Pages

Saturday, April 7, 2012

Kanak-kanak 10 tahun lahir bayi 2.3kg



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 April 2012
Kanak-kanak 10 tahun lahir bayi 2.3kg
BOGOTA - Ini berita yang amat mengejutkan! Di saat rakan-rakan sebayanya masih bermain dengan anak patung, seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun di Colombia telah pun menjadi ibu kepada bayi perempuan seberat 2.3 kilogram.

Kanak-kanak puak peribumi Wayuu, yang tinggal di Semenanjung La Guajira, utara Colombia itu, dikejarkan ke hospital selepas sakit perut kerana kontraksi dan terpaksa menjalani proses kelahiran secara pembedahan Caesarean.

Doktor berkata, kanak-kanak itu tiba di hospital dalam keadaan pendarahan serta meraung kesakitan kerana kontraksi yang dialaminya, malah usia kandungannya mencecah 39 minggu berbanding usia kandungan normal iaitu 38 minggu.

Pihak polis mungkin boleh mendakwa bapa ibu muda itu kerana membenarkan seks bawah umur, tetapi kaum Wayuu diberi beberapa perlindungan membenarkan mereka mengekalkan kedaulatan dan warisan budaya tertentu termasuk melahirkan anak di usia sangat muda.

Di samping itu, masyarakat masih membisu dalam mendedahkan identiti si bapa bayi itu walaupun akhbar-akhbar Colombia mengeluarkan spekulasi bahawa suspek merupakan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun, selain percaya ia seorang lelaki dewasa 30-an.

Bagaimanapun, kes tersebut mendapat kritikan hebat pengarah hospital di mana dia melahirkan bahawa memang ada kanak-kanak lain daripada kaum Wayuu pernah melahirkan anak, namun tindakan itu tidak sepatutnya berlaku dalam usia terlalu muda yang masih dalam alam permainan dan persekolahan.

Jet pejuang AS rempuh apartmen, 7 cedera

Jet AS
VIRGINIA BEACH - Tujuh orang termasuk dua juruterbang dari Naval Air Station Oceana, Amerika Syarikat (AS) cedera dalam nahas jet pejuang F/A-18 Hornet menjunam di kawasan apartmen di sini sebaik ia berlepas, semalam.

Jet dua tempat duduk itu dilaporkan mengalami masalah teknikal.

Lima daripada tujuh yang cedera merupakan mereka yang berada di lokasi kejadian.

Kedua-dua juruterbang berjaya menekan butang kecemasan untuk keluar dari pesawat sebelum ia merempuh apartmen dan hanya mengalami cedera ringan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba Virginia Beach, Kapten Tim Riley, kejadian yang membabitkan kira-kira 40 unit apartmen telah rosak atau musnah kerana disambar api.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mangsa nahas telah dibawa ke hospital untuk rawatan pesakit luar.

Sementara itu, menurut penduduk tempatan, ketika kejadian, mereka terdengar satu letupan kuat dan ternampak api berwarna merah dan jingga.

"Oh, saya mendengar tiga letupan benar-benar kuat dan asap hitam naik tinggi di langit," kata seorang warga emas, 71, Felissa Ezell, yang tinggal berhampiran lokasi kemalangan.

Dalam situasi cemas itu, dua lelaki berjaya membantu salah satu juruterbang yang berlumuran dan operasi mencari mangsa lain diteruskan sehingga lewat petang.

Pegawai Pemerintah Tentera AS, Kapten Mark Weisgerber berkata, sebelum berlepas, bahan api telah dikeluarkan daripada pesawat berkenaan dan kemalangan mungkin disebabkan oleh kegagalan juruterbang.

"Kami menganggap diri kami sangat bernasib baik," katanya.

Namun katanya, penyiasat akan memastikan apa yang berlaku kerana jet jatuh kurang 10 kilometer dari Oceana.

5 ditahan, remaja jual buah pinggang beli iPhone, iPad

Rakyat China beratur panjang untuk membeli iPhone 4S di Beijing. - Foto ihsan TIME
BEIJING - Lima ditahan di selatan China selepas seorang remaja menjual buah pinggang hanya kerana mahu memiliki iPhone dan iPad.

Antara yang ditahan termasuklah seorang pakar pembedahan yang mengeluarkan buah pinggang remaja itu pada April tahun lalu.

Laporan agensi berita Xinhua berkata, kumpulan itu menerima sekitar AS$35,000 (RM105,000) bagi proses transplan itu.

Remaja itu dilaporkan berhadapan dengan masalah kegagalan ginjal berfungsi.

Hanya dikenali dengan nama keluarga Wang, remaja itu dilaporkan menerima kira-kira AS$$3,000 (sekitar RM9,000) bagi buah pinggang yang didermakan.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran menerusi perbualan di ruang sembang-sembang atas talian.

Insiden itu dikesan oleh ibu remaja apabila menyedari anaknya menggunakan gadjet baru.

Apabila ditanya dari mana dia memperoleh duit, remaja itu dilaporkan mengakui telah menjual buah pinggangnya.

Kumpulan yang terlibat dalam pembedahan mengeluarkan buah pinggang dituduh memperdagangkan organ secara haram.

Kedua-dua iPhone dan iPad sangat popular di China tetapi harganya sangat mahal sehingga tidak mahu dimiliki oleh kebanyakan pekerja di kawasan bandar.

Pada masa yang sama China berhadapan dengan situasi kurangnya penderma organ.

Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 1.5 juta orang memerulkan transplan, tetapi hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun.

HATI MATI DISEBABKAN 10 PERKARA

1. Kamu beriman kepada Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hakNya.

2. Kamu membaca kitab Allah (Al-Quran), tetapi kamu tidak beramal dengannya.

3. Kamu tahu Iblis itu musuh kamu, tetapi kamu masih lagi mengambilnya sebagai sahabat.

4. Kamu mendakwa kamu mencintai Rasulullah s.a.w., tetapi kamu meninggalkan sunnah dan pesanannya.

5. Kamu beriman dan ingatkan Syurga, tetapi kamu tidak beramal untuk memperolehinya.

6. Kamu mengaku dan beriman serta takut kepada api Neraka, tetapi kamu masih lagi melakukan dosa.

7. Kamu percaya mati itu mesti berlaku, tetapi kamu tidak membuat persediaan untuk menghadapinya.

8. Kamu sentiasa mengambil tahu hal keburukan orang lain, tetapi kamu lupa untuk mengambil tahu hal-hal keburukan sendiri.

