukan, dia dan keluarga kandungnya disatukan semula. - AFP

Debaran berakhir



SEMOGA BAHAGIA...Zaquan mengaminkan doa selepas majlis akad nikah.
SEMOGA BAHAGIA...Zaquan mengaminkan doa selepas majlis akad nikah.

SERASI...Zaquan dan Ayu Raudhah sah menjadi suami isteri selepas bertunang pada 17 Oktober lalu.
SERASI...Zaquan dan Ayu Raudhah sah menjadi suami isteri selepas bertunang pada 17 Oktober lalu.

ALOR SETAR: “Saya rasa debaran ini tak sehebat apabila menjaringkan gol kerana ia satu kepuasan, tetapi hari ini (pernikahan ini) membuatkan saya sungguh berdebar-debar.
“Hari ini (semalam) saya rasa sangat berdebar kerana hari yang saya tunggu-tunggu sudah tiba dan kini saya sah menjadi suami.

“Ia satu tanggungjawab yang berat terpaksa saya pikul. Insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab ini dengan baik. Alhamdulillah semuanya sudah selamat,” kata pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, 24, selepas sah menjadi suami kepada pelakon popular Raudhah Che Wan atau Ayu Raudhah, 27, dalam majlis pernikahan di Masjid Sultanah Bahiyah, di sini, semalam.
Dengan sekali lafaz, pasangan itu dinikahkan imam masjid berkenaan, Mustafa Kamil Abdul Jamil, dengan mas kahwin RM1,888 pada jam 3.45 petang. Kedua-dua pengantin kelihatan anggun mengenakan busana berwarna krim rekaan Man Kajang pada majlis akad nikah yang dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan.

Abang Ayu Raudhah, Roshidi Che Wan menjadi wali dengan mewakilkan imam masjid itu. Pasangan itu turut merahsiakan wang hantaran dengan alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk.

Mohd Zaquan Adha yang dilihat menitiskan air mata selepas majlis pernikahan itu berkata, dia bersyukur kerana majlis pernikahan bersama Ayu Raudhah berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Beliau berkata, dia sungguh terharu dan gembira kerana semua adik beradiknya termasuk ibu bapa hadir menyaksikan hari bersejarah itu, malah abang kembarnya, Mohd Aidil Zafuan turut serta dalam rombongan pengantin ke negeri ini.

Ayu Raudah yang kelihatan berseri-seri tersipu malu apabila ditanya bila akan menimang cahaya mata, beliau berkata, ia terpulang kepada rezeki dan tidak merancang bahkan sedia mendapat zuriat dalam tempoh terdekat ini.
“Kalau ada rezeki kami terima...kalau cepat pun tak apa. Kami juga belum merancang untuk berbulan madu kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya,” katanya.

“Insya-Allah kalau dua-dua dapat cuti panjang baru kami terfikir nak pergi berbulan madu di destinasi mana,” katanya.

Pasangan popular itu menjalinkan hubungan cinta lebih setahun sebelum mengambil keputusan untuk bertunang pada 17 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Aidil Zafuan yang ditemui berkata, dia berharap adik kembarnya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami yang baik.

“Dia kena ingat dia bukannya bujang lagi dan perlu bertanggungjawab. Saya mendoakan pasangan ini bahagia dan kekal ke akhir hayat,” katanya.

Turut kelihatan pada majlis itu kakak Ayu Raudhah yang juga pelakon cantik Rozita Che Wan dan abang iparnya, Mazlan Pet Pet. Majlis bersanding pihak lelaki akan diadakan di Pusat Dakwah Paroi, Seremban pada 30 Januari ini.

Petanda rindu ibu



KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut  akibat tersedak bubur nasi.
KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut akibat tersedak bubur nasi.

PUCHONG: Rasa rindu seorang ibu untuk melihat bayi perempuannya yang ditinggalkan bersama pengasuh berhampiran rumahnya di Taman Putra Perdana di sini, bertukar pilu, apabila dimaklumkan bayinya itu meninggal dunia akibat tercekik bubur nasi.
Ketika menerima berita kejadian menyayat hati itu, dia masih dalam perjalanan pulang untuk mengambil anak bongsunya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Selasa lalu, ibu berkenaan, Nor Jam’atul Mohd Nordin, 31, pulang awal ke rumah untuk mengambil anak bongsunya, Nur Shazwani Izni Mazlan berusia lima bulan kerana berasa terlalu rindu untuk memeluk dan menciumnya.
Menurutnya, pada kebiasaannya, dia pulang kira-kira jam 7.40 malam, namun pada hari kematian anaknya, dia mengambil keputusan untuk pulang awal kerana perasaan rindu terhadap anaknya itu terlalu kuat.

