Pages

Tuesday, February 21, 2012

Guru campak anak dari jambatan

myMetro | Guru campak anak dari jambatan:JAMBATAN Story yang merintasi Sungai Brisbane menjadi tempat Lees mencampak anaknya sebelum dia sendiri membunuh diri, semalam.
JAMBATAN Story yang merintasi Sungai Brisbane menjadi tempat Lees mencampak anaknya sebelum dia sendiri membunuh diri, semalam.

BRISBANE: Seorang pengadil ragbi antarabangsa yang mengajar di sebuah sekolah eksklusif, mencampak bayi lelakinya dari sebatang jambatan sebelum melompat membunuh diri, semalam.

Jason Lees, 40, mencampak anak lelakinya yang baru berusia dua tahun dari ketinggian 74 meter di Jambatan Story sebelum dia melompat dan terdampar di pinggir tebing Sungai Brisbane. Ketika hidup, Lees mengajar di Sekolah Menengah Gereja Anglican di bandar raya Brisbane, selain menjadi pengadil Kesatuan Ragbi Antarabangsa.


Pengetua sekolah itu, Jonathan Hensman, berkata Lees seorang guru dihormati dan disayangi.


  • Foto

    LEES dilihat berbasikal kira-kira jam 3.30 pagi.

  • Foto

    ANAK lelaki Lees yang dicampak dari jambatan.

“Kehilangan Lees sangat dirasai di kalangan penduduk setempat serta semula pelajar yang pernah mendapat bimbingannya,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis Queensland berkata, Lees menunggang basikal dan memasuki laluan pejalan kaki di sisi jambatan berkenaan pada awal pagi.

Foto

LEES dilihat berbasikal kira-kira jam 3.30 pagi.

Lees kemudian mencampak anaknya melepasi palang keselamatan jambatan.

“Dia kemudian memanjat palang itu sebelum melompat,” katanya.


Kejadian itu sama dengan insiden pada 2009 apabila Arthur Freeman, 37, mencampak anak perempuannya - berusia empat tahun - dari Jambatan Westgate di Melbourne.

Bagaimanapun, Freeman tidak membunuh diri, sebaliknya menyerah diri kepada polis sebelum dihukum penjara seumur hidup.


Saksi berkata, Lees membunuh diri kira-kira jam 3.30 pagi.


Katanya, orang awam menghubungi polis dan pasukan keselamatan berkejar ke tempat kejadian.


“Tetapi tiada apa yang dapat dilakukan terhadap Lees atau anaknya,” katanya.


Difahamkan, Lees berasal dari Kanada.


Polis yakin bayi malang itu tidak terbabit dalam pertikaian hak penjagaan kerana siasatan mendapati, keluarga Lees hidup bahagia sebelum ini.


Ia berbeza seperti insiden membabitkan Freeman.


Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif kejadian. - DM


'via Blog this'

Keluar dari Syria sekarang


Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2012/02/21

Wisma Putra arah rakyat kita tinggalkan Damsyik, keadaan kian buruk

PUTRAJAYA: Kementerian Luar semalam mengingatkan rakyat Malaysia yang masih berada di Syria supaya meninggalkan negara berkenaan atau berpindah ke pusat pengajian di luar negara bergolak itu berikutan tahap keselamatan yang semakin merosot.
Kementerian itu berkata penilaian menunjukkan situasi di negara berkenaan khususnya di Damsyik mungkin boleh menjadi lebih buruk berikutan berlaku beberapa insiden di bandar dan kampung di pinggir kota raya itu, baru-baru ini.
"Kedutaan ingin menekankan bahawa Nasihat Perjalanan/Keselamatan dikeluarkan pada 15 Februari 2012 supaya semua rakyat Malaysia termasuk pelajar keluar dari Syria dengan segera.

“Bagi mereka yang berhasrat melawat negara itu diminta menangguhkan perjalanan buat masa ini," kata Kedutaan Malaysia di Damsyik dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web Kementerian Luar, semalam.

Katanya, masih ramai pelajar yang menganggap situasi di Syria pada masa ini sebagai ‘keadaan sementara’ dan berupaya pulih ‘sekelip mata’ menyebabkan mereka tidak keluar dari negara terbabit walaupun pernah memaklumkan pihak kedutaan akan berbuat demikian sebelum ini.

“Kedutaan ingin memaklumkan bahawa bila dan di mana akan berlaku kekacauan dan keganasan adalah sukar dijangka tetapi bukti kukuh mulai kelihatan sejak September 2011 lagi yang mana tahap keselamatan berkecenderungan bertambah buruk.
“Sementara perkhidmatan penerbangan komersial masih ada, kedutaan menggesa supaya semua rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di sana menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke Malaysia atau berpindah ke tempat lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu, beberapa syarikat penerbangan yang singgah ke negara Asia Tenggara, khususnya Malaysia sudah mula melaksanakan sekatan ekonomi yang diluluskan oleh Liga Arab dengan mengurangkan frekuensi perkhidmatan dan menghentikan perkhidmatan ke Damsyik.

“Qatar Airways menghentikan perkhidmatannya minggu lalu, Gulf Air akan menghentikan perkhidmatannya ke Damsyik pada 2 Mac ini dan Saudi Air mengumumkan menghentikan perkhidmatan ke Damsyik mulai 18 Februari,” katanya.

Katanya, pelajar yang enggan meneruskan pengajian di Malaysia boleh juga meneruskan hasrat berbuat demikian di luar Syria seperti Jordan, Mesir dan mereka diminta berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Syria segera.

Berita Harian Online | Keluar dari Syria sekarang:

'via Blog this'

Senaman satu jam sehari tingkat daya ingatan

Berita Harian Online | Senaman satu jam sehari tingkat daya ingatan:




2012/02/21

LONDON: Melakukan senaman satu jam sehari mampu meningkatkan keupayaan ingatan dan pembelajaran di kalangan bukan saja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa, kata sekumpulan saintis.

Penyelidik berkenaan mendapati bahawa berjalan atau berbasikal setiap hari selama enam bulan hingga setahun boleh membantu meningkatkan ingatan dan kemahiran penyelesaian masalah di kalangan orang dewasa sebanyak 15 hingga 20 peratus.
Mereka menunjukkan bahawa senaman seperti itu juga boleh meningkatkan saiz bahagian penting dalam otak.
Saintis terbabit juga mendapati kanak-kanak sihat cenderung menjadi lebih baik melakukan pelbagai aktiviti dan tugasan mental sukar berbanding rakan mereka yang kurang sihat, lapor The Telegraph.

Pengarah Beckman Institute for Advanced Science and Technology di Univesiti Illinois Professor Art Kramer, ketua penyelidikan itu berkata penemuan mereka memberi kesan besar dalam meningkatkan prestasi kanak-kanak di sekolah.

Katanya ia boleh digunakan untuk membantu orang dewasa berhadapan dengan masalah hilang ingatan pada usia tua.

“Amat menyedihkan faktor usia mengurangkan fungsi otak apabila kian berusia. Malah semakin ramai mengamalkan gaya hidup tidak sihat.
“Senaman boleh memberi kesan positif terhadap penyakit kardiovaskular dan diabetes, kita mendapati ia boleh meningkatkan kognitif, fungsi otak dan struktur otak.

“Kita mampu untuk melakukan banyak kerja neuroimaging bersama kajian terhadap orang dewasa dan menunjukkan bahawa rangkaian dan struktur otak juga berubah dengan senaman.

“Kanak-kanak yang melakukan senaman aerobik mempamerkan kawalan kognitif yang lebih baik berbanding kanak-kanak kurang bersenam,” kata Kramer.

Kajian disiarkan awal tahun ini oleh pasukan berkenaan menunjukkan hippocampus, bahagian otak terbabit dalam memori orang dewasa yang sering melakukan senaman lebih enam bulan meningkat sebanyak dua peratus, berkesan untuk mengurangkan penuaan otak selama satu hingga dua tahun.

Dalam kajian terbaru, beliau juga mendapati kanak-kanak cerdas lebih baik ketika melintas jalan apabila mereka diganggu muzik atau berbual di telefon bimbit berbanding mereka yang kurang bersenam. – Agensi

'via Blog this'

Britain simpan data panggilan

Berita Harian Online | Britain simpan data panggilan:




2012/02/21

Rancangan antikeganasan arah pengendali telekomunikasi pantau maklumat

LONDON: Kerajaan Britain merancang untuk menyimpan semua maklumat membabitkan setiap panggilan telefon, teks mesej, e-mel dan juga laman web yang dilawati di internet sebagai sebahagian daripada rancangan baru antikeganasan negara itu, kata satu laporan.
Di bawah peraturan baru antikeganasan itu, syarikat talian dan telefon bimbit serta pengendali jalur lebar diarahkan menyimpan semua data selama setahun dan perlu diberikan sekiranya diminta pihak keselamatan negara terbabit.
Pangkalan data itu bagaimanapun tidak merakamkan kandungan panggilan, teks atau e-mel tetapi nombor atau alamat e-mel mereka yang menghantar atau menerima, lapor The Telegraph.

“Ini kali pertama pihak pasukan keselamatan di negara ini akan mendapat akses semua maklumat mengenai mereka yang terbabit dalam komunikasi termasuk rangkaian sosial lain seperti Facebook,” kata laporan itu.

Mesej terus antara pelanggan ke halaman web seperti Twitter juga akan disimpan, selain komunikasi antara pemain dalam permainan video di internet, kata laporan berkenaan.

Rancangan itu dirangka atas nasihat M15, perkhidmatan keselamatan dalam negara M16 yang beroperasi di luar negara dan GCHQ, yang bertanggungjawab memantau komunikasi di negara itu.
Di bawah skim berkenaan, perkhidmatan keselamatan akan diberikan ‘masa sebenar’ akses ke telefon dan rekod internet membabitkan pelanggan yang akan dipantau, selain keupayaan untuk merangka semula pergerakan mereka melalui maklumat yang tersimpan dalam pangkalan data.

Berdasarkan laporan itu, langkah berkenaan pastinya akan mengundang kontroversi di kalangan liberal awam tetapi turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan rakaman.

Akses terhadap maklumat seperti itu akan memberi laluan mudah kepada penggondam dan boleh digunakan untuk menghantar e-mel atau teks spam.

Malah maklumat halaman web yang dilawati pengguna juga boleh dieksploitasi untuk tujuan komersial. – Agensi

'via Blog this'

Latihan tentera Seoul guna peluru hidup




2012/02/21

KANAK-kanak Korea Selatan bermain berhampiran model peluru Scud-B milik Korea Utara di Muzium Peringatan Perang Korea Selatan di Seoul.
KANAK-kanak Korea Selatan bermain berhampiran model peluru Scud-B milik Korea Utara di Muzium Peringatan Perang Korea Selatan di Seoul.
SEOUL: Korea Selatan mengadakan latihan tentera menggunakan peluru hidup berhampiran sempadan laut yang menjadi rebutan dengan Korea Utara semalam, di sebalik ancaman Pyongyang untuk bertindak balas dengan serangan tanpa belas kasihan.

Penganalisis berkata, Korea Utara mungkin tidak akan bertindak balas kerana ia masih memberi tumpuan kepada kestabilan dalaman dua bulan selepas kematian pemimpinnya, Kim Jong Il. Korea Utara juga menghampiri rundingan melucutkan senjata nuklear dengan Amerika Syarikat sejak kematian Kim.
Washington dan Korea Selatan memantau rapi cara Kim Jong Un, anak lelaki dan pengganti Kim Jong Il, menangani hubungan tegang dengan Seoul dan perbalahan berhubung program senjata nuklear negara itu. Dalam satu lagi punca ketegangan, tentera Amerika akan mengadakan latihan tentera tahunan dengan Korea Selatan dalam masa beberapa bulan lagi.
Latihan Korea Selatan diadakan semalam di kawasan Laut Kuning yang menjadi sasaran serangan Korea Utara pada 2010 yang membunuh empat rakyat Korea Selatan dan menimbulkan kebimbangan ia menjadikan konflik semakin luas.

Korea Utara tidak mengemukakan ancaman kepada latihan di kawasan itu Januari lalu tetapi menyifatkan latihan terbaru kali ini sebagai provokasi terancang tentera dan memberi amaran ia akan membalas dendam kepada sebarang serangan terhadap wilayahnya. – AP Berita Harian Online | Latihan tentera Seoul guna peluru hidup:

'via Blog this'

Desak tuduhan Patek digugurkan




2012/02/21

UMAR Patek, suspek utama kejadian pengebomam Bali 2002 melambai tangan kepada orang ramai yang menghadiri   perbicaraannya di Jakarta, Indonesia.
UMAR Patek, suspek utama kejadian pengebomam Bali 2002 melambai tangan kepada orang ramai yang menghadiri perbicaraannya di Jakarta, Indonesia.
Peguam dakwa undang-undang antikeganasan tidak boleh dikuatkuasakan

JAKARTA: Pasukan peguam militan Indonesia yang menghasilkan bom digunakan dalam pengeboman di kelab malam di Bali pada tahun 2002, semalam berkata, dakwaan terhadap anak guam mereka kabur dan wajar digugurkan.
Mereka juga berkata, undang-undang antikeganasan tegas Indonesia tidak boleh dilaksanakan pada masa lalu, dan Umar Patek tidak mengambil bahagian dalam mesyuarat perancangan awal serta tidak bersalah membunuh dengan niat.
Perbicaraan Patek atau dikenali dengan gelaran Demolition Man, 45, kerana beliau pakar dengan bahan letupan bermula minggu lalu.

Dia adalah antara beberapa militan rangkaian Jemaah Islamiyah dikaitkan dengan al-Qaeda, yang masih dalam pelarian ketika ditahan setahun lalu di Pakistan.

Ejen perisik menemuinya di Abbottabad, bandar sama di barat laut Pakistan yang menyaksikan pembunuhan Osama bin Laden beberapa bulan kemudian.

Patek berdepan hukuman ditembak mati jika disabitkan bersalah dengan pelbagai dakwaan berkaitan keganasan dan jenayah, kebanyakannya berkaitan dengan pengeboman Bali yang membunuh 202 orang, termasuk 88 rakyat Australia dan tujuh rakyat Amerika Syarikat.
Ia adalah serangan terburuk pernah dilancarkan di Asia.

Patek duduk diam dalam kamar mahkamah di Daerah Jakarta Barat semalam, mendengar peguamnya menolak tuduhan.

Salah seorang peguam, Ashluddin Hatjani berkata, tuduhan yang dihadapi defendan tidak lengkap, kabur dan tidak tepat.

Dia juga berkata disebabkan undang-undang antikeganasan tidak diluluskan sehingga tahun 2003, ia tidak boleh digunakan untuk kesalahan masa lalu.

“Ketika Patek mengaku membuat bahan letupan, dia berbuat demikian atas permintaan dalang utama serangan itu, Imam Samudra, yang sudah menjalani hukuman pada tahun 2008,” kata Hatjani.

“Patek tidak tahu bagaimana ia akan digunakan,” katanya.

Minggu lalu, pendakwa berkata, Patek membantu menyelaraskan kod menghidupkan bom selain menyediakan jaket bunuh diri yang dipakai militan ketika mereka berjalan masuk ke dalam dua kelab malam pada malam kejadian.

Mereka berkata, Patek meninggalkan Bali pada 11 Oktober 2002, sehari sebelum letupan berlaku.

Pendakwa juga menuduh Patek membantu mengajar militan cara menggunakan raifal di kem latihan yang ditemui di Aceh pada awal tahun 2010.

Hatjani bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan tuduhan menyeludup senjata. – AP Berita Harian Online | Desak tuduhan Patek digugurkan:

'via Blog this'

Lelaki kecewa zakar dipotong fail saman RM1.4j




2012/02/21

LONDON: Seorang lelaki yang kecewa kemaluannya terpaksa dipotong selepas menghidap barah zakar memfailkan saman terhadap sebuah hospital kerajaan menuntut ganti rugi lebih £300,000 (RM1.4 juta) berhubung tuduhan doktor gagal mengenal pasti penyakit itu.

Boguslaw Faber, 50, cedera ketika bekerja apabila terjatuh ke atas tiang tajam. Namun selepas mendapatkan rawatan perubatan, dia mendakwa doktor di Hospital Diraja London terlepas bukti dia menghidap barah zakar.
Dalam writ Mahkamah Tinggi, Faber mendakwa doktor tersilap membaca biopsi dan secara salah merumuskan dia menghidap penyakit kulit, bukannya penyakit yang jarang berlaku itu.
Beliau mendakwa disebabkan kecuaian doktor, penyakit berkenaan dibiarkan merebak beberapa bulan.

Faber terpaksa menjalani pembedahan menyakitkan untuk membuang sebahagian zakarnya sebelum ia dibentuk semula. Beliau juga memerlukan dua lagi pembedahan selepas kakinya bengkak dan sudah pun menjalani pembedahan membuang sebahagian tiroid.

Faber, yang berpindah ke Britain dari Poland pada tahun 1994, menuduh Firma Bart and London Hospital, yang mengendalikan institusi berkenaan, cuai.

