Pages

Monday, August 22, 2011

Kuih tat keju blueberry berulat

Syarikat dari Shah Alam tak bekerjasama, tuduh pengguna reka cerita
KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, ada syarikat mengambil kesempatan dengan menjual kuih raya yang sudah berulat walaupun tarikh luput dinyatakan hanya berakhir dalam tempoh sembilan bulan lagi. 

Ini terbukti apabila seorang kakitangan kerajaan yang membeli kuih raya keluaran syarikat dari Shah Alam yang dijual di sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn di sini, Ahad lalu mendapati ia sudah berulat.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Sham berkata, kuih tart keju blueberry itu dibeli dengan harga RM19 satu bekas dan hanya dimakannya dan suami pada keesokan.
“Sebaik masuk waktu berbuka puasa, saya terus mengambil kuih itu untuk dimakan bagaimanapun, belum habis sebiji kuih dinikmati, entah bagaimana saya ternampak beberapa ekor ulat di dalam kuih berkenaan,” katanya ketika ditemui Sentral. 

Terkejut dengan kejadian itu, beliau kemudian meneliti bekas kuih berkenaan dengan lebih teliti dan mendapati ada beberapa ekor ulat ‘bersembunyi’ di dalam kuih dihasilkan syarikat terbabit. 

“Apabila dilihat lebih dekat, saya mendapati ada beberapa kesan hitam di bahagian dalam bekas berkenaan, sama seperti kesan kotoran yang biasa ditinggalkan serangga seperti lipas,” katanya. 

Bagi mempertahankan hak beliau sebagai seorang pengguna, Sham kemudian mengadukan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), sebelum diminta memaklumkan hal itu kepada syarikat pengeluar kuih berkenaan. 
Apa yang dikesalkan, kakitangan syarikat itu bukan saja tidak mahu memberi kerjasama sebaik dimaklumkan mengenai penemuan ulat di dalam kuih dibeli, malah menuduh beliau sengaja mereka-reka cerita untuk memburukkan jenama itu. 

“Sebagai pengguna, saya berasa begitu teraniaya. Meskipun kuih berkenaan hanya berharga RM19, tetapi syarikat itu sepatutnya mengambil tindakan lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini termasuk memeriksa terlebih dulu sebarang aduan daripada pengguna,” katanya. -bharian

Kompas mohon maaf



NAJIB menerima kunjungan Harianto yang menyampaikan permohonan maaf secara lisan, di Putrajaya, Khamis lalu.
NAJIB menerima kunjungan Harianto yang menyampaikan permohonan maaf secara lisan, di Putrajaya, Khamis lalu.
Akhbar Indonesia akui fitnah PM, isteri beli cincin AS$24j, isu beli kapal selam, keluarga menantu ada hubungan mafia

KUALA LUMPUR: Akhbar Indonesia, Kompas, memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarga berikutan laporan memfitnah Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang disiarkan pada 4 Ogos lalu.

Permohonan maaf itu berkaitan tulisan yang mengaitkan Rosmah dengan sebuah syarikat yang bertanggungjawab membeli kapal selam Scorpene, membelanjakan AS$24 (RM72 juta) untuk membeli cincin berlian serta bakal menantu Perdana Menteri mempunyai kaitan dengan mafia Russia.
Ia disampaikan secara peribadi oleh sidang redaksi Kompas, diketuai Pengarang Berita Antarabangsa, Jimmy S Harianto, dalam pertemuan di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Khamis lalu. Akhbar itu juga menyiarkan ucapan maaf pemimpin redaksi Kompas, Rikard Bagu pada Sabtu lalu.
Dalam pertemuan khas dengan wartawan politik, Iwan Santosa yang diterbitkan secara elektronik dan cetak akhbar itu, Najib menyatakan perasaan terperanjat beliau apabila membaca artikel itu yang disifatkannya sebagai tidak benar.

“Saya terperanjat dengan kandungan tulisan itu, sebab faktanya saya tahu tidak benar sama sekali. Tambahan pula ia mengaitkan nama ketua kerajaan negara jiran yang hubungan kita itu amat penting sekali,” kata Najib.

Laporan fitnah mengaitkan Perimekar Sdn Bhd dengan Rosmah adalah tidak benar. Selain itu, laporan kononnya Rosmah menghabiskan AS$24 juta untuk sebentuk cincin juga tidak benar dan cincin itu tidak pernah dipesan sama ada untuk dibeli atau sebagai bahan pameran. Tulisan yang mengaitkan keluarga atau calon keluarganya sebagai mafia Russia juga disifatkan Najib sebagai tidak berasas.

“Atas laporan itu, pemimpin redaksi Kompas di Jakarta, Rikard Bagun, secara khusus menyatakan permohonan maaf kepada ‘ketua negara dan keluarga’,” kata laporan itu. 
Harianto yang dihubungi Bernama, berkata beliau sendiri menyampaikan permohonan maaf kepada Perdana Menteri ketika pertemuan itu dan Najib menyatakan rasa terperanjat dengan laporan itu.

Pada pertemuan itu, Harianto turut mengadakan wawancara khas dengan Perdana Menteri berkaitan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. Perdana Menteri yang ditanya mengenai harapan Malaysia terhadap Indonesia sebagai negara jiran dan Pengerusi Asean, berkata beliau mengharapkan hubungan dua hala yang sangat akrab, ibarat hubungan dua jiran yang mempunyai warisan yang sama dan erat dari segi sejarah.

“Hubungan budaya, agama, dan hubungan kekeluargaan (Najib keturunan ke-11 daripada Kerajaan Gowa, Sulawesi Selatan). Sudah tentu hubungan Malaysia dan Indonesia ini diasaskan atas faktor yang lebih istimewa dan unik. Kita harus menterjemahkan apa yang kita warisi ini sebagai legasi dalam bentuk hubungan pada konteks masa kini dan saling memberi manfaat kepada kedua-dua bangsa,” kata Najib.

Perdana Menteri juga yakin isu pertikaian sempadan maritim kedua-dua negara dapat diselesaikan, namun kedua-dua pihak harus berkompromi jika mahu mencari penyelesaian politik.-bharian

Warga Singapura serbu Johor Bahru



RAMAI  orang bertandang ke Plaza Angsana, Johor Bahru, untuk memilih  aksesori pakaian menjelang Aidilfitri.
RAMAI orang bertandang ke Plaza Angsana, Johor Bahru, untuk memilih aksesori pakaian menjelang Aidilfitri.
Orang seberang Tambak berbelanja kelengkapan Aidilfitri ketika Ramadan

SINGAPURA: Sepanjang Ramadan tahun ini, bazar di Johor Bahru (JB) dibanjiri warga Singapura yang berbondong-bondong datang berbelanja untuk membeli juadah berbuka puasa dan persiapan Hari Raya. 

Peniaga di JB berkata, penduduk Singapura rata-rata membentuk 20 peratus hingga 30 peratus daripada pengunjung keseluruhan. Bilangan mereka lebih ramai pada hujung minggu berbanding hari biasa.
“Kalau orang seberang tak sokong bazar di JB, kami tak mungkin boleh terus berniaga seperti hari ini.
“Disebabkan merekalah semakin banyak bazar Ramadan dibuka,” kata seorang peniaga pakaian di bazar di Pandan Uptown dikenali Hafiz, 35, sambil menunjukkan deretan kereta plat merah berdaftar Singapura di sekitar kawasan itu. 

Selain di Pandan Uptown, bazar Ramadan juga banyak di Kampung Melayu Majidee, Pasar dan Stadium Larkin, dekat Pasar Perling, Plaza Angsana, Taman Daya, pasar dan sekitar masjid di Bandar Baru Uda dan Giant Xtra. 

Seorang penjaja nasi beriani di bazar Ramadan belakang Perling Mall, Ali Koya Kutty, menganggarkan 40 peratus pengunjung bazar tersebut, khususnya pada Sabtu dan Ahad, adalah dari Singapura. 

“Saya kerja di Singapura selama 30 tahun, jadi saya tahu bezakan mana orang Malaysia mana orang Singapura,” katanya sambil menambah suasana Ramadan di JB begitu meriah dan hidup berbanding di Singapura yang bosan dan lesu. 
Semua penjaja JB bersetuju bahawa rakyat Singapura menyeberang Tambak kerana banyaknya pilihan, baik makanan, kuih-muih untuk berbuka puasa dan Hari Raya, pakaian tradisional, herba dan hiasan Raya. 

“Singapura mana ada kilang buat baju kurung, pakaian Muslimah, kuih-muih dan perhiasan Raya. Apa yang dijual di Singapura itu kebanyakannya dari Malaysia dan harganya mahal. 