“Saya tidak menyangka perasaan rindu kepada anak bongsu pada hari kejadian terpaksa saya tanggung buat selama-lamanya apabila dia kini sudah tiada.

“Lebih menyedihkan saya tidak dapat bersama ketika saat akhirnya, malah tidak menyangka anak saya maut akibat makanan yang diberikan,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia selepas pengasuhnya menyuapkan bubur nasi menggunakan botol susu sebelum meninggalkan mangsa bersama dua bayi lain yang turut dijaganya.

Mangsa dipercayai tercekik bubur berkenaan.
Menceritakan kejadian itu, ibu malang terbabit berkata, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Shah Alam, tiba-tiba pengasuh anaknya menelefon memaklumkan anak bongsunya itu mengalami kesukaran bernafas akibat tercekik selepas disuapkan bubur nasi menggunakan botol susu.

“Saya mengarahkan agar membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun, pengasuh berkenaan menghantar anak saya ke klinik berdekatan dan doktor yang merawatnya mengesahkan anak sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, selepas disahkan meninggal dunia, dia menghantar jenazah anaknya ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Meranti, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Baharuddin Ayob ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

The World ‘ditelan laut’


PROJEK BERMASALAH ...kedudukan The World dilihat dari udara.
PROJEK BERMASALAH ...kedudukan The World dilihat dari udara.

DUBAI: Deretan pulau buatan manusia yang membentuk corak seperti peta dunia - dikenali sebagai projek mewah The World - kini dilaporkan berdepan dengan ancaman kemusnahan.
Berdasarkan keterangan saksi di sebuah tribunal hartanah, pulau buatan manusia terletak empat kilometer di luar pantai Dubai itu dikatakan mula tenggelam ke dalam laut.

Pulau itu dibangunkan untuk menempatkan villa mewah dan kompleks hotel khusus untuk golongan jutawan.

Ia hanya boleh dimasuki menggunakan perahu layar atau bot.

Peguam Britain yang mewakili syarikat Penguin Marine, Richard Wilmot-Smith, berkata pasir yang dijadikan pulau itu semakin terhakis, manakala terusan di antaranya semakin berkeladak.

“Pulau itu mendap perlahan-lahan akibat hakisan,” katanya di depan hakim.
Penguin Marine mengemukakan saman ke atas konglomerat milik kerajaan Dubai, Nakheel, terpaksa diselamatkan akibat bebanan hutang melampau - dianggarkan bernilai RM76.5 bilion pada akhir 2009.

Ekoran penstrukturan semula syarikat itu, sebuah tribunal ditubuhkan bagi mengendalikan sebarang kes berkaitan dengannya.
Sebelum masalah kewangan muncul, hanya satu daripada pulau buatan manusia itu belum lagi dibangunkan dengan sebarang projek.

Bagaimanapun, ketika ini kebanyakan projek pembangunan terbengkalai akibat krisis kewangan.

Kebanyakan pelabur yang membeli pulau itu akhirnya enggan atau tidak mampu meneruskan pembangunan apabila harga hartanah Dubai menjunam ekoran masalah berkenaan.

Seorang daripada pemiliknya, John O’Dolan, membunuh diri kerana kerugian, manakala seorang lagi dipenjara tujuh tahun kerana mengeluarkan cek tendang. -

Seludup dadah ke penjara guna merpati




SEORANG anggota polis melihat paket yang mengandungi dadah ganja pada tubuh seekor burung merpati di luar


BUCARAMANGA, Colombia - Pihak berkuasa Colombia menangkap seekor burung merpati yang membawa dadah untuk diseludup ke dalam sebuah penjara, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Seekor burung merpati yang membawa dadah seberat 0.05 kilogram itu terbang menuju ke arah sebuah penjara namun ia telah ditangkap oleh dua orang anggota polis selepas mereka melihat ia berada di tanah dan seolah-olah memerlukan pertolongan.
Burung itu jatuh kerana paket dadah ganja yang diikat pada tubuhnya itu terlalu berat untuk dibawa terbang.
"Ini merupakan kes terbaru dalam jenayah licik. Mereka cuba menyeludup dadah ke dalam penjara dengan menggunakan burung merpati terlatih," kata Ketua Polis Burcaramanga, Jose Angel Mendoza.
Geng dadah Columbia sering menggunakan pelbagai taktik pelik untuk melakukan jenayah termasuk mengguna burung kakak tua terlatih sebagai pengintip. - Agensi

Dua bangkai makhluk misteri ditemui




SATU bangkai tanpa kepala yang ditemui di di pantai Shadmoor State Park, Montauk, Long Island, New York pada Ahad lalu.