9. Kamu makan rezeki yang Allah bagi, tetapi kamu tidak pernah bersyukur.

10. Kamu sering menghantar orang mati ke kubur, tetapi kamu tidak pernah mengambil iktibar.

SUMBER: Najmie Kuantan

SEBARKAN...

"MAKANAN KEGEMARAN RASULULAH S.A.W"




1. Barli – Bagus untuk demam jika dibuat sup.

2. Kurma – Nabi berkata rumah yang tidak mempunyai kurma adalah sepert
rumah yang tidak ada makanan.

3. Buah Tin – Buah dari syurga. Boleh mengubati buasir.

4. Anggur – Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan
buah pinggang, membersihkan perut

5. Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman,
ubat segala ubat. Mengubati cirit birit jika dibancuh dengan air
panas, membuka selera, menguatkan perut, membuang kahak.
Elok diminun waktu pagi dengan air suam.

6. Tembikai (Segala Jenis) – Nabi berkata wanita mengandung tidak akan gagal
melahirkan anak yang baik dari segi karater dan wajahnya.

7. Susu – Nabi berkata susu baik untuk membuang panas badan seperti
tangan membuang peluh dari dahi. Menguatkan belakang,
memperbaiki otak memperbaharui pandangan mata, membuang
kelupaan.

8. Cendawan – Baik untuk mata, perancang keluarga.

9. Minyak Zaitun – Rawatan kulit dan rambut. Melambatkan penuaan, merawat
radang perut.

10. Delima – Membersihkan tubuh dari syaitan & bisikan syaitan selama 40 hari.

11. Cuka – Nabi selalu meminum dengan minyak zaitun (Trend yang popular
di restoran Itali)

12. Air – Minuman terbaik. Jika dahaga hendaklah disedut perlahan-lahan.
Jangan diteguk. Mudah mendapat sakit pada hati. ♥ ^___________^

SUMBER: Kami Peminat Ustaz Mohd Kazim Elias

Anak ‘ditawan’ dalam rumah


TERLANTAR...Norhayati yang cedera menerima rawatan di hospital.
TERLANTAR...Norhayati yang cedera menerima rawatan di hospital.


KAJANG: Seorang wanita yang pulang ke rumah selepas berniaga tidak menyedari anak perempuannya yang ditinggalkan seorang diri ditahan lelaki bertopeng bersenjatakan parang lebih sejam selepas memecah masuk rumah mangsa di Taman Semarak, di sini, kelmarin.
Mangsa mengetahui kejadian itu selepas perasan kelibat seorang lelaki berbadan besar melintas di belakangnya ketika mahu membuka langsir dan tingkap sebaik pulang ke rumah, jam 1.30 tengah hari.

Menurut mangsa, Norhayati Manap, 47, dia kemudian mengintai ke bahagian dapur untuk mencari anaknya dan tiba-tiba diacukan parang oleh seorang lelaki yang memberi arahan supaya tidak membuat bising.

“Saya ingatkan anak membawa kawan sebaliknya belum sempat bertanyakannya, lelaki bertopeng itu sudah mengacukan parang ke leher saya.

“Melihat tindakannya itu, saya cuba melawan dan mempertahankan diri menyebabkan kedua-dua tapak tangan saya ditetak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, dia menyedari cedera sebaik melihat darah membasahi baju dan menitis di lantai dapur selain terasa pedih di tapak tangan.


“Melihatkan keadaan saya yang lemah, lelaki itu melarikan diri menaiki motosikal bersama wang hasil perniagaan dan barang kemas yang disimpan dalam beg berniaga dianggarkan RM8,000,” katanya.

Katanya, sebaik lelaki terbabit melarikan diri, dia menggagahkan diri membuka pintu menggunakan siku sebelum menjerit meminta tolong jiran.

Sementara itu, anak ketiga mangsa, Mastura Mohd Fadilah, 18, berkata, dia tidak menyedari kehadiran lelaki terbabit kerana berada dalam bilik air selepas selesai membersihkan rumah.

“Sebaik keluar dari bilik air, seorang lelaki bertopeng mengacukan dua parang di kiri dan kanan leher saya serta mengarahkan diam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian itu.

Pejuang Islam Mali tolak perisytiharan kemerdekaan

BAMAKO: Panglima perang kumpulan pemberontak Islam yang menguasai bandar raya Timbuktu semalam berkata, pihaknya menentang kemerdekaan di wilayah utara Mali yang diumumkan etnik Tuareg.
Beliau sebaliknya berkata, mereka hanya berjuang untuk Islam.

“Perang kami ialah jihad. Ia perang yang sah atas nama Islam. Kami menentang pemberontakan yang tidak berdasarkan Islam,” kata Omar Hamaha, menerusi video yang diperoleh agensi berita AFP.

“Kemerdekaan ialah Islam. Itu kemerdekaan sebenarnya. Ia bertujuan untuk melaksanakan syariah, dari pagi hingga ke malam,” kata Omar.

Kumpulan pemberontak etnik Tuareg, MNLA, sebelum ini mengisytiharkan kemerdekaan di utara negara itu.

Kumpulan itu menawan utara Mali bersama-sama Ansar Dine, satu kumpulan pemberontak kecil lain selepas rampasan kuasa di Bamako oleh pihak tentera kira-kira dua minggu lalu.


Ansar Dine kemudian menguasai Timbuktu dan merancang melaksanakan undang-undang syariah.

