Pages

Tuesday, February 21, 2012

Britain simpan data panggilan

Berita Harian Online | Britain simpan data panggilan:




2012/02/21

Rancangan antikeganasan arah pengendali telekomunikasi pantau maklumat

LONDON: Kerajaan Britain merancang untuk menyimpan semua maklumat membabitkan setiap panggilan telefon, teks mesej, e-mel dan juga laman web yang dilawati di internet sebagai sebahagian daripada rancangan baru antikeganasan negara itu, kata satu laporan.
Di bawah peraturan baru antikeganasan itu, syarikat talian dan telefon bimbit serta pengendali jalur lebar diarahkan menyimpan semua data selama setahun dan perlu diberikan sekiranya diminta pihak keselamatan negara terbabit.
Pangkalan data itu bagaimanapun tidak merakamkan kandungan panggilan, teks atau e-mel tetapi nombor atau alamat e-mel mereka yang menghantar atau menerima, lapor The Telegraph.

“Ini kali pertama pihak pasukan keselamatan di negara ini akan mendapat akses semua maklumat mengenai mereka yang terbabit dalam komunikasi termasuk rangkaian sosial lain seperti Facebook,” kata laporan itu.

Mesej terus antara pelanggan ke halaman web seperti Twitter juga akan disimpan, selain komunikasi antara pemain dalam permainan video di internet, kata laporan berkenaan.

Rancangan itu dirangka atas nasihat M15, perkhidmatan keselamatan dalam negara M16 yang beroperasi di luar negara dan GCHQ, yang bertanggungjawab memantau komunikasi di negara itu.
Di bawah skim berkenaan, perkhidmatan keselamatan akan diberikan ‘masa sebenar’ akses ke telefon dan rekod internet membabitkan pelanggan yang akan dipantau, selain keupayaan untuk merangka semula pergerakan mereka melalui maklumat yang tersimpan dalam pangkalan data.

Berdasarkan laporan itu, langkah berkenaan pastinya akan mengundang kontroversi di kalangan liberal awam tetapi turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan rakaman.

Akses terhadap maklumat seperti itu akan memberi laluan mudah kepada penggondam dan boleh digunakan untuk menghantar e-mel atau teks spam.

Malah maklumat halaman web yang dilawati pengguna juga boleh dieksploitasi untuk tujuan komersial. – Agensi

'via Blog this'

No comments: