Pages

Thursday, March 3, 2011

'Libya akan bermandi darah'


Foto
GADDAFI menghadiri satu upacara yang dianjur penyokong bagi memperingati 34 tahun 'kuasa rakyat' di Tripoli, semalam.



2011/03/03



  • Foto
    SEORANG lelaki memanjat tembok untuk mengelak daripada dipijak ketika beribu-ribu orang cuba menyeberang masuk ke Tunisia, di sempadan Ras Jedir, Libya semalam.
  • Foto
    GADDAFI menghadiri satu upacara yang dianjur penyokong bagi memperingati 34 tahun 'kuasa rakyat' di Tripoli, semalam.
Gaddafi beri amaran jika Barat campur tangan bantu pemberontak

TRIPOLI: Pemimpin Libya Muammar Gaddafi memberi amaran "beribu-ribu rakyat Libya akan mati" jika negara Barat campur tangan untuk membantu pemberontakan terhadapnya.
Berdepan dengan kebangkitan rakyat terhadap pemerintahannya selama 41 tahun, Gaddafi berkata beliau akan melancarkan “perang yang banyak menumpahkan darah.”
Bercakap kepada penyokongnya di sini yang disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan, pemimpin kuku besi berusia 65 tahun itu, berkata pemberontakan terhadapnya hanyalah bertujuan menguasai tanah dan sumber minyak Libya.

“Kami akan berjuang sehingga ke lelaki dan wanita terakhir untuk mempertahankan negara,” katanya dalam ucapan yang disambut dengan laungan sokongan terhadapnya.
Gaddafi menafikan pemberontak mengadakan tunjuk perasaan secara aman sejak ia bermula 15 Februari lalu, diilhamkan oleh kejayaan rakyat Mesir menggulingkan Hosni Mubarak.

“Anggota sel rahsia Al-Qaeda, sudah menyelusup masuk secara perlahan-lahan. Mereka menganggap dunia ini milik mereka. Mereka berjuang di mana-mana dan perkhidmatan risikan mengenali nama mereka.
“Secara mengejut bantahan bermula di (bandar timur) Al-Baida... Sel rahsia ini diberi arahan agar menyerang batalion tentera di sana dan merampas senjata dari balai polis.

“Anggota tentera pulang ke rumah dan meninggalkan pangkalan batalion mereka. Sel Al-Qaeda ini merampas senjata dan menguasai pekan itu.

“Keadaan yang sama berlaku di Benghazi, satu lagi bandar dikuasai pemberontak.”

Majlis berkenaan diadakan sejurus selepas kumpulan pemberontak mengumumkan mereka berhasil mematahkan serangan balas tentera yang setia kepada Gaddafi di pekan timur Brega.

Seorang wanita bertudung dengan jubah hitam bangun untuk menjerit: “Anda adalah pedang kami yang tidak akan patah.”

Gaddafi mengecam laporan media yang menyiarkan peletakan jawatan pegawai tentera dan duta Libya.

“Jangan percaya laporan itu... tidak ada apa-apa yang berlaku,” kataya.
Sementara itu, di BRUSSELS , beberapa negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang membuat persiapan rancangan mengenakan zon larangan penerbangan di ruang udara Libya, berdasarkan langkah sama ke atas ruang udara Balkan pada 1990-an.

NATO berkata, langkah itu akan hanya dilaksanakan jika mendapat mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Langkah mengenakan zon larangan terbang itu adalah untuk menghalang Gaddafi daripada melancarkan serangan udara ke atas kedudukan pemberontak. – AFP

INFO: Krisis Libya

  • OIC, Britain Perancis semalam melancar operasi bantuan pelarian



  • Lebih 140,000 pelarian merentasi sempadan Tunisia dan Mesir melarikan diri dari Libya.



  • OIC memasang dua hospital lapangan dan menyediakan ambulans di sempadan Tunisia dan Mesir.



  • Perancis menghantar kapal tentera laut untuk membawa pulang 5,000 warga Mesir


  • Berita Harian Online

    Rasulullah SAW Insan paling sempurna


    http://ensiklopedinabimuhammadsaw.files.wordpress.com/2010/05/ensiklopedi-muhammad-saw3.jpg?w=326&h=295
    Nabi Muhammad s.a.w. meskipun sama kejadiannya dengan manusia lain di muka bumi ini, namun bentuk lahiriah dan rohaniahnya tidak sama. Baginda mempunyai keistimewaan yang sama sekali tidak terdapat pada manusia-manusia biasa.
    Sebagai manusia yang terbaik di muka bumi ini, Baginda dianugerahkan dengan keperibadian dan perwatakan yang istimewa kerana padanyalah terdapat contoh untuk diteladani.
    Umum mengetahui keadaan yang zahir adalah gambaran yang terjelma dari unsur-unsur batin. Rupa paras seseorang boleh membantu menjelaskan keperibadian setiap individu. Ciri-ciri seperti bentuk badan, sifat fizikal dan rupa bentuk anggota adalah menggambarkan tentang akal dan akhlak seseorang. Begitulah dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang mempunyai bentuk badan yang indah dan segak, namun tidak dapat digambarkan oleh mana-mana pelukis potret di dunia ini. Allah mengharamkan penggambaran potret Baginda oleh sesiapa saja. Sungguhpun begitu sifat-sifat kecantikan baginda masih boleh diillusikan melalui pertuturan dan riwayat para sahabat dan tabi’in.
    Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda. Ulama Yahudi berkenaan terpukau dengan raut paras dan akhlak baginda yang sudah tentunya milik seorang Rasul Agung di muka bumi ini.
    Para sahabat yang sentiasa bersamanya sentiasa meneliti bentuk tubuh tokoh kesayangannya secara terperinci. Di antara kata-kata appresiasi mereka yang pernah melihat baginda s.a.w. :
    Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah. Aku melihat cahaya memancar dari lidahnya.
    Seandainya kamu melihat Rasulullah, kamu akan merasa seolah-olah sedang melihat matahari terbit.
    Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w. di bawah sinaran bulan. Aku bandingkan wajahnya dengan bulan, akhirnya aku sedari bahawa Rasulullah s.a.w. jauh lebih cantik daripada sinaran bulan.
    Rasulullah s.a.w. seumpama matahari yang bersinar. Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah s.a.w.
    Apabila Rasulullah s.a.w. berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama dan dari situ kami mengetahui yang baginda sedang gembira.
    Kali pertama memandangnya, sudah tentu kamu akan terpesona
    Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat
    Wajahnya seperti bulan purnama
    Dahi Baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
    Mata Baginda hitam dengan bulu mata yang panjang
    Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
    Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
    Mulut baginda sederhana luas dan cantik
    Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
    Apabila berkata-kata cahaya kelihatan memancar dari giginya
    Janggutnya penuh dan tebal menawan
    Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak sangat indah.
    Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya
    Rambutnya sedikit ikal
    Rambutnya tebal kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu tapi disisir rapi
    Rambutnya terbelah di tengah
    Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat
    Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa
    Seimbang antara kedua bahunya
    Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya , jarinya juga besar dan tersusun dengan cantik
    Aku tidak pernah menyentuh sebarang sutera yang tipis mahupun tebal yang lebih lembut daripada tapak tangan Rasulullah s.a.w.
    Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik. kakinya berisi, di tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air. Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
    Warna kulitnya tidak putih seperti kapur atau coklat tapi campuran antara coklat dan putih. Warna putihnya lebih banyak.
    Warna kulit Baginda putih kemerah-merahan
    Warna kulitnya putih tapi sehat
    Kulitnya putih lagi bercahaya
    Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh
    Badannya tidak gemuk
    Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak
    Perutnya tidak buncit
    Badannya cenderung kepada tinggi. Semasa berada di kalangan orang ramai, baginda kelihatan lebih tinggi daripada mereka
    Sekalipun baginda miskin dan lapar tapi tubuhnya lebih gagah dan sihat daripada orang yang cukup makan.Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih gagah dan berani daripada Rasulullah s.a.w.
    Begitu hebat personaliti dan ketokohan Baginda s.a.w., makhluk terpuji dan teragung di muka bumi. Kesimpulannya Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman.
    Moral & Iktibar

    Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia terbaik pilihan Allah.
    Sifatnya yang terpuji merangkumi aspek fizikal dan rohani.
    Atas sifatnya yang superior inilah baginda dilantik menjadi pemimpin seluruh manusia di dunia ini.
    Baginda adalah manusia mithali yang serba lengkap dan serba kamil dan layaklah baginda tidak disentuh sebarang dosa lagi bersifat dengan maksum.
    Kepimpinan Baginda sepatutnya menjadi contoh teladan kepada semua manusia di muka bumi ini. Barangsiapa mentaati Allah tanpa mengakui kerasulan Nabi s.a.w., nescaya Allah tidak menerima keimanannya.

    KEISTIMEWAAN PEMBACA DAN PENGHAFAZ AL-QURAN


    • Syafaat 10 anggota keluarga ke syurga.
    Dari Ali bin Abu Talib, katanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Barang siapa membaca al-quran dan menghafalnya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberi hak syafaat kepadanya untuk sepuluh anggota keluarganya, mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk syurga."(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi).
    • Berada dalam rahmat Allah.
    Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperolehi ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah dalam kalangan para malaikat (yang di langit) " (Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud).
    • Diberi ganjaran pahala mengikut setiap huruf yang dibacanya dengan balasan pahala yang berlipat kali ganda.
    Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. ; katanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:"Barang siapa membaca satu huruf dari kitab Allah ( al-Quran), maka dia akan memperolehi pahala satu kebajikan dan setiap satu pahala itu digandakan sepuluh kali. Aku tidak mengatakan bahawa Alif, Lam, Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu adalah satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Riwayat At-Tirmizi dan Ad-Darimi)
    • Dianggap sebagai keluarga kesayangan Allah.
    Disabdakan oleh Rasulullah s.a.w ,dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga yang terdiri daripada makhluk manusia. "Lalu Rasulullah ditanya:"Siapakah mereka itu wahai Rasulullah s.a.w.? "Jawab baginda: "Mereka adalah keluarga Allah dan orang istimewa bagi-Nya."(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ad-Darimi, Al-Hakim dan An-Nasaie).
    • Al-Quran sendiri akan memberi syafaat kepada pembaca dan penggemarnya di hari kiamat.
    Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. katanya: Aku mandengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat bagaikan pemberi syafaat kepada tuannya. "(Hadis riwayat muslim)
    • Dipakaikan mahkota pada hari kiamat.
    Daripada Mu'az bin Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya, Allah akan memakaikan ibu bapanya dengan mahkota pada hari kiamat kelak.Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah yang ada di dunia. Maka apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperoleh oleh orang yang membacanya sendiri?" (Hadis riwayat Abu Daud)

    Itali bimbang dibanjiri pendatang

    myMetro


    ROME: Menteri Dalam Negeri Itali, Roberto Maroni semalam mengulangi amaran, sebahagian daripada kira-kira 1.5 juta orang yang cuba meninggalkan Libya mungkin menuju ke negara itu.

    “Ada di kalangan mereka yang melarikan diri ke barat (Tunisia) dan ada yang ke timur (Mesir). “Tetapi selepas ini, saya menjangka mereka akan menuju ke utara, ke arah Itali,” kata menteri itu kepada Parlimen.


    Lebih 100,000 orang sudahpun meninggalkan Libya bagi mengelak keganasan di negara itu yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 100,000 nyawa, mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Maroni, anggota Parti Liga Utara yang antipendatang, sebelum ini memberi amaran serupa ketika bermesyarat dengan Menteri Luar Kesatuan Eropah minggu lalu.


    Terdapat peningkatan dalam kedatangan pendatang di Itali sejak revolusi di Tunisia bermula Januari lalu dan pemberontakan yang melanda Mesir pada Februari.


    Itali sudahpun membenarkan kemasukan 6,000 pendatang dari Tunisia sejak awal tahun ini. - AFP"

    2 kapal perang AS semakin hampiri pantai Libya

    myMetro


    KAHERAH: Pegawai Mesir semalam berkata, dua kapal perang Amerika Syarikat sudah memasuki Terusan Suez dalam perjalanan ke Meditteranean, menghampiri pantai Libya selepas diarah oleh Setiausaha Pertahanan, Robert Gates.

    Menurut pegawai berkenaan, kapal penggempur amfibia, USS Kearsarge dan USS Ponce memasuki terusan itu pagi semalam dari Laut Merah.