Dalam pada itu, Kesatuan Afrika juga menolak perisytiharan kemerdekaan yang dibuat oleh etnik Tuareg. - AFP

Turki minta bantuan PBB

BEIRUT: Tentera Syria mengebom beberapa bandar dan perkampungan, selain menghantar kereta kebal serta penembak curi bagi menghadapi pemberontak di pinggir Damsyik, semalam.
Tindakan itu dilihat cubaan kerajaan memadam saki-baki penentangan pemberontak ketika gencatan senjata ditaja komuniti antarabangsa bakal dilaksanakan kurang dari seminggu lagi. Ketika pertempuran semakin meningkat, aliran masuk warga Syria ke Turki meningkat ketara dan dianggarkan satu per tiga daripada 24,000 pelarian itu memasuki negara jiran sejak dua minggu lalu. Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, berkata kira-kira 2,500 rakyat Syria melintasi sempadan kelmarin. Bercakap kepada Setiausaha Agung PBB, Ahmed berkata, Turki akan meminta bantuan badan dunia itu jika kebanjiran pelarian perang berterusan. “Keganasan yang semakin meningkat ini sangat membimbangkan,” katanya, Dipercayai, kedatangan pelarian besar-besaran ke Turki dicetuskan gerakan ganas Presiden Bashar al-Assad di kawasan berhampiran Idlib yang berjiran dengan Turki.

Aktivis kemanusiaan berkata, sejumlah kematian dicatatkan di kawasan perkampungan Taftanaz serta Killi yang dibom rejim Bashar semalam. Pelarian berkata, kerajaan menggunakan helikopter dan kereta kebal untuk mengebom kampung mereka.

Berpuluh-puluh pelarian, termasuk anak muda bertongkat dan tentera yang berpaling tadah berkumpul berhampiran kawat duri di sempadan Syria menunggu masa masuk ke Turki. - AP

Penjara 25 tahun tak adil: Russia

NEW YORK: Kementerian Luar Russia semalam menganggap, hukuman penjara 25 tahun ke atas pengedar senjata yang dikenakan ke atas rakyatnya sebagai “tidak berasas dan berat sebelah.”
Kerajaan juga, kata kementerian itu, berikrar untuk mencari jalan membawa Viktor Bout kembali ke Russia.

Pernah digelar sebagai Saudagar Maut, Bout dihukum penjara di New York selepas disabitkan tuduhan terbabit dalam keganasan. Sebaik hukuman dibacakan, Bout menjerit “Ini satu pembohongan!” di dalam mahkamah. Dia dipenjara sejak ditahan di Thailand empat tahun lalu selepas bertemu dengan ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS yang menyamar sebagai pengganas Colombia.

Dia diekstradisi ke AS untuk dibicarakan pada 2010.

Pendakwa menganggap Bout, 45, sebagai antara penjenayah paling berbahaya dan pernah menjual pelbagai senjata, termasuk peluru berpandu bernilai RM60 juta.

Bagaimanapun, Bout mendakwa, dia menjalankan perniagaan yang sah di sisi undang-undang. - AP

‘Saya digelar makhluk asing’

GERUN...Hisham memegang bahagian hadapan kepalanya.
GERUN...Hisham memegang bahagian hadapan kepalanya.

PASIR MAS: Pelbagai gelaran diberikan terhadap dirinya, termasuk ‘makhluk asing’, namun, ia tidak mematahkan semangat Mohd Izanuddin Hisham Muhamad, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Jalan Rantau Panjang Lama, dekat sini, untuk meneruskan kehidupannya.
Bayangkan, bahagian hadapan kepalanya yang berbeza berbanding insan normal menyebabkan ada kanak-kanak menangis apabila terserempak atau melihatnya dari dekat.

Bagaimanapun, di sebalik kekurangan itu, dia mempunyai daya ingatan yang sangat kuat dan mampu mendendangkan lagu Hindustan dengan baik walaupun rangkap dinyanyikan tidak sepenuhnya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mampu menceritakan secara terperinci kemalangan menimpa dirinya tiga tahun lalu yang menyebabkan separuh tempurung kepalanya dibuang doktor.

Dia yang membahasakan dirinya, Hisham berkata, kejadian pada tengah hari Jumaat pada 2009 merubah kehidupannya dalam sekelip mata.

Katanya, ketika itu, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kuala Krai melalui Tanah Merah menuju Pasir Mas.


“Sebaik tiba di Kangkong, tiba-tiba, sebuah Honda Jazz dari arah Pasir Mas dipandu seorang warga Thailand cuba memotong sebuah kenderaan lain, namun, gagal lalu bertembung motosikal saya.

“Akibat pertembungan itu, saya melayang ala ‘Superman’ sejauh dua meter dan melanggar sebatang pokok sebesar pemeluk di tepi jalan menyebabkan topi keledar dipakai terbelah dua. Akibat kemalangan itu, saya koma tiga bulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Kota Bharu,” katanya.

Katanya, sebaik sedar, dia hairan melihat pesakit lain termasuk pengunjung wad memandangnya, seolah-olah ada benda pelik berlaku ke atas dirinya.

“Saya meraba seluruh tubuh, namun, tiada yang ganjil sehinggalah saya memegang bahagian atas kepala dan terkejut apabila ada lekuk besar di situ.

“Saya minta ibu yang berada di sisi katil menghulurkan cermin dan sebaik memandang cermin, saya hampir ‘hilang akal’ kerana tidak menyangka kepala yang sebelum ini sempurna, kini cacat,” katanya.

Bagaimanapun, sebaik ditenangkan ibunya, Shamsiah Yatim, 57 dan ayahnya, Muhamad Mohd Noor, 52, barulah dia akur serta pasrah dengan takdir Ilahi.

Selain kehilangan separuh tempurung kepala, Hisham turut juling mata kirinya, namun, mengakui penglihatannya masih jelas.

Menurutnya, pertama kali keluar rumahnya sebaik dibenarkan pulang dari hospital, dia panik apabila anak jiran menangis ketakutan sebaik melihat kepalanya.

“Ketika itu, kepala saya botak menyebabkan ketiadaan tempurung kepala itu boleh dilihat dengan jelas,” katanya yang terkenal dengan gelaran Hisham Lekuk.

Mengenai kos rawatan bagi menggantikan tempurung kepalanya, Hisham menjelaskan, ibu bapanya yang bekerja kampung tidak mampu membiayainya kerana kos pembedahan agak tinggi iaitu antara RM8,000 hingga RM12,000, tidak termasuk kos perubatan.

Sehubungan itu, Hisham merayu sesiapa yang ingin membantunya boleh menghubungi ayahnya menerusi talian 017-9335461.

Rebah dipanah petir


TINJAU...peronda lebuh raya melihat tempat kejadian.
TINJAU...peronda lebuh raya melihat tempat kejadian.



BUKTI...payung yang turut disambar petir.
BUKTI...payung yang turut disambar petir.
KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki memberhentikan kereta di tepi jalan untuk membantu mangsa kemalangan membawa padah apabila dia disambar petir sebaik menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi peronda lebuh raya bagi memaklumkan kejadian itu, kelmarin.
Berikutan kejadian dalam hujan lebat kira-kira jam 4 petang itu di Kilometer 9.3 Lebuhraya Elite arah Putrajaya selepas susur USJ Subang Jaya, mangsa, Herman Zulkarnaen, 29, yang sedang menggunakan telefon bimbit tiba-tiba disambar petir sebelum rebah tidak sedarkan diri.
Dia sebelum itu melihat sebuah kereta dinaiki seorang wanita, ibunya dan tiga anaknya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di tempat kejadian.

Herman dikatakan dalam perjalanan ke Melaka atas urusan kerja kini dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.


Menurut pemandu kereta terbabit, Rosanita Azizan, 44, ketika kejadian, dia bersama ibu dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Nilai sebelum keretanya hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.

Bekas isteri sultan Brunei menang kes barang kemas

BRUNEI: Bekas isteri Sultan Brunei semalam memenangi kes mahkamah terhadap bekas pengawal peribadinya yang mencuri dan menjual berlian miliknya bernilai lebih 12 juta pound (RM60 juta).
Fatimah Kumin Lim mengambil batu permata yang dimiliki Mariam Aziz, 55, dan menggantikannya dengan barang kemas tiruan. Mariam yang mempunyai empat anak hasil perkahwinannya dengan Sultan Hassanal Bolkiah pada 1981 sebelum bercerai pada Februari 2003, ‘berjaya memenangi kes ini,’ umum hakim di Mahkamah Tinggi London.

Dakwaan itu bersangkut-paut dengan rantai tangan berlian bernilai 3.5 juta pound (RM10.5 juta) dan dua butir berlian berharga yang diberikan kepadanya oleh Sultan sebagai hadiah pada 1986.

Sebutir berlian berbentuk buah pir dianggarkan Mariam bernilai 8 juta pound (RM40 juta), manakala berlian berbentuk segi empat tepat berwarna kuning dikatakan bernilai 600,000 pound (RM3 juta). Hakim Justice Lindblom menolak dakwaan Fatimah, 34, bahawa dia diarahkan Mariam supaya menjual berlian berkenaan bagi membayar hutang judi majikannya itu. Mariam menuntut kerugian mengikut nilai harga rantai tangan itu atas dasar ia sudah dijual dan tidak dapat dikembalikan. Hakim berkata, dia berhak memperoleh kira-kira RM16.62 juta. - DM

Anonymous ikrar terus godam laman web China

BEIJING: Kumpulan penggodam yang menamakan diri mereka Anonymous berkata, ia akan terus mensasarkan China selepas mengumumkan telah menggodam ratusan laman web negara itu sebagai membantah penapisan ketat Internet di negara berkenaan.
Kebanyakan laman web China yang didakwa telah digodam beroperasi seperti biasa pada awal pagi walaupun sesetengahnya masih menunjukkan mesej kesilapan. Antara laman web yang terjejas adalah laman Parti Komunis di Hezhou, selatan negara itu. “Ia akan berterusan. Sasaran sudah dipilih,” menurut kenyataan Anonymous dalam laman Twitternya. Ia sebelum ini berkata, kira-kira 300 laman web China telah digodam dan menghantar mesej kepada kerajaan dan rakyat China. - AFP

Serangan ke atas Iran ancam kestabilan Teluk: China

BEIJING: Seorang diplomat kanan China berkata, serangan ke atas Iran akan mengundang tindak balas yang akan melanda Timur Tengah dan menyebabkan gangguan pemulihan ekonomi global.
Ketua Bahagian Asia Barat dan Afrika Utara di Kementerian Luar China, Chen Xiaodong, berkata pada masa sama, komuniti antarabangsa mesti menahan diri daripada terbabit dalam perang.

“Jika kekerasan dikenakan ke atas Iran, pasti akan berlaku tindak balas dan menyebabkan pertembungan ketenteraan lebih besar, memburukkan lagi konflik serantau, mengancam keselamatan Selat Hormuz dan laluan strategik lain, meningkatkan harga minyak dunia dan merencatkan pemulihan ekonomi,” katanya pada sesi berbual dihoskan akhbar rasmi Parti Komunis China, People’s Daily, semalam.

Kenyataan Chen itu dianggap pendirian paling tegas disuarakan Beijing dalam isu program nuklear Iran setakat ini.

Menurut Chen, mungkin ada 10,000 alasan untuk sesuatu pihak memulakan perang.

“Namun, anda tidak boleh mengubati kesengsaraan akibat menjerumuskan orang ramai ke kancah perang serta keruntuhan masyarakat,” katanya. - Reuters

2 ahli perniagaan Vietnam beli bandar kecil di AS

WASHINGTON: Dua ahli perniagaan Vietnam disahkan menjadi pemilik baru bandar Buford di Wyoming selepas memenangi bidaan bernilai AS$900,000 (RM2.76 juta) dalam sesi lelongan semalam.
Agensi berita Vietnam melaporkan, bandar terkecil di AS itu memiliki keluasan 40,500 meter persegi dan menempatkan sebuah rumah tiga bilik tidur, sebuah stesen minyak dan beberapa bangunan lama.

Puluhan orang mengambil bahagian dalam lelongan itu yang dibuka dengan harga permulaan AS$100,000. Media melaporkan, kedua-dua pembeli itu terbang dari Vietnam untuk menyertai lelongan berkenaan selepas membaca mengenainya di Internet. Pemilik Buford sebelum ini, Don Sammons, berpindah ke bandar itu pada 1980 bersama isterinya.