“Baik mereka datang ke JB, banyak pilihan dan harga lebih murah daripada di Singapura,” kata penjaja kuih Raya yang hanya dikenali sebagai Ariffin ketika ditemui di Pasar Pandan. 

Di gerai Jannatul Firdaus di bazar yang sama, seorang pembantu jualannya berkata ramai peniaga Singapura membeli kuih di kedai mereka untuk dijual semula. 

“Mereka beli satu bekas 50 keping kuih makmur berharga RM25 (S$10.20), mereka jual S$15 hingga S$20 (RM37 hingga RM49.33) di Singapura,” katanya. 

Bagi juadah dan makanan pilihan orang Singapura, Hussin Yusof, 30, yang menjual nasi lemak ayam berempah di gerainya di Bandar Baru Uda, berkata: 

“Orang Singapura suka cari ikan bakar, ayam percik, lauk pauk dan kuih-muih Melayu. Mereka pentingkan kebersihan dan hanya membeli jika gerai dan sekitar bazar bersih,” katanya. – Agensi , bharian

Pengemis Siam di Kota Bharu



PENDUDUK tempatan (kiri) menghulurkan sedekah kepada  dua warga  Thailand  berhampiran Masjid Besar Muhammadi, Kota Bharu.
PENDUDUK tempatan (kiri) menghulurkan sedekah kepada dua warga Thailand berhampiran Masjid Besar Muhammadi, Kota Bharu.
Penuhi Masjid Besar Muhammadi, Padang Merdeka raih simpati

KOTA BHARU: Warga asing khasnya dari negara jiran, kini mula membanjiri bandar ini dan memenuhi Masjid Besar Muhammadi dan pekarangan Padang Merdeka, di sini, bagi mendapat sumbangan sedekah daripada umat Islam di sini. 

Sekumpulan warga asing yang kebanyakannya berusia antara 40 hingga 80 tahun itu, datang dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok sebelum menaiki 'prebet sapu' untuk ke bandar ini.
Malah, mereka sanggup meninggalkan kampung halaman masing-masing di Yala, Pathani dan Narathiwat, semata-mata untuk mencari kain pasang, kain sarung dan wang zakat yang disedekahkan umat Islam negeri ini.
Tinjauan Berita Harian ke lokasi sekitar depan Masjid Besar Muhammadi dan pekarangan Padang Merdeka mendapati kumpulan warga tua itu berkumpul di pondok yang dibina di Taman Hijau, di sini, selain tidur di tempat rehat orang awam di pekarangan Padang Merdeka, sambil merayu orang ramai menghulurkan zakat. 

Mohd Do`oh Aryahsae, 65, berasal dari Yala, ketika ditemui pada awalnya mengaku datang dari Besut, Terengganu, tetapi selepas beberapa kali ditanya sambil dihulurkan duit RM10, beliau akhirnya menunjukkan kad pengenalan sebagai penduduk negara jiran. 

“Pak cik datang setiap kali Ramadan ke Kota Bharu kerana di negara pak cik, sukar mencari duit zakat, tetapi penduduk di sini pula baik dan murah hati. 

“Mereka sanggup menghulurkan wang derma antara RM1 hingga RM10 kepada pendatang seperti pak cik yang mula datang ke bandar ini sejak dua hari puasa,” katanya sambil mendakwa mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM50 sehari sebelum diagihkan untuk bayaran sewa rumah dan upah tambang kereta yang akan membawanya ke mana-mana destinasi untuk berkunjung dari rumah ke rumah atau kedai sekitar sini. 
Bagi Asamoh Sawaeba-ngo, 57, yang kematian suami sejak lebih 20 tahun lalu, hidup sebatang kara di kampung halamannya di Narathiwat agak menyukarkan. 

“Setiap kali Ramadan, mak cik bersama beberapa kawan datang dengan teksi dari Rantau Panjang dan mencari rumah sewa di belakang masjid besar di sini, untuk mencari duit zakat. 

“Sejak hari pertama puasa, mak cik sudah mengumpulkan lebih RM300 dan wang itu boleh dibelanjakan untuk menyambut raya di Narathiwat bersama beberapa anak saudara nanti,” katanya. 

Rakannya, Sitiminoh Mareh, 56, berkata dia juga sanggup tinggal sebulan di Kota Bharu semata-mata mahu mencari rezeki dan setiap malam akan menunaikan solat tarawih di Masjid Besar, manakala tengah hari pula terpaksa merayau untuk mengutip zakat. 

“Biasanya hampir sambutan Aidilfitri nanti, lagi ramai penduduk Yala dan Narathiwat datang ke Kota Bharu, kerana di sini mudah mencari rezeki berbanding di negara mak cik,” katanya sambil mengaku sudah mengumpulkan lebih RM200 sejak 1 Ogos lalu. 

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Datuk Kamaruddin Mohd Zain, berkata pihaknya menyedari kebanjiran pengemis warga asing itu setiap Ramadan dan menjelang Aidilfitri. 

“Pengemis asing itu memasuki negeri ini dengan sindiket, malah ada di antara mereka datang berkumpulan kerana umat Islam di sini, murah hati dan sering menghulurkan derma sepanjang Ramadan untuk mencari pahala. 

“Bagaimanapun, kemurahan hati umat Islam di bandar ini menyebabkan pengemis asing itu memenuhi perkarangan masjid besar, sekali gus menjejaskan imej agama Islam,” katanya. 

Berikutan itu, katanya, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Imigresen, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) serta polis untuk menjalankan Ops Bersepadu menahan pengemis asing. -bharian

Perbelanjaan jemaah umrah cecah RM3.1 bilion

RIYADH: Bilangan jemaah yang mengerjakan umrah ketika Ramadan mencecah empat juta ketika dua minggu awal bulan puasa kali ini dan mereka berbelanja lebih SR4 bilion (RM3.1 bilion) membeli cenderamata dan hadiah, menurut perangkaan.

Semua jemaah umrah, tidak kira kerakyatan dan latar belakang, umumnya membeli hadiah berbentuk kerohanian untuk diberikan kepada saudara mara dan rakan-rakan untuk membuktikan kehadiran mereka ke Makkah dan Madinah, menurut laporan.
Antaranya termasuk Tasbih, kraftangan, sejadah dan telekung adalah pilihan utama jemaah umrah, terutama ketika Ramadan.
Keadaan ini menggalakkan peniaga bersaing menawarkan pelbagai jenis cenderamata berkualiti tinggi kepada mereka.

Seorang pakar tekstil dan peniaga, Salem Al-Ammari, berkata pelawat ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi membeli banyak telekung sebagai cenderamata dan ia melonjakkan penjualan hingga 150 peratus.

Peniaga tekstil mengimport fabrik tertentu, katanya, sambil menambah membeli telekung tidak terhad kepada pelawat tetapi juga dianggap hadiah penting untuk ditukar ganti oleh jemaah wanita ketika Ramadan.

Salem menegaskan apa yang membezakan tekstil solat tahun ini ialah ia lebih mesra alam, dan dihasilkan daripada serat semula jadi yang membolehkan udara menembusinya dan mengelakkan masalah kulit yang mungkin terjadi apabila kulit tersentuh dengan fabrik tertentu ketika bersolat.
Peningkatan bilangan jemaah umrah dan penjualan, menurut pakar ekonomi, bukan hanya membuka peluang pelaburan dalam pasaran pelancongan berasaskan agama, tetapi juga turut membantu membina semula konsep ekonomi agama untuk menekankan kepentingan tempat dan kualiti serta kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan. – Agensi -bharian

Lelaki samun kafe siber mati ditembak



Seorang lagi cedera di paha larikan diri ditahan polis sejam kemudian

KUALA LUMPUR: Cubaan dua lelaki menyamun sebuah kafe siber di Jalan Welfare, Kampung Baru Sungai Buloh, gagal apabila seorang daripada mereka ditembak mati polis yang berada dalam premis sama, pagi semalam. 

Rakan suspek yang melarikan diri selepas turut terkena tembakan dan cedera di paha dan kaki ditahan di Damansara Damai dekat sini, kira-kira sejam kemudian.
Kedua-dua suspek bersenjatakan sepucuk pistol jenis Glock dilaporkan memasuki pintu belakang premis itu sebelum menuju ke arah kaunter dan cuba menyamun wang tunai dalam kejadian jam 6.45 pagi. Kebetulan, dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor yang sedang menjalankan ‘Ops Rantau’ bagi mengesan kumpulan geng samun lain turut berada dalam premis itu.

Terkejut dengan tindakan suspek yang mengacukan pistol ke arah pekerja premis kafe siber itu, anggota polis cuba memujuk mereka, namun suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis terbabit. 

Berikutan itu, polis terpaksa melepas tembakan balas dan menembak mati suspek berusia 20-an, manakala rakannya dipercayai melarikan diri dengan menaiki kereta Naza Citra. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata susulan kejadian itu polis melancarkan gerakan mengesan suspek berusia awal 30-an yang melarikan diri walaupun terkena tembakan di kaki dan menahannya di Damansara Damai, sejam kemudian. -bharian

Pasangan ‘bersahur’ kena cekup

Kakitangan Pejabat Agama Daerah serbu hotel murah di Kuah
ALOR SETAR: Empat remaja, termasuk dua daripadanya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa bermalam di lokap selepas dicekup berkhalwat dalam sebuah bilik hotel murah di Kuah, Langkawi, awal pagi kelmarin. 

Tindakan berani dua remaja lelaki berusia 15 tahun itu membawa pasangan mereka yang setahun lebih tua menyewa di hotel itu dengan alasan hanya untuk bersahur sebenarnya membongkar kegiatan maksiat mereka.

Dua remaja lelaki itu adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Kuah, Langkawi, manakala pasangan mereka pula tidak bersekolah.
Pegawai Penyiasat Pejabat Agama Daerah Langkawi, Muhammad Hidayat Halim, berkata dalam serbuan jam 3.45 pagi kelmarin, sepasukan anggotanya membuat pemeriksaan di hotel itu selepas mendapat maklumat awam. 

Katanya, pasangan remaja itu agak berani kerana sanggup menyewa hotel yang hanya bersebelahan dengan pejabat agama daerah. 

Beliau berkata, ketika anggota penguat kuasa mengetuk pintu dan memberi salam berulang kali seorang remaja perempuan yang hanya memakai tuala dalam keadaan panik dan takut membuka pintu. 

"Pemeriksaan menemui pasangannya yang hanya berseluar pendek dan pemeriksaan lanjut menemui seluar dalam mereka di tepi katil. Kedua-dua remaja itu mengaku baru selesai melakukan hubungan seks," katanya. 
Muhammad Hidayat berkata, hasil pemeriksaan turut menemui sepasang lagi kekasih berpakaian lengkap dan dipercayai baru bangun tidur terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa berada di bilik berkenaan. 

Ketika disoal siasat kedua-dua remaja perempuan itu mengaku bekerja di sebuah kafe di Langkawi dan baru berkenalan dengan pelajar lelaki terbabit. 

"Mereka yang berasal dari Langkawi, mengaku menyewa hotel semata-mata untuk melakukan hubungan seks," katanya. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. bharian

Anak trauma ayah lemas depan mata





2011/08/22

NORHAFIZAH dan Mohd Ilham  sedih dengan pemergian arwah yang lemas  
di Sungai Sadong,   Kuching, semalam.
NORHAFIZAH dan Mohd Ilham sedih dengan pemergian arwah yang lemas di Sungai Sadong, Kuching, semalam.
KUCHING: “Saya tak mahu baju raya, saya mahu ayah kembali,” kata Mohd Ilham Maulana, 8, yang melihat sendiri ayahnya, Sentang Jahri, 42, lemas selepas perahu yang dinaiki dua beranak itu karam di Sungai Sadong, berdekatan Kampung Munggu Kupi, Serian, dekat sini, petang kelmarin. 

Dalam kejadian jam 3 petang itu, dua beranak dari Kampung Tanah Puteh dalam perjalanan menghantar hampas padi untuk dijual di Serian sebelum perahu dinaiki terlanggar kayu hanyut di kawasan sungai yang terkenal dengan buaya ganas.
Mohd Ilham yang melihat ayahnya terkapai-kapai, cuba membantu dengan terjun ke sungai, namun tidak berdaya menyebabkan dia turut hanyut hampir dua jam sebelum ditemui penduduk kampung tersangkut pada dahan pokok di tebing sungai.
Ilham yang masih dalam trauma berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dengan dia hanya sempat melihat tangan ayahnya terkapai-kapai sebelum hilang kerana dia sendiri tidak mahir berenang bagi membantu orang tuanya yang sedang lemas. 

“Ayah berjanji mahu membawa kami sekeluarga membeli baju raya hari ini (semalam) selepas dapat duit menjual hampas padi tetapi sekarang saya tidak mahu baju raya, saya mahu ayah pulang dengan selamat. 