    USS Kearsarge dikatakan membawa 42 helikopter bersama-samanya.

    Gates sebelum ini berkata, beliau mengarahkan kedua-dua kapal berkenaan belayar ke Meditteranean dan turut mengerah 400 anggota marin untuk bersama-sama kapal itu bagi mengganti anggota tentera yang meninggalkan Afghanistan baru-baru ini. - Reuters"

    Iran bantah campur tangan tentera asing

    myMetro


    TEHERAN: Iran semalam memberi amaran kepada Barat supaya tidak menggunakan tindakan ketenteraan dalam usaha menggulingkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

    Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast berkata, tindakan seumpama itu hanya akan menjadikan negara itu pangkalan tentera Barat. Ramin mengecam keganasan yang dilakukan penyokong setia Gaddafi terhadap penunjuk perasaan tetapi berkata, ia bukan alasan untuk membolehkan negara lain campur tangan.


    “Mereka (negara Barat) tidak boleh mencuba untuk mengubah negara lain menjadi pangkalan tentera,” katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa Barat, termasuk Amerikan Syarikat menimbang untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap rejim Gaddafi. - AP"

    Tentera Gaddafi gagal lagi


    POSTER Muammar Gaddafi, antara satu yang diedarkan kepada orang ramai yang berkumpul untuk melihat sebuah trak terbakar di Tripoli, dijulang oleh seorang lelaki.
    POSTER Muammar Gaddafi, antara satu yang diedarkan kepada orang ramai yang berkumpul untuk melihat sebuah trak terbakar di Tripoli, dijulang oleh seorang lelaki.


    AJDABIYA: Pemberontak Libya semalam berkata, mereka mematahkan serangan oleh tentera Muammar Gaddafi di Brega, bandar di timur negara itu. Menurut saksi, dua orang terbunuh dalam pertempuran itu.
    Perkembangan terbaru itu berlaku ketika rejim Gaddafi melancarkan serangan udara terhadap bandar Ajdabiya yang terletak berhampiran Brega yang turut dikuasai oleh kumpulan penentang.

    Dalam serangan balas besar-besaran, tentera Gaddafi yang menggunakan kereta kebal dan senjata berat, menyerang Brega, 200 kilometer ke barat daya Benghazi, menyebabkan pertempuran sengit berlaku.

    Pesawat tentera Libya juga melancarkan serangan udara terhadap Ajdabiya, 40 kilometer dari Brega, mensasarkan pangkalan tentera yang kini di bawah penguasaan penentang.

    “Brega kini di bawah penguasaan penuh penyokong revolusi. Penduduk Ajdabiya turut berada di bandar itu untuk membantu mempertahankannya,” kata seorang pegawai kanan polis di Ajdabiya.


    Pejuang dari Ajdabiya, Mehdi Suleiman berkata, tentera Gaddafi melancarkan serangan dalam usaha menawan semula bandar itu tetapi kini mereka berundur.

    “Bagaimanapun, beberapa tentera upahan masih bertempur dengan pemberontak,” katanya.

    Terdahulu, seorang penduduk Brega yang dihubungi menerusi telefon berkata, tentera Gaddafi memasuki bandar itu dan pertempuran sengit meletus di pelabuhan.

    Menurut Ayman al-Moghrabi, doktor di Ajdabiya, serangan bermula tengah malam semalam.

    “Mereka menyerang lapangan terbang di Brega dan bertempur dengan pemberontak,” kata doktor itu.


    Sementara itu di Ajdabiya, seorang saksi berkata, pesawat tentera Gaddafi mengebom tempat simpanan senjata yang turut menjadi sasaran serangan dua hari lalu.


    Bagaimanapun, seorang penduduk lain berkata, serangan semalam tertumpu pada pangkalan tentera yang terletak tiga kilometer dari bandar berkenaan.


    “Mereka mengebom pangkalan tentera El Haniya. Tetapi ia gagal menepati sasaran. Tidak ada yang cedera kerana ia terkena kawasan lapang di luar pangkalan tentera itu,” kata penduduk berkenaan. - AFPmyMetro

    Mesir siasat lagi tiga ahli politik



    KAHERAH 2 Mac – Pendakwa raya Mesir akan menyiasat tiga lagi ahli politik berpengaruh negara ini berhubung dakwaan rasuah selepas rakyat mendesak pegawai-pegawai dihukum kerana jenayah itu, lapor agensi berita MENA semalam.
    Mereka yang akan disiasat ialah bekas Speaker Parlimen Mesir, Fathi Sorour; bekas Setiausaha Agung Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), Safwat el-Sherif; dan bekas Ketua Turus Presiden, Zakaria Azmi.
    MENA bagaimanapun tidak menjelaskan dakwaan terlibat.
    “Pendakwa raya telah mengarahkan Pertubuhan Audit Pusat, Lembaga Penyeliaan Tadbir dan Jabatan Siasatan Dana Awam diberitahu tentang dakwaan-dakwaan ini supaya ia boleh disiasat,” lapor MENA.
    Pendakwa raya telah memulakan siasatan rasuah terhadap bekas-bekas pegawai dan ahli perniagaan sejak pemberontakan yang menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak tercetus pada 25 Januari lalu.
    Sementara itu, pemerintah tentera Mesir dilapor telah bertemu pemimpin-pemimpin utama negara termasuk reformis Mohamed ElBaradei dan bekas ketua Liga Arab, Amr Moussa bagi membincangkan rancangan peralihan kuasa kepada pemerintahan rakyat.
    Pertemuan semalam itu diketuai Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir, Hussein Tantawi. Majlis tersebut diberi mandat memerintah Mesir selepas Mubarak meletak jawatan selepas pemberontakan besar-besaran selama 18 hari.
    Majlis itu juga telah mengarahkan pindaan Perlembagaan yang akan membenarkan peralihan kuasa kepada pemerintahan rakyat.
    Bagaimanapun perubahan itu dikritik sebahagian pembangkang dan banyak pihak berkata adalah terlalu awal untuk mengadakan pilihan raya Presiden. – AgensiUtusan Malaysia Online - Luar Negara

    Situasi di Christchurch masih sukar




    PASUKAN pencari dan penyelamat berusaha mencari mangsa terselamat dalam runtuhan bangunan stesen televisyen Canterbury Television (CTV) di Christchurch, New Zealand, kelmarin. - AFP


    CHRISTCHURCH 2 Mac - Angin kencang menyebabkan kepulan awan debu yang teruk di kawasan yang dilanda gempa bumi sebelum ini dimana para pegawai mempertahankan piawaian bangunan di bandar yang telah musnah itu.
    Tiupan angin kencang selaku 70 kilometer sejam memukul pekerja-pekerja keselamatan yang berada di kawasan runtuhan yang terletak di bandar kedua terbesar New Zealand, menghalang kerja pencarian mayat.
    "Keadaan semakin sukar, angin kencang meniup dan sangat berdebu di tengah bandar menyebabkan usaha menyelamatkan semakin sukar," ujar Komander Polis Daerah, Dave Cliff.
    Angin tersebut meniupkan anggaran 200,000 tan gelodak dan pasir dari tanah selepas gempa bumi kuat yang berlaku pada 22 Februari lalu melonggarkan ikatan antara zarah tanah dalam proses yang digelar pencairan.
    Pasukan mencari dan menyelamat mengenakan alat pernafasan sambil membongkar kawasan runtuhan sementara bekalan topeng muka yang disimpan stok di seluruh negara dihantar ke penduduk Christchurch.
    Jumlah kematian daripada gempa bumi 6.3 pada skala Richter yang berlaku minggu lalu kini seramai 159 orang dan polis menjangka ia akan melebihi 240.
    Pasukan penyelamat turut mengaku mereka tidak mengharap untuk menemui mangsa yang terselamat atas gegaran yang teruk tersebut.
    Sehingga satu pertiga bangunan di tengah-tengah bandar tersebut mungkin roboh selepas gempa bumi tersebut yang menyebabkan keretakan dan ketidakstabilan sementara dua blok pejabat musnah sepenuhnya.
    Satu daripadanya ialah bangunan Televisyen Canterbury (CTV) yang turut menempatkan sekolah bahasa Inggeris yang pelajar Asia terutamanya dari Jepun dan China.
    Jurutera bandar itu mengatakan kedua-dua blok pejabat tersebut selamat selepas dilanda gempa bumi besar 7.0 pada skala Richter pada bulan September tahun lalu dimana tiada kematian dilaporkan di bandar tersebut kerana mengikut piawaian bangunan yang ketat. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