NEW YORK - Dua bangkai makhluk ganjil dijumpai di pantai Shadmoor State Park, Montauk di Long Island dan Pelabuhan Three Mile, New York pada Ahad lalu, lapor akhbar The East Hampton Starsemalam.
Seorang lelaki, Arthur Beckenstein menemui bangkai seperti seekor anjing yang besar, rusa atau anjing laut di tepi pantai Shadmoor State Park.
"Saya yakin terdapat penerangan logik tentang apakah binatang yang saya temui ini.
"Pada awalnya, saya ingat ia bangkai seekor anjing yang besar, rusa atau anjing laut. Ukuran tulang rusuknya ialah sepanjang 61 hingga 76.2 sentimeter. Bentuk tulang belakangnya kelihatan seperti buaya sedangkan tiada reptilia besar hidup di kawasan ini," katanya.
Menurut akhbar itu, penemuan itu menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan makhluk asing atau hasil eksperimen pentadbiran Amerika Syarikat (AS).
Pada jarak sejauh 32 kilometer dari pantai itu, Eileen Murphy dan Jane Bimson terjumpa satu bangkai haiwan tanpa kepala yang mempunyai tulang rusuk serta ekor seperti ikan duyung.
Mereka kemudian merakamkan dua keping gambar dan menghantarnya ke Yayasan Penyelidikan dan Pemuliharaan Marin Riverhead.
Pakar biologi dari yayasan itu, Kim Durham menyatakan dia tidak dapat mengenal pasti makhluk tersebut dan memerlukan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Namun, apabila mereka kembali ke lokasi sama pada keesokan harinya, bangkai itu telah hilang.
Kedua-dua bangkai itu ditemui tanpa kepala. - Agensi

Ferrari bekas Presiden Tunisia dicuri





GAMBAR fail menunjukkan Zine El Abidine Ben Ali dan isterinya dalam satu kempen pilihan raya presiden di Tunis pada 11 Oktober 2009.



TUNIS - Sebuah kereta mewah Ferrari 599 GBB Fiorano bernilai AS$199,189 (RM610,514) milik bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dicuri dengan menggunakan sebuah forklift, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang pencuri yang mengendalikan forklift itu sempat tersenyum ketika membawa kereta curi tersebut di lebuh raya pada waktu tengah hari.
Imej kereta sport itu dicuri boleh dilihat di laman YouTube.
Isteri bekas presiden itu, Leila Trabelsi yang berusia 53 tahun dikenali kerana sangat menyukai kereta-kereta mewah.
Keluarganya dikatakan memiliki lebih 50 buah kereta yang disifatkan sebagai simbol penting perbuatan rasuah.
Digelar sebagai Imelda Marcos dunia Arab, bekas pendandan rambut itu juga memiliki banyak rumah mewah dan sering membeli-belah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan menghabiskan ratusan ribu dolar.
Sejak Zine El Abidine melarikan diri dan tinggal dalam buangan di Arab Saudi, keadaan di bandar Tunis, Tunisia masih belum aman sepenuhnya.
Para penunjuk perasaan dilihat mencium anggota tentera dan meletakkan bunga di atas kereta-kereta kebal selepas Zine El Abidine melarikan diri pada minggu lalu.
Pentadbiran baru yang dipimpin oleh presiden sementara, Fouad Mbazaa menjauhkan dirinya daripada rejim Zine El Abidine dan mula membebaskan 1,800 banduan.
Selepas Zine El Abidine meletakkan jawatan dan melarikan diri itu, Tunisia mengumumkan aset-aset yang dimiliki oleh bekas presiden tersebut akan disiasat.


IMEJ di YouTube menunjukkan sebuah forklift mengangkut kereta Ferrari milik bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali.



Sebelum ini isteri Zine dilaporkan membawa jongkong-jongkong emas bernilai AS$55.7 juta (RM171 juta) yang diperolehi dari Bank Negara Tunisia semasa melarikan diri.
Selain itu, para pegawai-pegawai pemerintah turut dikatakan telah menyimpan hampir AS$618 juta (RM1.89 bilion) di dalam akaun-akaun rahsia di bank Switzerland.
Walaupun Zine El Abidine yang berkuasa selama 23 tahun itu telah tumbang, penunjuk perasaan menuntut rakan-rakan presiden tersebut supaya melepaskan jawatan.
Zine meletakkan jawatan dan melarikan diri selepas sejumlah penunjuk perasaan mendesaknya berbuat demikian ekoran masalah pengangguran, rasuah dan sekatan kebebasan bersuara di negaranya. - Agensi

Komando serbu kapal ditawan




ANGGOTA-ANGGOTA komando Korea Selatan melakukan persediaan menyerang lanun-lanun di atas sebuah kapal kontena di Lautan Hindi semalam.


SEOUL - Pasukan komando tentera laut Korea Selatan, SEAL menyerbu sebuah kapal milik negara itu yang dirampas oleh lanun Somalia di Lautan Hindi dan menyelamatkan semua 21 orang anak kapal, membunuh lapan orang lanun serta menangkap lima lanun yang lain.
"Operasi ini membuktikan kesungguhan bahawa pemerintah tidak akan bertolak-ansur dengan aktiviti-aktiviti lanun," jelas Ketua Turus Angkatan Tentera Korea Selatan, Leftenan Jeneral Lee Sung-Ho.
Seorang kakitangan kapal pengangkut bahan kimia warga Korea Selatan terkena tembakan di bahagian perut, namun keadaannya tidak membimbangkan.
Tiada komando yang cedera dalam operasi tersebut.
Operasi yang berlaku pada jarak sejauh 1,300 kilometer dari utara Somalia dilihat sebagai pemberi semangat kepada tentera Korea Selatan.
BEBERAPA anggota komando Korea Selatan merampas bot yang digunakan lanun Somalia.


Tentera itu sebelum ini dikritik hebat kerana dikatakan lambat bertindak atas serangan Korea Utara pada November lalu.
Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak menyatakan pasukan komando telah menjalankan tugas yang sempurna walaupun berdepan kesukaran.
Kumpulan lanun tersebut telah merampas kapal seberat 11,500 tan pada 15 Januari lalu di Laut Arab.
Kapal itu dalam pelayaran ke Sri Lanka dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Kapal itu membawa 21 orang anak kapal terdiri daripada lapan orang warga Korea Selatan, dua rakyat Indonesia dan 11 dari Myanmar.
Pemerintah Korea mengarahkan sebuah kapal pemusnah untuk mengejar kapal yang dirampas lanun itu sebelum ini. - AFP

Keluarga Aceh kurung wanita mental 20 tahun


JAKARTA 21 Jan. - Seorang wanita yang mengalami gangguan mental dikurung dan dirantai selama 20 tahun di dalam sebuah bilik kecil di Aceh oleh keluarganya.
Wanita bernama Butet, 41, telah dikurung sejak 1990, sementara adik lelakinya, Janter turut mengalami penderitaan yang sama selama 15 tahun, kata ibunya, Bungani Boru Saragih Munthe.
Butet, yang tinggal bersama ibu saudaranya sejak kecil membesar sebagai gadis normal, tetapi mula menunjukkan tanda-tanda menderita akibat masalah mental ketika menuntut di sekolah menengah.
Dia berada di bawah tekanan kerana kerana ibu saudaranya sering melayannya dengan teruk, kata ibunya yang dipetik sebagai berkata oleh Tribunenews.com, kelmarin.
Selepas menamatkan persekolahannya, dia tidak mendapat pekerjaan dan berhijrah ke Jakarta untuk mencuba nasibnya.
Bagaimanapun, dia tetap tidak mendapat sebarang pekerjaan, malah masalah mentalnya menjadi semakin teruk dan dia dihantar untuk tinggal bersama keluarganya di Kutacane.
Ibunya berkata bahawa Butet kerap kali mencuri barang-barang milik jirannya dan bertindak ganas.
Selepas laporan dibuat oleh jiran-jirannya, seorang pegawai tentera memaksa bapa Butet, Samsudin Purba untuk mengurungnya.
Dia kemudiannya dikurung di dalam sebuah bilik berukuran empat kali empat meter dibelakang rumahnya.
"Sekurang-kurangnya dengan cara ini saya dapat melihat anak saya mati di depan mata, daripada mereka dibunuh oleh orang di luar sana," kata ibunya ketika ditanya mengapa dia mengurung anaknya. - AGENSI
-utusan