“Saya cuba membantu menarik ayah tetapi tidak sempat mencapai tangannya dengan saya kemudian dibawa arus dan tersangkut pada dahan pokok hampir dua jam sebelum diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan lalu," katanya dalam tangisan kepada Berita Harian di sini, semalam. 

Isteri mangsa, Norhafizah Abdullah, 37, berkata menjadi kebiasaan suaminya ke Serian untuk menjual sayur atau hampas dengan dia merancang menggunakan wang hasil jualan bagi membeli persiapan menyambut Aidilfitri. 
“Sepatutnya kami ke pekan hari ini (semalam) bagi membeli pakaian anak-anak dan barangan lain, tetapi anak-anak kini terpaksa menunggu jenazah ayah mereka dengan yang paling sedih adalah Mohd Ilham yang tidak berhenti menangis. 

“Saya tidak menyangka panggilan telefon meminta saya pulang segera ke rumah selepas pergi menziarahi keluarga di Balai Ringin malam Jumaat lalu, adalah permintaan terakhir suami sebelum dia lemas,” katanya yang mempunyai lima anak berusia antara lapan hingga 17 tahun. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serian, Suharto Lamat, berkata pasukan penyelamat yang disertai anggota polis, bomba, RELA serta penduduk kampung berjaya menemui mayat mangsa tersangkut pada dahan pokok pada jam 5 petang semalam, tidak jauh dari lokasi dia dikatakan terjatuh. 

“Kami dimaklumkan mengenai kejadian jam 6 petang semalam (kelmarin) dengan seramai lapan anggota bomba terbabit dalam operasi mencari dengan kita berjaya menemui mayat mangsa kira-kira lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang. 
“Mayat mangsa dalam keadaan sempurna menandakan ia tidak diganggu buaya dengan jenazah kemudian dihantar ke Hospital Serian bagi pengesahan lanjut,” katanya ketika dihubungi. -bharian

Gaddafi gesa penduduk 'bersihkan' Tripoli

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, menggesa penduduk Tripoli "membersihkan ibu negara" selepas pemberontak menawan beberapa bahagian bandaraya itu dalam usaha menjatuhkan beliau.

"Kita perlu keluar dan bersihkan ibu negara...tiada tempat untuk ejen dan penjajah di Tripoli dan Libya. Pulang ke tempat asal kamu," katanya dalam kenyataan audio yang disiarkan televisyen Liya. - Reuters-bharian

Rejim Gaddafi sedang runtuh: NATO

BRUSSELS: Pemerintahan 42 tahun Muammar Gaddafi di Libya "jelas sedang runtuh", kata Setiausaha Agung NATO, Jeneral Anders Fogh Rasmussen, awal hari ini ketika puak pemberontak melancarkan serangan sengit di jalanan untuk menawan Tripoli.

“Rejim Gaddafi jelas sedang runtuh. Lebih cepat Gaddafi sedar beliau tidak boleh memenangi pertempuran dengan rakyatnya, lebih baik supaya rakya Libya tidak lagi menumpahkan darah dan menderita," katanya dalam satu kenyataan. - AFP-bharian

Novelis Azizi Abdullah meninggal dunia





GEORGE TOWN – Novelis terkenal, Azizi Abdullah (gambar) meninggal dunia pagi semalam setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lepas.
Penolong Editor Utusan Pengguna, Mohd. Ridzuan Mohamad ketika dihubungi berkata, Azizi, 69, meninggal dunia pukul 7.50 pagi di hospital itu.-kosmo

Isteri hamil 7 bulan maut nahas



KEADAAN kereta Perodua Myvi milik Mohd. Nor Idham yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan isterinya, Noor Edlina (gambar kecil) terbunuh di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan kelmarin.


PEKAN – Kegembiraan seorang inspektor polis untuk membuat kejutan pulang berbuka puasa di rumah ibunya bertukar sedih apabila isterinya yang mengandung tujuh bulan maut nahas di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Segamat di sini.
Kedua-dua suami isteri itu terlibat nahas ketika dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke rumah ibu Mohd. Nor Idham di Kluang, Johor dalam kejadian pukul 3.30 petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, yang mengandung anak sulung berusia tujuh bulan disahkan maut di tempat kejadian manakala suaminya, Mohd. Nor Idham Ali Mat Nor, 27, cedera ringan.
Ibu mertua mangsa, Salbiah Abdullah, 50, berkata, dia diberitahu anak ketiganya, Norlidaya, 22, mengenai niat menantunya itu berpakat dengan ipar duai yang lain untuk membuat kejutan pulang berbuka puasa bersamanya di Taman Sri Kluang dekat Kluang.
“Anak dan menantu saya bekerja di Kota Bharu. Sebelum ini, mereka beritahu tak dapat pulang berhari raya di Johor atas sebab Noor Edlina perlu bertugas pada hari raya nanti.
“Terharu selepas dapat tahu mereka merancang dalam diam untuk berbuka puasa dengan saya, tetapi semua perancangan berakhir dalam pilu,” cerita Salbiah semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini malam kelmarin.-kosmo