    Tentera pro-Gaddafi tawan semula Marsa El Brega



    TRIPOLI 2 Mac - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini cuba menawan semula sebuah bandar di timur negara yang dikuasai pemberontak, namun usaha mereka gagal selepas pemberontak melakukan serangan balas sehingga memaksa tentera berundur.
    Menurut pegawai yang menyokong pemberontak, Mohamed Yousef, tentera yang dihantar Gaddafi cuba merampas kembali Marsa El Brega dalam satu pertempuran ganas menggunakan kereta kebal, meriam dan serangan udara, namun gagal menguasai bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Tripoli itu.
    "Memang benar. Tentera turut mengebom Brega melalui serangan udara, tetapi usaha mereka sia-sia kerana kami berjaya melawan," katanya hari ini.
    Televisyen al-Arabiya yang memetik saksi melaporkan, letupan rambang turut kedengaran di bandar terminal eksport minyak itu.
    Tiga sumber tentera di kawasan yang dikuasai pemberontak di timur Libya memberitahu, beberapa pertempuran turut berlaku di bandar itu ketika tentera cuba menawan kembali Brega.
    Seorang doktor di Ajdabiyah, kira-kira 40 kilometer dari Brega memberitahu AFP, serangan tersebut dilancarkan secara tiba-tiba pada waktu malam.
    "Tentera Gaddafi turut menyerang lapangan terbang di Brega sebelum bertempur dengan pemberontak," kata Aymane al-Moghrabi.
    Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Mussa Ibrahim segera menafikan laporan-laporan tentang pertempuran tersebut dengan mengatakan ia adalah palsu semata-mata.
    "Saya ragu-ragu dengan laporan-laporan kejadian itu. Saya percaya ia adalah satu lagi berita palsu," katanya ketika ditanya tentang serangan di Brega dan Ajdabiyah. - Reuters/AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

    AS menekan, Gaddafi bertahan



    TRIPOLI 2 Mac - Kapal perang Amerika Syarikat (AS) menyeberangi Terusan Suez untuk ke Libya hari ini ketika negara-negara Barat mengenakan tekanan ke atas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi supaya beliau menghentikan kekejaman serta meletak jawatan.
    AS berkata, Libya boleh berhadapan perang saudara melainkan Gaddafi menamatkan pemerintahan selama empat dekad di tengah-tengah kebimbangan pemberontakan yang berlaku itu boleh mengakibatkan krisis kemanusiaan.
    Selain kedegilan pemimpin Libya itu, anak lelakinya, Saif al-Islam memberi amaran kepada Barat dengan berkata, bapanya tidak akan melepaskan kuasa atau lari ke luar negara walaupun jika sebarang tindakan ketenteraan dilancarkan.
    Di seluruh Libya, pemimpin puak, para pegawai, pegawai tentera dan unit-unit tentera yang berpaling tadah menyokong pemberontak berkata, perjuangan mereka kini lebih tersusun.
    "Kami akan terus meningkatkan tekanan ke atas Gaddafi sehingga beliau meletak jawatan, membenarkan rakyat Libya menyatakan kebebasan bersuara dan menentukan masa depan mereka sendiri," kata duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice kepada rancangan ABC, Good Morning America.
    Seorang daripada pegawai yang berpaling tadah, Kapten Faris Zwei berkata, kira-kira 10,000 sukarelawan kini berkumpul di Ajdabiyah, kira-kira 800 kilometer dari ibu negara.
    "Kami sedang menyusun semula pasukan tentera yang hampir dimusnahkan Gaddafi dan konco-konconya sebelum mereka berambus.
    "Kami sedang membentuk pasukan tentera terdiri dari anak-anak muda yang menyertai revolusi ini," katanya.
    Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menggantung Libya daripada Majlis Hak Kemanusiaan berikutan kekejaman yang dilakukan rejim Gaddafi ke atas rakyat ketika Majlis Keselamatan memberi amaran sekatan baru mungkin dikenakan terhadap rejim itu.
    Keputusan itu diluluskan sebulat suara oleh 192 negara anggota PBB selepas Setiausaha Agungnya, Ban Ki-moon menggesa badan itu 'bertindak tegas'. - Reuters/AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

    Empat keping setem dibeli RM3.49 juta

    Jalan dihakis laut




    TEBING sebatang jalan raya runtuh akibat hakisan laut di Skipea, Britain baru-baru ini.