Bapa, ibu tiri didakwa bunuh Qistina





NORAFIZAN Ludin (kiri) dan Dewi Nadia Alias (belakang) didakwa membunuh dan mendera kanak-kanak berumur tiga tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 21 Jan. - Bapa kepada Nor Dania Qistina Norafizan, 3, kanak-kanak malang yang meninggal dunia awal bulan ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bersama isterinya atas tuduhan membunuh mangsa dan mendera dua adik-beradiknya.
Norafizan Ludin, 30, dan Dewi Nadia Alias, 25, yang juga ibu tiri Nor Dania Qistina didakwa membunuh mangsa di rumah beralamat 1284-6, Jalan Tengku Mariam, Batu 17 1/2 Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini di antara pukul 9 pagi pada 8 Januari dan 9 pagi keesokan harinya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Norafizan yang memakai baju kemeja putih dan Dewi Nadia yang berbaju kurung warna sama.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mendera kakak dan adik mangsa iaitu Nor Dania Batrisha, 5, dan Danish Irsyad, 1, di rumah yang sama dari Oktober tahun lalu hingga Januari ini.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan kedua tersebut.
Majistret Hafizah Johor Ariff Johor menetapkan 21 Februari ini sebutan semula kes bunuh tersebut dan 16 Ogos depan untuk perbicaraan kes dera dua beradik terbabit.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah juga tidak membenarkan pasangan tersebut diikat jamin kerana kes tersebut adalah kesalahan berat.
Utusan Malaysia pada 11 Januari lalu melaporkan kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dipercayai akibat didera dengan hampir keseluruhan tubuhnya penuh dengan 73 kesan lebam dan luka.
Bedah siasat yang dijalankan juga mendapati organ dalaman mangsa rosak teruk dan berdarah.
Kanak-kanak malang itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 pagi, 9 Januari lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Kakak dan adik mangsa juga dimasukkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat didera namun dibenarkan pulang Isnin lalu selepas lebih seminggu dirawat di sana.

Rampas semula kapal MT Bunga Laurel





KOMANDO TLDM (Paskal) mengawasi tujuh lanun Somalia yang ditahan selepas menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel daripada tawanan kumpulan lanun itu di perairan Teluk Aden, timur Oman, kelmarin.


KUALA LUMPUR 21 Jan. – Kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi terbukti apabila berjaya menyelamatkan sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman, semalam.
Misi menyelamat itu dilakukan bersama kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bunga Mas 5 yang terlibat dalam Operasi Fajar bagi memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel itu ketika melalui perairan Teluk Aden.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam tadi, kapal dagang yang disewa MISC Berhad itu telah ditawan sekumpulan tujuh lanun warga Somalia yang bersenjatakan senapang jenis AK-47 dan pistol.
Kumpulan lanun itu menaiki sampan yang diturunkan dari sebuah kapal induk membawa seramai 18 lanun untuk menyerang kapal dagang berkenaan yang membawa muatan minyak pelincir dan bahan kimia jenis ‘ethylene dichloride’ dari Asia Barat ke Singapura.
Seramai 23 krew kapal MT Bunga Laurel berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam misi menyelamat yang dilancarkan Pasukan Perlindungan Khas ATM itu.
Dalam kejadian itu juga, kesemua tujuh lanun berkenaan berjaya ditahan manakala tiga daripadanya cedera ketika berbalas tembakan dengan tentera ATM.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan di sini hari ini, rampasan itu berlaku selepas dua jam kapal MT Bunga Laurel dipisahkan di perairan selamat setelah diiringi Bunga Mas 5.
“Krew kapal MT Bunga Laurel sempat mengaktifkan sistem penggera keselamatan kapal sebelum bersembunyi di bilik keselamatan khas yang terletak berhampiran bilik jentera kapal.
“Bertindak daripada panggilan kecemasan itu, kapal Bunga Mas 5 yang berada 14 batu nautika (25.9 kilometer) dari MT Bunga Laurel bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu,” katanya.
Dalam operasi tersebut, sebuah helikopter jenis Fennec TLDM yang dilancarkan kapal bantuan Bunga Mas 5 melepaskan tembakan dari udara.
Menurut kenyataan itu lagi, tembakan tepat ke arah kapal induk lanun itu berjaya menghalangnya daripada memberi bantuan kepada kumpulan lanun yang berada atas kapal MT Bunga Laurel.
“Pasukan Perlindungan Khas ATM kemudian melancarkan operasi menggempur lanun itu pada pukul 1.20 pagi dan selepas berbalas tembakan, kesemua lanun itu berjaya ditahan manakala anak kapal itu diselamatkan,” jelas kenyataan itu.
Operasi Fajar yang bermula Julai tahun lalu berikutan insiden rampasan dua kapal tangki MISC 2008, memperlihatkan sokongan kuat kerajaan, ATM dan TLDM dalam menjaga kepentingan negara.
Kapal bantuan Bunga Mas 5 yang diubah suai daripada sebuah kapal kontena merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.
Dalam pada itu, kenyataan Kementerian Pertahanan memaklumkan, sebanyak 32 buah kapal dagang masih ditawan lanun di perairan Teluk Aden walaupun pelbagai usaha di peringkat antarabangsa dilakukan untuk menangani kegiatan lanun di perairan Teluk Aden itu.
Sementara itu, jurucakap TLDM ketika dihubungi memberitahu, semua 32 kapal yang ditawan lanun itu tidak melibatkan kapal dagang dari Malaysia.
Jurucakap itu berkata, kesemua 23 anak kapal Bunga Laurel termasuk beberapa warga Filipina yang diselamatkan tidak mengalami kecederaan dan akan dibawa pulang tidak lama lagi.
-utusan