Pantang maut sebelum ajal




KAWASAN Jalan Bukit Putus, Kuala Pilah yang menjadi tempat Arman Shah dicampak dalam hutan selepas ditikam lapan kali Khamis lalu.


KUALA PILAH – Berpantang maut sebelum ajal! Begitulah yang terjadi kepada seorang lelaki berusia 29 tahun yang masih bernyawa walaupun ditikam sebanyak lapan kali di badannya sebelum dicampak di dalam hutan di Jalan Bukit Putus di sini pada Khamis lalu.
Lebih mengejutkan apabila lelaki terbabit yang tersedar dari pengsan pada pagi Jumaat lalu itu masih berupaya berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum diselamatkan oleh orang ramai di Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam.
Sumber berkata, lelaki dikenali sebagai Arman Shah itu diselamatkan oleh orang ramai yang menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan separuh sedar sebelum menghubungi ambulans.
“Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dekat sini dan kakitangan di wad kecemasan terkejut selepas mendapati lelaki itu masih hidup walaupun terdapat lapan kesan tikaman pada badannya.
“Mangsa sempat menceritakan yang dia tidak sedarkan diri selepas diserang dua lelaki yang dikenalinya dengan menggunakan pisau pada petang Khamis lalu di Bahau, dekat sini,” katanya di sini semalam.-kosmo

Jangan tertipu kurma RM1



PERBEZAAN kurma tiruan (kiri) dan kurma asli yang kelihatan segar.


GEORGE TOWN – Permintaan tinggi buah kurma semasa bulan Ramadan menyaksikan ada segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menjual buah kurma yang dicampur dengan bahan pemanis.
Kebiasaannya, cara ini diamalkan oleh peniaga yang menjual buah kurma secara pukal atau timbang dengan harga yang lebih rendah.
Difahamkan, peniaga atau pemborong ini mengimport buah kurma yang berkualiti rendah secara pukal sebelum diproses bagi membolehkan buah kurma ini dijual semula.
Kosmo! diberitahu, buah-buah kurma ini digaul dengan gula merah dan disimpan beberapa lama untuk sebati sebelum dicampur semula dengan buah kurma kualiti sederhana.
“Hasilnya, buah kurma kualiti rendah ini akan terasa manis seperti kurma sebenar (buah kurma yang berkualiti baik) tapi sebenarnya ia telah dicampur gula merah.
“Buah kurma jenis ini dijual secara timbang dan banyak dijual di kedai-kedai runcit atau gerai kaki lima sepanjang Ramadan,” ujar sumber yang memberitahu pernah mempraktikkan kaedah tersebut.-kosmo

Hasrat tunaikan umrah berkecai



ROHAIZA dan Muhammad Bahauddin terpaksa pulang semula ke rumah selepas nama tiada dalam senarai penerbangan ke Mekah di KLIA semalam.


KUALA LUMPUR – Hasrat dua beranak untuk menunaikan ibadah puasa 10 hari terakhir serta menyambut Aidilfitri di Mekah berkecai apabila kedua-dua mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen syarikat pengurusan umrah yang beroperasi di Wangsa Maju di sini.
Muhammad Bahauddin Arif Karkhi, 26, dan ibunya, Rohaiza Yaacob, 46, mendakwa, mereka hanya menyedari penipuan itu apabila mendapati nama mereka tiada dalam senarai penumpang umrah penerbangan Saudi Arabian Airlines yang sepatutnya berlepas petang semalam.
Muhammad Bahauddin berkata, ejen terbabit memberitahu bahawa dia dan ibunya sepatutnya berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada pukul 3 petang semalam.