Dia mendakwa, jika keadaannya didiagnos dengan sempurna pada peringkat awal, dia boleh dirawat dengan cara kurang menyakitkan. Faber juga berkata dia boleh mengelak zakarnya dipotong dan dibentuk semula.
“Doktor gagal mengambil biopsi dengan segera, gagal mengesyaki saya menghidap barah dan gagal mengulangi pengambilan biopsi dengan cepat walaupun saya mengalami kesakitan teruk,” katanya.

Menurut fakta dalam samannya, Faber cedera ketika bekerja pada April 2008.
Selepas mendapatkan bantuan perubatan, beliau dibenarkan keluar tetapi kembali ke hospital selepas kesakitan tidak surut selepas tiga bulan.

Beliau diberi antibiotik berulang kali di klinik urologi hospital itu tetapi apabila ia tidak berkesan, dia diberi rawatan anti-kulat hampir setahun.

Selepas pakar bedah membincangkan masalahnya, cadangan seorang doktor wanita supaya pembedahan dilakukan kerana zakarnya tidak sembuh seperti yang dijangka, ditolak oleh pakar bedah kanan.

Mereka menegaskan masalahnya disebabkan jangkitan. Faber kemudian kembali ke Poland dan diberi amaran oleh dua doktor mengenai risiko barah dan meminta dia menjalani satu lagi biopsi. – Agensi Berita Harian Online | Lelaki kecewa zakar dipotong fail saman RM1.4j:

'via Blog this'

Tel Aviv dalangi krisis Syria




2012/02/21

PENUNJUK perasaan membakar gambar Presiden Syria Bashar al-Assad ketika membuat bantahan di luar Kedutaan Syria di London kelmarin.
PENUNJUK perasaan membakar gambar Presiden Syria Bashar al-Assad ketika membuat bantahan di luar Kedutaan Syria di London kelmarin.
Tujuh pegawai Turki mengaku dilatih Mossad gulingkan Bashar

DAMSYIK: Pengakuan oleh pegawai Turki yang ditahan di Syria minggu lalu mendedahkan bahawa Tel Aviv terbabit dalam pemberontakan yang diketuai ‘kumpulan bersenjata’ di negara itu untuk menggulingkan regim Bashar Assad, lapor sebuah agensi berita Iran.
Wakil agensi berita Iran, Fars di Damsyik menyatakan bahawa sumber keselamatan Syria mendakwa tujuh daripada 49 pegawai Turki yang ditahan, mengaku bahawa mereka dilatih oleh Mossad Israel untuk melaksanakan operasi keganasan. Mereka juga mendakwa mempunyai hubungan dengan Arab Saudi dan Qatar.
Seorang daripada pegawai Turki berkenaan mengakui bahawa komando Israel menyelinap masuk ke wilayah Syria dan memberikan bantuan untuk membebaskan tentera Syria.

“Mossad juga menghantar satu pasukan ke Jordan untuk melatih ahli al-Qaeda yang datang dari Libya dalam usaha untuk menghantar mereka ke Syria bagi melawan tentera biasa Syria,” kata pegawai itu yang dipetik Fars.

Sumber berkata pihak berkuasa Syria berhati-hati untuk tidak menyiarkan semua pengakuan oleh pegawai Turki berikutan mereka mahu mencapai satu rundingan dengan Ankara yang akan termasuk pembebasan pegawai berkenaan sebagai pertukaran dengan ahli tentera bebas Syria, satu komitmen untuk melemahkan kumpulan pengganas dan mengawal sempadannya bagi menghalang senjata dan kemasukan elemen pengganas.

Ada laporan menyatakan bahawa kawasan antara Ramtha di utara Jordan kini adalah zon tentera tertutup yang melindungi kira-kira 11,000 tentera bersenjata, terutama rakyat Libya yang bertanggungjawab menjalankan operasi tentera menentang tentera Syria sebagai pertukaran dengan bayaran AS$1,000 (RM3,000) sebulan. Laporan itu menyebut Riyahd dan Doha membiayai tentera berkenaan.
Selain itu, sebuah saluran televisyen Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pesawat negara itu turut memantau peristiwa di Syria. – Agensi
Berita Harian Online | Tel Aviv dalangi krisis Syria:

'via Blog this'

Israel dengar kes Khader Adnan Khamis ini



Wanita berbaris di bahu jalan sambil memegang gambar Khader Adnan, semasa mengadakan tunjuk perasaan mendesak Israel membebaskannya di Nablus, Tebing Barat di Palestin, kelmarin. - AGENSI


BAITULMAQDIS 20 Feb. - Mahkamah Agung Israel pada Khamis ini akan mendengar sebutan kes berhubung seorang tahanan Palestin, Khader Adnan yang ditahan tanpa perbicaraan dan bertindak melancarkan mogok lapar sejak 18 Disember lalu kerana membantah penahanannya.