    SKIPSEA - Tebing sebatang jalan raya di sini, Utara Humberside, Britain runtuh akibat dihakis laut, lapor sebuah akhbar semalam.
    Beberapa penduduk di kawasan itu kini bimbang rumah mereka akan musnah disebabkan oleh hakisan tersebut.
    Menurut seorang penduduk, beberapa buah rumah di kawasan itu mungkin runtuh dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.
    Penduduk di kawasan itu berharap majlis perbandaran akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah tersebut. - AgensiKosmo! Online - Dunia

    UFO berlegar di bandar Brazil




    OBJEK terbang tidak dikenali (dalam bulatan) berlegar-legar dekat bandar Agudos, Brazil.


    SAO PAOLO - Seorang pengguna jalan raya berjaya merakamkan gambar sebuah objek terbang yang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar dekat bandar Agudos, Brazil lapor lamanFox News kelmarin.
    Laman itu memetik laporan stesen televisyen G1 di Brazil yang menyiarkan rakaman UFO tersebut yang berlegar dalam ketinggian yang rendah.
    Namun, UFO itu hilang buat seketika di celah awan sebelum satu cahaya yang terang muncul dan hilang di tepi awan.
    Dua bebola cahaya misteri kemudian muncul dan ia bergerak turun ke kawasan belukar.
    Kemunculan dua bebola cahaya misteri itu hampir sama dengan satu cahaya yang berlegar-legar di atas Kubah Emas di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis pada Januari lalu.
    Imej UFO itu boleh dilihat di laman YouTube. - Agensi

    Peugeot milik Presiden Iran dibeli RM7.5 juta




    KETUA Pertubuhan Kebajikan Iran, Ahmad Esfandyari (dua dari kanan) membuka pintu untuk Mohammad Isari (kanan) yang mewakili seorang pelanggannya yang membeli kereta Peugeot 504 milik Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di Abadan kelmarin.


    TEHERAN - Sebuah kereta Peugeot 504 keluaran tahun 1977 milik Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dijual pada harga AS$2.5 juta (RM7.5 juta) dalam satu lelongan antarabangsa kelmarin, kata laman web Pertubuhan Kebajikan Iran.
    Sebuah syarikat yang membeli kereta itu tidak mahu identitinya didedahkan, kata kenyataan pertubuhan berkenaan selepas lelongan tersebut berlangsung di bandar Abadan, barat daya Iran.
    "Klien saya membeli kereta itu kerana meminati Mahmoud yang mengamalkan pendirian yang bencikan keangkuhan dan fahaman Zionisme," kata seorang peguam Mahmoud Esari.
    Beliau mewakili syarikat berkenaan untuk membeli kereta itu dalam satu majlis lelongan di Abadan kelmarin.
    Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Iran, Ahmad Esfandyari memberitahu, lebih sejuta pembida mendaftar di laman web bidaan tersebut.
    Katanya, terdapat juga bidaan-bidaan yang datang dari Eropah, Asia dan Amerika Syarikat.
    Pada 1 Januari lalu, Mahmoud melancarkan laman web www.ahmadinejad-car.com untuk mengundang bidaan antarabangsa untuk kereta itu.
    Hasil jualan kereta tersebut akan digunakan bagi membiayai pembinaan 6,000 kediaman untuk wanita miskin dan golongan tidak berkemampuan. - AFP