Guna seluar dalam rompak kedai




SEORANG perompak menggunakan sehelai seluar dalam berwarna putih untuk menutup wajahnya semasa dia merompak di sebuah kedai serbaneka di Dallas pada Sabtu lalu.


DALLAS, Amerika Syarikat - Seorang perompak menggunakan seluar dalam untuk menutup wajahnya semasa dia merompak di sebuah kedai di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Polis kini sedang memburu lelaki berkenaan selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyiarkan aksi lelaki tersebut merompak sebuah kedai serbaneka.
Rompakan itu berlaku pada Selasa lalu dan dia meminta lelaki di kaunter pembayaran menyerahkan kepadanya sejumlah wang tunai.
Perompak itu menggunakan sehelai seluar dalam berwarna putih dan pakaian lain untuk menutup wajahnya semasa dia merompak. - Agensi

CCTV rakam kumpulan perusuh mencuri skuter




PENUNGGANG skuter itu kemudian terjatuh.


CROYDON, selatan London - Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan detik-detik sekumpulan samseng mencuri sebuah skuter yang ditunggang pemiliknya di sini baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku semasa rusuhan yang melanda London ekoran kematian seorang suspek penjenayah, Mark Duggan yang ditembak mati oleh polis.
Dalam kejadian itu, pemilik skuter tersebut pada mulanya berunding dengan sekumpulan samseng yang merusuh di sebatang jalan raya.
Pemilik skuter itu kemudian memecut tetapi dia dikejar oleh beberapa perusuh.
Sorang perusuh itu menarik leher pemilik skuter tersebut menyebabkan dia terjatuh.
Dia kemudian diheret oleh seorang perusuh ke tepi jalan manakala seorang perusuh lain melarikan skuter tersebut.
Detik-detik perusuh itu melarikan skuter tersebut telah dimuat naik ke laman YouTube. - Agensi

Gaddafi akan tumbang menjelang hari raya




BEBERAPA pemberontak berlari untuk menyelamatkan diri semasa menentang tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi dekat hutan Gadayem, barat Tripoli semalam.



TRIPOLI – Kumpulan pemberontak lewat kelmarin melancarkan serangan mortar ke Tripoli yang menjadi tempat persembunyian pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Serangan itu yang pertama kali dilancarkan buat pertama kali ke atas Tripoli oleh pemberontak. Pergolakan di Libya bermula apabila kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Gaddafi yang berkuasa selama 42 tahun berlaku sejak Februari lalu.
Wartawan-wartawan agensi berita Associated Press melaporkan mereka mendengar bunyi senjata api dan letupan di Tripoli.
Pertempuran sengit juga berlaku beberapa jam selepas kumpulan pemberontak menawan bandar Zawiya berdekatan dengan bandar ini.
Jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menyertai serangan dengan melakukan pengeboman selepas malam menjelma.
“Kami merancang operasi ke atas Tripoli bersama NATO, sekutu-sekutu Arab kami dan para pejuang pemberontak di Tripoli dengan barisan komander pemberontak di Benghazi,” kata ketua Majlis Peralihan Kebangsaan NTC, Mustafa Abdel-Jalil dalam wawancara bersama wartawan stesen televisyen satelit Al-Jazeera.
Mustafa memberitahu, mereka memilih untuk melancarkan serangan ke atas bandar raya ini pada hari ke-20 umat Islam berpuasa iaitu kelmarin.
Tarikh tersebut katanya sinonim dengan peristiwa perang Badar apabila orang Islam pertama kali berperang untuk menawan kota Mekah.
Namun, selepas serangan itu kelmarin, suasana di bandar Tripoli senyap seketika semalam.
Bagaimanapun, kumpulan pemberontak dikatakan mula mengepung Tripoli semasa sejumlah anggota-anggota pemberontak mara ke ibu kota Libya tersebut dalam usaha mereka untuk menumbangkan Gaddafi.
Kemaraan para pemberontak itu akan menyebabkan Gaddafi dijangka tumbang pada penghujung bulan Ramadan.
Ketua NTC di Britain, Dr. Guma el-Gamaty berkata, kemenangan akan berpihak kepada pemberontak tidak lama lagi kerana rakyat Libya kini sedar bahawa rejim Gaddafi telah hilang kuasa dan pengaruh.
Dr. Guma turut memberitahu bahawa pilihan masih terbuka kepada pemimpin berusia 69 tahun itu untuk meninggalkan Libya dan mencari imuniti di negara-negara Arab. – Agensi
-kosmo