Friday, January 21, 2011

Otak milik pendakwah



SEBERANG PRAI - Keinginan orang ramai untuk mengetahui pemilik sebenar otak manusia yang ditemui masih elok dalam liang lahad oleh dua penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Labu, Penaga di sini sembilan hari lalu akhirnya terjawab.

Selepas lebih seminggu menjalankan siasatan dan kajian sebaik kejadian aneh itu didedahkan pada 13 Januari lalu, otak yang ditemui timbul di permukaan air itu dipercayai milik seorang pendakwah dari Indonesia yang dikenali sebagai Tok Haji Hassan Acheh.

Beliau datang ke Tanah Melayu sekitar tahun 1870an untuk berdakwah dan tinggal berdekatan Mas­jid Permatang Tok Labu yang dahulunya adalah sebatang anak sungai yang menjadi laluan utama ketika itu.
Othman Hassan (gambar), 67, yang mengaku piut Allahyarham berkata, selepas bermastautin di sini kira-kira lima tahun, Tok Haji Hassan Acheh berpakat dengan seorang ulama tempatan, Tok Labu untuk membina masjid berdekatan anak sungai itu sebagai kemudahan pengguna berhenti rehat dan bersolat.

“Masjid berkenaan dibina daripada kayu hutan dan menjadi tumpuan pedagang sebelum diubah suai penduduk selepas beberapa tahun kemudian,” katanya.

Othman berkata, Tok Labu diangkat menjadi imam masjid manakala Tok Haji Hassan Acheh membantunya.

“Selepas kematian Tok Labu, beliau dilantik menjadi imam. Penduduk pernah mengesyorkan nama beliau diabadikan pada masjid itu tetapi Tok Haji hassan Acheh menolak," katanya.
Othman berkata, Tok Haji Hassan Acheh juga dikenali sebagai seorang yang rajin membaca al-Quran di samping mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

“Beliau berkahwin dengan penduduk tempatan dan mempunyai tiga anak. Sebelum meninggal dunia sekitar tahun 1940-an beliau dikatakan berwasiat agar dikebumikan bersebelahan masjid kerana ingin ‘melihat’ masjid itu terus diimarahkan sepanjang masa.
Othman berkata, beliau meminta maaf jika terdapat kesilapan dari segi fakta kerana beliau hanya menceritakan apa yang didengarinya daripada waris yang terdahulu.

Padang pasir dilitupi salji





2011/01/21

PENDUDUK mengambil kesempatan bermain salji  di Tabuk, utara     Arab Saudi.
PENDUDUK mengambil kesempatan bermain salji di Tabuk, utara Arab Saudi.


Amaran berjaga-jaga di Tabuk 

RIYADH: Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Tabuk, utara Arab Saudi berikutan salji turun sejak Isnin lalu di wilayah itu.
Pengarah jabatan itu di Tabuk, Sulaiman Al-Huwaiti, berkata rondaan keselamatan sudah dikerahkan di wilayah utara itu untuk memeriksa ketebalan salji.
Beliau menggesa pemandu kenderaan mematuhi had kelajuan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. 

Bulan Sabit Merah Arab Saudi juga sudah mengerahkan pasukannya ke kawasan bukit Allouz dan Alqan di wilayah itu yang jarang sekali ditimpa salji tebal. 

Tabuk mempunyai iklim padang pasir dengan musim panas yang bersuhu tinggi (27-46 celsius) dan musim sejuk yang bersuhu sederhana (4-18 celsius). 

Salji bukanlah asing di wilayah itu yang menyaksikannya turun setiap tiga atau empat tahun. 
Ketua Alam Sekitar dan Meteorologi berkata, suhu minimum di Tabuk diramal di bawah 0 darjah celsius. 

Sementara itu, di Riyadh, Kementerian Pendidikan Arab Saudi mengumumkan penutupan sekolah di ibu kota itu kelmarin berikutan hujan lebat sejak Selasa. 

Penduduk terus terkurung di dalam rumah masing-masing di ibu negara Riyadh, terutama di wilayah Timur, Tabuk, Assir dan Baha. 

Keadaan cuaca turut menjejaskan bekalan elektrik di beberapa kawasan. Syarikat elektrik terpaksa menutup bekalan kuasa untuk mengelakkan kemalangan maut. 

Pengarah kawalan di Jabatan Lalu lintas Riyadh, Mejar Hassan Al Hassan, berkata jabatan terbabit mencatatkan sejumlah 402 laporan kemalangan berikutan hujan lebat dan keadaan jarak pandangan yang rendah. 

Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan. 

Al Hassan berkata, bilik operasi jabatan terbabit menerima sejumlah 1,373 laporan meminta bantuan lalu lintas dan 613 panggilan untuk perkhidmatan umum. 

Beliau berkata, pengawal lalu lintas mendapati banjir di 60 lokasi sambil menambah bahawa pihak berkuasa perbandaran dimaklumkan untuk mengepam air keluar. – Agensi 

Bapa jaguh F1 terlupa lokasi kereta sport Ferrari miliknya




KERETA Ferrari milik John Button yang ditemui tidak jauh dari hotel penginapannya di Riveria, Itali baru-baru ini.


ROM, Itali - John Button, 65, yang merupakan bapa pelumba kereta Formula Satu (F1), Jenson Button (gambar) malu besar kerana dia lupa lokasi kereta Ferrari bernilai AS$239,397 (RM730,998) diletakkan, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada mulanya, dia membuat laporan polis bahawa keretanya itu telah hilang.
Dia memberitahu polis, kereta itu diletakkan di luar sebuah hotel di Riveria.
Namun, jurucakap polis berkata, kereta sport itu ditemui diletakkan berdekatan hotel tersebut tanpa mengalami sebarang kerosakan baru-baru ini.
"Namun, pada hari keesokannya, polis peronda kami telah menemui kenderaan itu yang terletak lebih kurang satu kilometer di tepi laut dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan pada kunci atau cermin depan kereta," kata seorang jurucakap polis.
Polis kemudian mengesyaki John terlupa lokasi kereta itu diletakkan.
Kereta itu dikembalikan kepada John selepas ia diangkut dengan menggunakan sebuah trak pengangkut. - Agensi

Wang simpanan rahsia suri rumah Jepun merosot



TOKYO - Satu kajian yang dikeluarkan semalam oleh sebuah syarikat insurans Jepun, Sompo Japan Insurance Inc. menunjukkan simpanan rahsia suri rumah di Jepun jatuh pada tahun lepas kerana mereka perlu mengimbangi pendapatan isi rumah.
Kajian itu mengatakan wang ringgit dan pelaburan suri rumah yang disimpan secara rahsia tanpa memberitahu suami mereka secara purata hanya sebanyak AS$37,520 (RM114,567) pada tahun lalu.
Angka itu merupakan paras yang terendah sejak 2007. Kajian itu melibatkan 500 orang suri rumah di seluruh negara dengan purata umur 39.7 tahun.
Simpanan tanpa memberitahu suami itu merupakan amalan biasa di Jepun.
Di Jepun, wanita yang telah berkahwin cenderung menjadi suri rumah untuk menjaga keperluan domestik keluarga dan mengambil sebahagian kecil gaji suami mereka sahaja.
Namun, ramai wanita yang ditemui dalam kajian itu menyatakan mereka menggunakan wang itu untuk membayar bil utiliti pada tahun lepas memandangkan pendapatan keluarga serta pemberian bonus jatuh kerana ekonomi Jepun terjejas. - AFP

Wanita tunjukkan ciri kewanitaan mudah naik pangkat



RICHMOND, Amerika Syarikat (AS) - Satu kajian yang dilakukan para penyelidik Universiti George Mason di Virginia mendapati wanita yang menunjukkan ciri-ciri kewanitaan mudah dinaikkan pangkat, lapor sebuah akhbar semalam.
Kajian itu melibatkan personaliti 80 orang remaja lelaki dan wanita selepas lapan tahun mereka belajar dalam bidang sarjana pentadbiran perniagaan di universiti tersebut.
Para penyelidik itu mendapati wanita yang lebih bersifat kewanitaan mudah dinaikkan pangkat berbanding wanita yang bersikap agresif.
Menurut kajian itu, pengurus wanita yang mengawal diri mereka dengan baik lebih mudah dinaikkan pangkat.
Kajian itu diterbitkan oleh jurnal British Psychological Society. - Agensi

Penari gelek menangis isu Perdana Menteri Itali



KARIMA EL MAHROUG


MILAN - Seorang penari gelek, Karima El Mahroug berusia 18 tahun menangis semasa dia diwawancara oleh sebuah stesen televisyen berhubung skandal seks Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang semakin 'panas', lapor sebuah akhbar semalam.
Karima membuat pengakuan dalam temu ramah itu bahawa Berlusconi tidak pernah menyentuhnya walaupun terdapat dakwaan bahawa dia pernah memberitahu seorang rakan bahawa mereka pernah melakukan hubungan seks.
Sebelum ini seorang rakan Karima, Caterina Pasquino berkata, penari gelek itu memberitahunya bahawa mereka makan bersama, menari dan melakukan hubungan seks selain menerima wang dengan nilai besar daripada Berlusconi.
Namun, dalam temu ramah itu, Karima tidak bermalam di rumah perdana menteri tersebut dan beliau dibantu tanpa Berlusconi meminta balasan.
Karima menangis semasa menegaskan bahawa dia bukannya seorang gadis teman sosial dan memberitahu dia dirogol oleh bapa saudaranya semasa berumur sembilan tahun.
"Semasa saya berumur 12 tahun, bapa saya menuangkan minyak panas pada tubuhnya apabila saya memberitahunya saya memeluk agama Kristian dan saya masih mempunyai parut di kepada dan bahu saya," kata Karima.
Dia turut menafikan meminta wang sebanyak lima juta euro (RM20.57 juta) daripada Berlusconi untuk menutup mulut berhubung skandalnya dengan perdana menteri tersebut.
Berlusconi kini disiasat berhubung skandal seksnya dengan Karima semasa dia berumur 17 tahun oleh pihak pendakwa raya Milan.
- Agensi

Katy Perry promosi siri jelajah di pejabat Facebook



MARK ZUCKERBERG dan Katy Perry bergambar di ibu pejabat Facebook di Palo Alto, California semalam.


LOS ANGELES – Penyanyi lagu Firework, Katy Perry melawat pejabat laman sosial popular Facebook dan berkesempatan bertemu dengan pengasasnya, Mark Zuckerberg, lapor sebuah akhbar semalam.
Perry, 25, melawat pejabat itu di Palo Alto semalam untuk muncul di video langsung Facebook Live bagi menghebahkan mengenai siri jelajah terbarunya.
Gambar yang dirakamkan antara Perry dan Zuckerberg di pejabat Facebook itu dimuat naik oleh pengguna laman sosial Twitter yang mengandungi mesej: “Ya, hanya lepak di pejabat Facebook bersama CEOnya (Ketua Pegawai Eksekutif). Saya suka dia (Zuckerberg).”
Ditanya mengapa menggunakan Facebook sebagai platform untuknya membuat pengumuman, sambil bergurau Perry memberitahu: “Facebook bagaikan sebuah kerajaan.”
Penyanyi itu yang mempunyai 17 juta peminat di Facebook bekerjasama dengan syarikat laman sosial itu untuk siri jelajah California Dreams di Amerika Syarikat dan Kanada pada 7 Jun ini. – Agensi