Pages

Saturday, January 22, 2011

Bapa, ibu tiri didakwa bunuh Qistina





NORAFIZAN Ludin (kiri) dan Dewi Nadia Alias (belakang) didakwa membunuh dan mendera kanak-kanak berumur tiga tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 21 Jan. - Bapa kepada Nor Dania Qistina Norafizan, 3, kanak-kanak malang yang meninggal dunia awal bulan ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bersama isterinya atas tuduhan membunuh mangsa dan mendera dua adik-beradiknya.
Norafizan Ludin, 30, dan Dewi Nadia Alias, 25, yang juga ibu tiri Nor Dania Qistina didakwa membunuh mangsa di rumah beralamat 1284-6, Jalan Tengku Mariam, Batu 17 1/2 Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini di antara pukul 9 pagi pada 8 Januari dan 9 pagi keesokan harinya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Norafizan yang memakai baju kemeja putih dan Dewi Nadia yang berbaju kurung warna sama.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mendera kakak dan adik mangsa iaitu Nor Dania Batrisha, 5, dan Danish Irsyad, 1, di rumah yang sama dari Oktober tahun lalu hingga Januari ini.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan kedua tersebut.
Majistret Hafizah Johor Ariff Johor menetapkan 21 Februari ini sebutan semula kes bunuh tersebut dan 16 Ogos depan untuk perbicaraan kes dera dua beradik terbabit.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah juga tidak membenarkan pasangan tersebut diikat jamin kerana kes tersebut adalah kesalahan berat.
Utusan Malaysia pada 11 Januari lalu melaporkan kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dipercayai akibat didera dengan hampir keseluruhan tubuhnya penuh dengan 73 kesan lebam dan luka.
Bedah siasat yang dijalankan juga mendapati organ dalaman mangsa rosak teruk dan berdarah.
Kanak-kanak malang itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 pagi, 9 Januari lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Kakak dan adik mangsa juga dimasukkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat didera namun dibenarkan pulang Isnin lalu selepas lebih seminggu dirawat di sana.

No comments: