SANAA: Pasukan kerajaan Yaman membunuh lebih 100 pejuang al Qaeda sejak dua hari dalam tindakan keras terhadap persembunyian pejuang di selatan negara itu, kata Kementerian Dalam Negeri kelmarin.
Tentera berdepan dengan pertempuran sengit di selatan wilayah Abyan dan Lahj untuk mengalahkan pejuang. Kawasan itu mengalami pertempuran hebat sejak beberapa minggu selepas dua serangan berturutan ke atas pangkalan tentera Yaman.
Kementerian Dalam Negeri berkata, serangan udara dan darat menggegarkan pejuang yang cuba beralih berdekatan laut. Pihak berkuasa berikrar meneruskan kempen mereka.
Angka kementerian ini bagaimanapun tidak dapat disahkan.
Associated Press berkata, hampir 50 pejuang terbunuh sejak beberapa hari pertempuran di selatan Yaman.
Kenyataan itu tidak memberikan sebarang maklumat mengenai pejuang dan tidak memaklumkan sebarang kematian di kalangan tentera.
Al Qaeda dan kumpulan lain mengambil kesempatan terhadap kemelut politik yang berlaku selama setahun di Yaman dengan mengambil alih kebanyakan kawasan di selatan negara, malah menawan beberapa bandar utama dan pekan.
Kebangkitan Yaman, yang diilhamkan dengan pemberontakan Arab di Asia Barat, memaksa pemimpin yang sudah lama memerintah Presiden Ali Abdullah Saleh melepaskan jawatan pada Februari.
Penggantinya Abed Rabbo Mansour Hadi, kemudian dilantik sebagai Presiden dalam pilihan raya negara.
Hadi berikrar memerangi al Qaeda sementara menyusun semula angkatan tentera di mana penyokong setia Saleh dan anggota keluarganya masih memegang jawatan penting.
Al Qaeda cawangan Yaman yang turut dikenali sebagai al Qaeda Semenanjung Arab, satu pergerakan yang paling berbahaya. – AP.
No comments:
Post a Comment