Dia membeli Buford sedekad kemudian, tetapi menjadi penghuni tunggal bandar itu selepas isterinya meninggal dunia dan anaknya berpindah. - Bernama

25 amah nanti dipancung

RIYADH: Seramai 22 warga Indonesia yang dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi telah dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asal mereka, manakala 25 pembantu rumah negara itu masih berdepan hukuman berkenaan atas pelbagai kesalahan.
Sehubungan itu, jurucakap Kedutaan Indonesia di Riyadh, Hendrar Pramutyo berkata, kerajaan negaranya akan menghantar 14 petugas khas presiden ke Arab Saudi hari ini untuk berbincang dengan pegawai negara itu dan mencari jalan menyelamatkan mereka yang menanti pelaksanaan hukuman itu.

“Di Riyadh saja, enam amah warga kami menghadapi hukuman mati, manakala 19 pekerja wanita berdepan hukuman itu di wilayah barat Saudi. Kami akan menghadiri satu perbicaraan di Dammam minggu depan,” katanya. Beliau juga berkata, kira-kira 1,700 rakyat Indonesia berada dalam penjara Arab Saudi ketika ini.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada pertubuhan kemanusiaan kerajaan Saudi kerana bantuan mereka yang membolehkan sebilangan pesalah dibebaskan dan dihantar pulang ke Indonesia,” katanya.

Hendrar berkata, misi diplomatik Indonesia masih berusaha menguruskan pembebasan pekerja yang ditahan kerana jenayah kecil. “Kami juga telah meminta kebenaran daripada kerajaan Saudi bagi mengizinkan delegasi petugas khas kami melawat penjara negara berkenaan.

“Kami masih menunggu maklum balas daripada mereka,” katanya.


Menurutnya, ramai lagi pesalah lain mungkin tidak begitu bernasib baik. Bagaimanapun, pejabat kedutaan dan juga pejabat konsul Indonesia di Jeddah berusaha sedaya upaya membantu mereka dari segi undang-undang. Jun tahun lalu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengecam hukuman pancung di Arab Saudi terhadap pembantu rumah Indonesia dan menuduh Riyadh tidak mematuhi tatasusila hubungan antarabangsa.

Ruyati binti Sapubi, 54, dipancung pada 18 Jun 2011 selepas didapati bersalah membunuh majikannya, warga Saudi, mendorong Indonesia memanggil pulang dutanya di Riyadh untuk berbincang.

Dalam pada itu, menurut laporan akhbar Indonesia, The Presidential Post, sejumlah 167 warga Indonesia berdepan hukuman mati dan 11 lagi sudah dihukum mati di pelbagai negara, termasuk Arab Saudi, baru-baru ini. Kebanyakan rakyat Indonesia yang dijatuhkan hukuman mati bersalah kerana melakukan jenayah serius atau disabitkan dengan hukuman itu tanpa alasan yang kukuh. - AN

Ibu kejam dijel 10 tahun

SOMERSET: Seorang ibu kejam yang menggalakkan pasangannya merogol anak perempuannya di hadapannya dipenjarakan selama 10 tahun, semalam.
Wanita berusia 65 tahun itu menggesa bekas kekasihnya supaya memperkosa tiga anak perempuannya - yang semuanya di bawah umur 16 tahun ketika itu, dalam tempoh tujuh tahun.

Dia memberitahu anaknya supaya memakai pakaian dalam orang dewasa untuk tujuan menggoda sebelum memberi mereka arak. Wanita yang berasal dari Weston-super-Mare, Somerset itu kemudian membawa tiga anaknya itu ke Bleadon, Somerset utara, tempat mereka diperkosa secara berasingan oleh kekasihnya. Mahkamah Bristol diberitahu wanita itu hanya membenarkan perogol mendera anak perempuannya ketika dia hadir kerana dia teruja melihatnya. Tindakannya itu yang berlanjutan hingga tujuh tahun pada 1970-an dan 80-an hanya dilaporkan kepada polis pada 2010 apabila mangsa mendengar berita bahawa perogol itu sudah mati.

Polis kemudian menyoal siasat wanita itu dan dia mengakui perbuatannya. Wanita terbabit mengaku bersalah semalam atas 25 dakwaan kerana membantu dan menggalakkan anaknya diperkosa. Hakim Carol Hagen memenjarakan wanita yang menangis tersesak-esak itu selama 10 tahun dan memberitahunya dia ‘kejam’ sebagaimana bekas kekasihnya itu. Pesara wanita yang disifatkan sebagai sangat bijak itu berkata, terima kasih ketika dia dibawa untuk menjalani hukumannya.

Pendakwa raya James Ward memberitahu mahkamah dia menggalakkan dan membantu pasangannya memperkosa tiga anaknya mulai 1975 hingga 1982. - DM

Bapa sembunyi mayat anak lebih 3 tahun

NEW JERSEY: Seorang bapa menyembunyikan mayat anak perempuannya lebih tiga tahun dekat bekas kediamannya dan pada satu tahap mengalihkan mayat itu di ruang sempit, kata pihak berkuasa.
Mayat Kimberly Adler ditemui minggu ini oleh pekerja pembersihan yang diupah pemilik baru rumah itu.

Dennis Adler, 57, muncul di mahkamah daerah Monmouth, New Jersey semalam bagi menghadapi tuduhan menyimpan mayat manusia.

Adler tidak memberi sebarang pengakuan dan ditahan dengan ikat jamin AS$100,000 (RM300,000).

Polis memeriksa bekas kediaman Adler di Keansburg Selasa lalu selepas pekerja menemui mayat berkenaan.

Rekod pergigian mengesahkan mayat itu milik Kimberly Adler.


Ia mengambil masa beberapa minggu untuk mengetahui keputusan bedah siasat bagi memastikan punca kematiannya.

Kimberly tidak pernah dilaporkan sebagai orang hilang. Berdasarkan waran tangkap, Adler dituduh mengalih beberapa kali dan menyembunyikan mayat Kimberly pada pelbagai tarikh mulai 10 Ogos 2008. Rekod hartanah daerah mendapati Adler adalah duda ketika hartanahnya dijual pada Jun 2008 dan mencatatkan isterinya mati pada April 2007. - DM

Dipasung miskin

KEADAAN Munir begitu membimbangkan kerana tidak mendapat rawatan atau makanan mencukupi.
KEADAAN Munir begitu membimbangkan kerana tidak mendapat rawatan atau makanan mencukupi.