Pada minggu lalu, peguam bela, Jawad Bulus, mengemukakan rayuan agar pihak mahkamah menggugurkan penahanan pentadbiran ke atas Khader ekoran tahap kesihatannya yang semakin merosot.

Khader, 33, seorang pembuat roti ditahan pihak berkuasa Israel tanpa sebarang tuduhan pada 17 Disember lalu berhampiran Tebing Barat di bandar Jenin.

Sehubungan itu, Khader melancarkan mogok lapar sehari selepas ditahan dan berlarutan sehingga hari ini yang masuk hari ke-63 dan dikhuatiri akan meragut nyawanya.

Kelmarin, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton melahirkan kebimbangan berhubung kesihatan Khader dan meminta agar kerajaan Israel memberikan rawatan sebaiknya kepada pemimpin Jihad Islam itu.

Ahli Parti Hadash, Mohammed Barakei berkata, keadaan Khader sangat kritikal, namun mempunyai semangat juang yang tinggi dan sempat memberitahu bahawa mogok lapar yang dilancarkan itu khas buat semua tahanan Palestin yang menjalani penahanan pentadbiran.

"Khader tidak akan menghentikan mogok laparnya sehingga dia dibebaskan," katanya.

Pegawai rasmi Israel dalam pada itu menyatakan kerajaan tidak boleh membebaskan mana-mana tahanan yang melancarkan mogok lapar tanpa sebarang keputusan yang sewajarnya.

Sementara itu, jurucakap penjara Israel menjelaskan pihaknya kini sedang memantau keadaan dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Polis perangi penghisap ganja


SEORANG penganut agama Hindu yang dikenali sebagai golongan sadhu menghisap ganja di Kuil Pashupatinath, Kathmandu semalam.


KATHMANDU – Pihak polis Nepal menyatakan semalam tindakan telah dilakukan bagi menghalang orang ramai daripada menggunakan ganja pada satu perayaan agama Hindu.

Ganja itu dihisap oleh beribu-ribu penganut Hindu bagi menghormati dewa Hindu.

Upacara itu hanya boleh dilakukan oleh kumpulan yang dikenali sebagai ‘sadhu’ yang menghisap ganja ketika malam sambutan bagi menghormati Dewa Shiva.

Rakyat biasa Nepal tidak dibenarkan menyertai sadhu.

“Kami telah menangkap 70 orang termasuk puluhan belia yang mengambil ganja secara berlebihan. Kami tidak menahan mana-mana sadhu,” kata seorang jurucakap polis Nepal, Dhiraj Pratap Shah. – AFP


Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Harga minyak lonjak ke paras tertinggi

BEBERAPA orang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Teheran, Iran kelmarin.


SINGAPURA – Harga minyak melonjak ke paras tertinggi sejak sembilan bulan lalu kepada hampir AS$105 (RM318) setong di Asia semalam selepas Iran menyatakan ia menghentikan eksport minyak mentah ke Britain dan Perancis di sebalik peningkatan perbalahan berhubung program nuklear Teheran.

Harga minyak mentah naik AS$1.50 (RM4.54) kepada AS$104.74 (RM316.7) setong pada waktu tengah hari di Singapura semalam.

Sebelum itu, harga minyak mentah meningkat kepada AS$105.21 (RM318.1) yang paling tinggi sejak bulan Mei tahun lalu.

Pada Ahad lalu, Kementerian Minyak Iran menyatakan negara itu menghentikan penghantaran minyak mentah kepada syarikat-syarikat Britain dan Perancis yang merupakan satu tamparan kepada Kesatuan Eropah (EU) selepas EU melaksanakan sekatan ke atas eksport minyak Iran.

Sekatan itu termasuk pembekuan aset bank Iran yang akan bermula pada Julai depan.

Menteri Minyak Iran, Rostam Qassemi memberi amaran pada awal bulan ini bahawa negaranya akan mengurangkan eksport minyak kepada negara-negara Eropah.

Negara-negara EU yang dianggotai 27 buah negara meggunakan 18 peratus minyak Iran yang dieksport.

– Agensi


Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'