    Hosni dirawat di Arab Saudi






    KAHERAH - Bercanggah dengan kenyataan-kenyataan rasmi, bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) dikatakan sedang menjalani rawatan kanser di Arab Saudi, lapor akhbar Al-Akhbar semalam.
    Hosni yang berusia 82 tahun itu berada di sebuah pangkalan tentera di Tabouk, Arab Saudi yang merupakan lokasi beliau menerima rawatan kemoterapi untuk kanser pankreas pada setiap lima hari.
    Ahli keluarga ada bersamanya sepanjang rawatan tersebut.
    Akhbar itu menyatakan Hosni pergi ke Arab Saudi dua hari selepas beliau meletakkan jawatan.
    Beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas para penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah selama 18 hari bagi menuntut peletakan jawatannya.
    Majlis Tertinggi Pasukan Bersenjata Mesir yang memerintah negara itu selepas peletakan jawatan Hosni dan kedutaan Mesir di Riyadh bagaimanapun menafikan laporan tersebut.
    Beberapa media menyatakan Hosni kembali ke pusat peranginan Sharm El-Sheikh, Mesir yang menjadi tempat tinggalnya selepas berundur daripada jawatan presiden. Akhbar Al-Youm al-Sabia melaporkan Hosni dilarang keluar negara dan dia berada di sebuah hopsital di Mesir.
    Hosni tidak pernah dilihat selepas beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.
    Kediamannya di Sharm el-Sheikh sentiasa dikawal ketat. Terdapat juga laporan media yang menyatakan beliau sibuk melayan tetamunya.
    Pendakwa raya terkenal Mesir, Abdel Magid Mahmoud pada Isnin lalu secara rasmi melarang Hosni dan ahli keluarganya meninggalkan negara selain mengarahkan harta bekas pemimpin itu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah.
    Hosni pernah memberitahu bahawa beliau mahu meninggal dunia di Mesir. - Agensi

    Gaddafi beri amaran keras




    SEBUAH lori tangki meletup akibat nahas jalan raya di Tripoli semalam.


    TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam memberi amaran keras kepada Barat agar tidak campur tangan dengan menyokong penentangan terhadapnya.
    Pemimpin berkenaan menyatakan ribuan orang akan mati jika Barat mencampuri urusan negara tersebut dengan membantu gerakan penentang terhadap pemerintahannya.
    Ucapannya itu dibuat pada satu majlis bagi memperingati gerakan rakyat di sini semalam.
    Beliau membuat ucapan selepas askar-askar yang setia kepada Gaddafi bertempur dengan para penentang pemerintahannya di bandar Brega, timur Libya.
    Menurut laporan stesen televisyen Al-Jazeera, bandar Brega itu dikuasai oleh para penentang pemerintah Gaddafi.
    Stesen televisyen Al-Arabiya menyatakan sebuah lapangan terbang di Brega sudah jatuh ke tangan para penyokong Gaddafi.
    Bagaimanapun, Al-Jazeera melaporkan beberapa buah pesawat mengebom bandar Ajdabiyah selepas para penentang Gaddafi menguasai sebuah pangkalan tentera.
    Dalam ucapan itu, Gaddafi menegaskan, campur tangan Barat hanya akan mencetuskan 'peperangan dahsyat' yang akan mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Libya.
    Gaddafi sekali lagi menyalahkan pergerakan Al-Qaeda kerana mencabar pemerintahan kuku besinya hampir 42 tahun.
    Beliau berkata, Al-Qaeda menguasai tanah air Libya dan hasil minyak negara itu. Gaddafi berikrar akan berjuang bermati-matian untuk menghalang niat jahat tersebut.

    MUAMMAR GADDAFI menghadiri majlis memperingati kuasa rakyat di Tripoli semalam.


    Dalam ucapannya, Gaddafi menafikan berlakunya demonstrasi aman di Libya sejak rakyat mula bangkit menentang pemerintahannya pada 15 Februari lalu.
    Menyentuh mengenai industri minyak negara yang kini jatuh ke tangan pihak penentang, beliau menjelaskan, "kumpulan-kumpulan Al-Qaeda ini menyebabkan syarikat-syarikat minyak berada dalam ketakutan, melarikan diri dan menghentikan pengeluaran minyak. Pengeluaran minyak kini berada pada tahap paling minimum".
    "Semua yang berlaku jelas menunjukkan konspirasi jahat Al-Qaeda.
    "Semua ini tidak boleh dibiarkan. Kami akan berperang sehingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.
    Gaddafi mendakwa penduduk bandar Benghazi yang sebelum ini memainkan peranan utama dalam penentangan terhadap pemerintahannya, telah meminta pertolongan beliau untuk mengusir kumpulan-kumpulan bersenjata di sana.
    "Tiada kekacauan yang berlaku di Libya seperti dilaporkan media asing," katanya. - AFP