SITUBONDO: Dua lelaki terpaksa dipasung berterusan ekoran keluarga mereka bimbang keadaan mental mangsa tidak stabil dan boleh mencederakan orang ramai.
Munir, 40, dan Samsudin, 37, ketika ini mengalami masalah sakit jiwa yang serius.

Disebabkan kemiskinan dan tidak mampu membiayai kos perubatan, keluarga dua lelaki terbabit tidak mempunyai pilihan kecuali memasung mereka sejak beberapa tahun lalu.
Penduduk Kampung Pokaan di daerah Kapongan, Jawa Timur, berkata Munir dan Samsudin sering mengamuk dan membahayakan orang ramai.

“Mereka dipasung di dua tempat berbeza,” katanya.

Menurutnya, Samsudin dipasung kaki kanannya dan diletakkan dalam rumah usang sejak 10 tahun lalu.
Disebabkan terlalu lama dikurung dan kurang makan, katanya, keadaan Samsudin amat menyedihkan.

“Bapa dua anak itu kelihatan sangat terseksa tetapi keluarganya tak mampu membawa dia ke hospital di Lawang, Malang,” katanya.
Sementara itu, Munir yang juga sepupu Samsudin dipasung tangan dan kakinya di sebatang pokok mangga di sebelah rumahnya.

Penduduk kampung berkata, sejak lima tahun lalu Munir diikat begitu dan ditinggalkan dengan berbumbungkan khemah plastik.

“Antara Munir dan Samsudin dipisahkan jarak kira-kira 100 meter,” katanya.

Isteri Samsudin, Saodah, berkata dia memilih pasung kerana tidak mempunyai pilihan lain selepas gagal mengubati penyakit itu sejak 12 tahun lalu.

“Pada mulanya, suami saya mengalami masalah saraf dan kami sering berjumpa doktor di Situbondo.

“Selepas makan ubat, dia sembuh tetapi kembali meracau tidak lama kemudian,” katanya.

Disebabkan biaya perubatan tinggi, Saodah dan Samsudin terpaksa menjual rumah mereka dan berpindah ke tempat lain.

Kata Saodah, 35, dia percaya masalah dialami Samsudin bukan disebabkan faktor keturunan kerana tiada sesiapa ahli keluarga mereka mengalami nasib sama.

“Akhirnya pada 2006 keadaan suami makin parah dan kami terpaksa memasungnya,” katanya.

Mengenai Munir, Saodah berkata, dia mengalami tekanan perasaan selepas bercerai dengan isterinya. - Kompas

Gempa sederhana 5.5 magnitud landa barat Indonesia





2012/04/07

JAKARTA: Gempa berukuran sederhana 5.5 magnitud melanda barat Indonesia, awal pagi ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan, demikian menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS). 

Gempa berlaku jam 2.24 pagi waktu Indonedia di perairan Kepulauan Mentawai di 209 kilometer di barat Bengkulu di Sumatera. Setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan harta benda serta mangsa. - AFP

Gempa kuat 6.2 magnitud landa Papua New Guinea





2012/04/07

SYDNEY: Gempa kuat berukuran 6.2 magnitud menggegarkan Kepulauan Papua New Guinea, awal pagi ini namun tiada amaran tsunami dikeluarkan Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS). 

Gmepa dikesan berlaku jam 2.15 pagi waktu tempatan di 150 kilometer (km) di timur Rabaul, iaitu di Wilayah Barat New Britain dan di 885km di timur laut ibu negara Papua, Port Moresby. Bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan harta benda serta mangsa yang cedera. - AFP

2 hina Nabi dipenjara tujuh tahun

 MEJRI (kiri) dan  Beji  didapati bersalah menghina Nabi Muhammad.
MEJRI (kiri) dan Beji didapati bersalah menghina Nabi Muhammad.




Pemuda Tunisia siar kartun kontroversi di Facebook

TUNIS: Dua pemuda warga Tunisia, Jabeur Mejri dan Ghazi Beji, berusia lingukan 20-an dihukum penjara tujuh selepas didapati bersalah menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad di dalam Facebook. Kedua-dua lelaki terbabit didakwa menyiarkan lakaran nabi berbogel dalam laman rangkaian sosial, kata Kementerian Kehakiman, menaikkan kemarahan di negara di mana nilai Muslim mengambil peranan besar sejak revolusi tahun lalu.

Mereka dihukum sehingga tujuh tahun penjara kerana pelanggaran moral dan mengganggu masyarakat. - Chokri Nefti, Jurucakap Kementerian Kehakiman
“Mereka dihukum sehingga tujuh tahun penjara kerana pelanggaran moral dan mengganggu masyarakat,” kata jurucakap Kementerian Kehakiman, Chokri Nefti. 

Mejri sudah dipenjarakan manakala tertuduh kedua Beji, masih dicari pihak polis dan hukuman dijatuhkan tanpa kehadiran.

Hukuman dijatuhkan pada 28 Mac tetapi tidak dilaporkan sehingga kelmarin apabila penulis blog mula menyiarkan maklumat mengenai kes itu dalam internet.

Tunisia mengejutkan dunia Arab pada Januari tahun lalu apabila penunjuk perasaan memaksa pemerintah kuku besi Presiden Zine al Abidine Ben Ali melarikan diri ke luar negara. 
Pada pilihan raya demokrasi pertama, Tunisia memilih kerajaan yang dipimpin kumpulan Muslim berfahaman sederhana. 

Revolusi itu turut membawa ketegangan antara kumpulan konservatif Islam yang percaya keyakinan mereka perlu memainkan peranan lebih besar dalam kehidupan orang ramai dan pihak sekular mendakwa yang kebebasan bersuara dan hak wanita kini dalam sekatan. 

Kerajaan berkata pihaknya mempunyai tugas mempertahankan kesopanan awam tetapi lawannya, pihak sekular menuduh ia menggunakan sistem keadilan untuk menghukum sesiapa yang tidak selari dengan agama ortodok. 

Ketua stesen televisyen swasta, Nessma, kini menanti perbicaraan atas tuduhan menyiarkan filem animasi ‘Persepolis’ yang memberi gambaran Allah. 

Pada Februari, penerbit akhbar tabloid Nassredine Ben Saida, dipenjara lapan hari dan didenda selepas menyiarkan gambar pemain bola sepak Jerman kelahiran Tunisia bersama model wanita bogel pada surat hadapan akhbar itu. – Reuters

Kerajaan Yaman bunuh 100 pejuang al Qaeda


SANAA: Pasukan kerajaan Yaman membunuh lebih 100 pejuang al Qaeda sejak dua hari dalam tindakan keras terhadap persembunyian pejuang di selatan negara itu, kata Kementerian Dalam Negeri kelmarin.

Tentera berdepan dengan pertempuran sengit di selatan wilayah Abyan dan Lahj untuk mengalahkan pejuang. Kawasan itu mengalami pertempuran hebat sejak beberapa minggu selepas dua serangan berturutan ke atas pangkalan tentera Yaman.

Kementerian Dalam Negeri berkata, serangan udara dan darat menggegarkan pejuang yang cuba beralih berdekatan laut. Pihak berkuasa berikrar meneruskan kempen mereka.

Angka kementerian ini bagaimanapun tidak dapat disahkan.
Associated Press berkata, hampir 50 pejuang terbunuh sejak beberapa hari pertempuran di selatan Yaman.

Kenyataan itu tidak memberikan sebarang maklumat mengenai pejuang dan tidak memaklumkan sebarang kematian di kalangan tentera.
Al Qaeda dan kumpulan lain mengambil kesempatan terhadap kemelut politik yang berlaku selama setahun di Yaman dengan mengambil alih kebanyakan kawasan di selatan negara, malah menawan beberapa bandar utama dan pekan.

Kebangkitan Yaman, yang diilhamkan dengan pemberontakan Arab di Asia Barat, memaksa pemimpin yang sudah lama memerintah Presiden Ali Abdullah Saleh melepaskan jawatan pada Februari.

Penggantinya Abed Rabbo Mansour Hadi, kemudian dilantik sebagai Presiden dalam pilihan raya negara.

Hadi berikrar memerangi al Qaeda sementara menyusun semula angkatan tentera di mana penyokong setia Saleh dan anggota keluarganya masih memegang jawatan penting.

Al Qaeda cawangan Yaman yang turut dikenali sebagai al Qaeda Semenanjung Arab, satu pergerakan yang paling berbahaya. – AP.

Ibu miliki kerakyatan AS, pencalonan tokoh Salafi terbatal

ABU Ismail, (tengah) dikawal penyokongnya ketika memasuki Medan Tahrir dalam bantahan ke atas pembatalan pencalonannya sebagai Presiden Mesir.
ABU Ismail, (tengah) dikawal penyokongnya ketika
 memasuki Medan Tahrir dalam bantahan ke atas
pembatalan pencalonannya sebagai Presiden Mesir.

KAHERAH: Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir, mengesahkan bahawa ibu kepada salah seorang calon popular untuk jawatan presiden, Hazem Abu Ismail, 50, adalah warga Amerika dan dengan sendirinya menyebabkan penyertaan beliau terbatal.

Pembatalan pencalonan Ismail dijangka meningkatkan peluang kepada tokoh pilihan Ikhwanul Muslimin Khairat el-Shater. Beliau sebelum ini disifatkan sebagai pesaing terdekat el-Shater. Keputusan semalam dijangka menimbulkan kemarahan penyokong Abu Ismail, seorang peguam dan penceramah agama yang dianggap calon paling menyerlah sebagai presiden dan menerima sokongan meluas golongan ultra konservatif, Salafi.

Pengumuman itu juga dianggap memalukan bagi Abu Ismail, yang menggunakan retorik anti Amerika dalam ucapannya dan menolak pergantungan Mesir kepada Washington. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beliau berulang kali menafikan khabar angin bahawa ibu beliau sudah meninggal dunia, memiliki kerakyatan Amerika. 

Untuk bertanding jawatan presiden seseorang calon dikehendaki mendapatkan pengesahan daripada ahli parlimen atau parti. Jika tidak, beliau perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 30,000 tandatangan daripada penduduk awam di seluruh Mesir. 

Minggu lalu Abu Ismail menyerahkan dokumen pencalonan, bersama tandatangan daripada kira-kira 150,000 penduduk, lima kali ganda melebihi jumlah yang diperlukan. 

Selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak tahun lalu, Mesir memperkenalkan undang-undang menetapkan bahawa calon yang bertanding, pasangan dan ibu bapa mereka tidak boleh mempunyai kerakyatan negara lain, kecuali Mesir. 
Suruhanjaya itu bagaimanapun belum secara rasmi membatalkan pencalonan Abu Ismail kerana proses penapisan calon belum lagi dimulakan. 

Abu Ismail kini berusaha mencari jalan untuk terus bertanding. – AP 

Sri Wani dan Dr. Bahrom wajib dipisahkan sementara




KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan bahawa perkahwinan antara pasangan sesama jantina adalah dilarang dan tidak diiktiraf sama sekali dalam Islam.
Menurut beliau, mengikut hukum syarak, setiap perkahwinan perlu meliputi lima rukun nikah yang wajib dituruti iaitu suami (lelaki), isteri (perempuan), wali, dua orang saksi serta akad nikah.
Justeru, katanya, jika salah satu daripada kelima-lima rukun itu tidak dipenuhi, perkahwinan tersebut adalah tidak sah.
“Walaupun secara luarannya, seseorang itu kelihatan seperti seorang wanita tetapi hakikatnya, dia masih kekal sebagai seorang lelaki. Oleh itu, dia tidak boleh bergelar isteri.
“Mana-mana individu sama jantina yang berkahwin boleh didakwa mengikut Seksyen 11 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan jika sabit kesalahan, mahkamah berhak membatalkan perkahwinan tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pereka Porsche 911 meninggal




PORSCHE bergambar bersama kereta Porsche 901 pada tahun 1963.


FRANKFURT, Jerman - Pereka model kereta sport Porsche 911, Ferdinand Alexander Porsche meninggal dunia pada usia 76 tahun.
Cucu pengasas jenama automotif mewah itu menghembuskan nafas terakhirnya di Salzburg, Austria kelmarin. Punca kematiannya tidak didedahkan.
Dikenali sebagai F.A dalam kalangan kakitangan Porsche, beliau mengetuai sebuah firma reka bentuk pada tahun 1960-an.
Firma tersebut diberi tugas menggantikan model Porsche 356.
Porsche kemudian tampil dengan idea reka bentuk yang kemas, selain menggantikan enjin empat silinder kepada enjin lebih berkuasa iaitu enam silinder.
Model Porsche 911 dihasilkan pada tahun 1963. Sudah memasuki generasi ketujuh, model itu terus dikenali sehingga ke hari ini.
Pada asalnya, Porsche mahu menggunakan nama 901.
Namun, nombor itu ditukar kerana pengeluar kereta dari Perancis, Peugeot mendakwa pihaknya sudah mempatenkan nama kenderaan dengan nombor '0' pada bahagian tengahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Matthias Mueller menyatakan penghormatannya ke atas Porsche dan menyifatkan beliau sebagai pengasas budaya reka bentuk dalam syarikat Porsche yang menjadikan kereta sport Porsche dikenali sehingga ke hari ini.
Lahir di Stuttgart, Jerman pada tahun 11 Disember 1935, Porsche ialah anak Ferry Porsche.
Beliau melanjutkan pelajaran ke Ulm School of Design dan menyertai syarikat Porsche pada tahun 1958.
Pada tahun 1972, Porsche menubuhkan Porsche Design Studio yang bertanggungjawab mereka bentuk askseori seperti cermin mata, jam dan pen. - Agensi

Pertempuran di kampung Syria



BEIRUT - Pertempuran berlaku semalam antara askar-askar yang meninggalkan medan perang dengan pasukan yang setia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad, kata sebuah kumpulan pemantau di negara itu.
Kumpulan pemantau itu, Pemerhati Untuk Hak Asasi Syria berkata, pertempuran sengit telah berlaku di Kampung al-Tiba, al-Qabu dan Shniyeh di wilayah Homs.
"Pertempuran itu berlaku selepas militia-militia yang setia kepada Bashar melepaskan tembakan ke arah tujuh wanita menyebabkan dua daripada mereka mati dan empat lagi cedera," kata kumpulan berkenaan.
Kejadian itu berlaku selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk Rusia dan China meningkatkan tekanan terhadap Bashar supaya bertindak mengarahkan tenteranya berundur dari kawasan bandar sebelum gencatan senjata dilaksanakan pada 10 April depan.
Kebangkitan penduduk Syria menentang Bashar bermula sejak tahun lalu selepas kejayaan pergerakan penduduk menuntut demokrasi di Tunisia dan Mesir. - AFP

Gambar pembunuh bersiri didedah


KOMBINASI gambar Manson dari tahun 1969 sehingga tahun lalu.



LOS ANGELES - Gambar baharu banduan digeruni, Charles Manson yang dipenjara selama 40 tahun kerana terlibat dalam satu siri pembunuhan kejam telah didedahkan oleh pihak berkuasa penjara California kelmarin.
Manson yang berusia 77 tahun dikatakan akan menghadiri perbicaraan parol yang baharu pada Rabu depan.
Gambar itu menunjukkan dia kelihatan tidak kemas dengan rambut beruban dan berjambang.
Dia juga masih mempunyai tatu sawastika pada dahinya.
"Kali terakhir dia menghadiri perbicaraan parol ialah pada Mei 2007. Dia kemudian tidak diberi parol selama lima tahun," kata seorang pegawai, Terry Thornton dari Jabatan Pemulihan California.
Manson merupakan salah seorang banduan paling digeruni di Amerika Syarikat.
Dia dipenjarakan di penjara negeri Concoran, 300 kilometer dari Los Angeles.
Pada tahun 2007, dia dinafikan untuk mendapat parol buat kali ke-11.
Dia pernah mengetuai satu kumpulan ajaran sesat dan merancang plot pembunuhan di kawasan perumahan mewah yang dihuni oleh penduduk kulit putih sebelum menyatakan jenayah itu dilakukan oleh penduduk Afrika-Amerika.
Manson dikenakan hukuman mati kerana peranannya membunuh tujuh orang mangsa termasuk isteri pembikin filem Roman Polanski, Sharon Tate yang hamil pada Ogos 1969.
Namun, hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup selepas hukuman mati diharamkan di California pada tahun 1972. - AFP

'Kapal hantu' ditenggelamkan

Kosmo! Online - Dunia:



AFP - ASAP menjulang dari kapal Ryou-Un Maru.


JUNEAU, Amerika Syarikat (AS) - Pelayaran kapal nelayan Jepun, Ryou-Un Maru berakhir di perairan Alaska kelmarin apabila ia ditenggelamkan dengan menggunakan bedilan meriam dari kapal Pengawal Pantai AS.
Kapal sepanjang sekitar 50 meter itu hanyut di Lautan Pasifik sehingga ke perairan Alaska ekoran bencana tsunami yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac tahun lalu.
Seorang pegawai pengawal pantai, Kip Wadlow dalam satu kenyataan memberitahu, 'kapal hantu' itu terbakar dan tenggelam dalam tempoh empat jam.
Ia tenggelam ke dasar laut pada kedalaman lebih 1,830 meter, 290 kilometer ke barat daya perairan Alaska.
Pihak berkuasa AS memutuskan untuk menenggelamkan kapal berkenaan bagi mengelakkan ia membahayakan kapal-kapal lain. - Agensi

Friday, April 6, 2012

AS hasut dunia benci Iran


TEHERAN: AS didakwa menghasut negara lain untuk bermusuh dengan Iran.
Presiden Mahmoud Ahmadinejad berkata, tiada negara dalam dunia mengambil sikap bermusuh dengan Iran jika Washington tidak mengenakan tekanan ke atas dasar luar mereka.

“Jika AS tidak mengenakan tekanan politik, tiada negara akan bermasalah dengan Iran kerana kami bukanlah ancaman kepada kepentingan mana-mana negara Eropah,” katanya.
Mahmoud membuat kenyataan itu ketika ditemubual stesen televisyen tempatan yang bersiaran menggunakan bahasa Jerman, ZDF. - Agensi